Facebook alat edar dadah

Thursday, March 03, 2011

Sindiket jenayah antarabangsa semakin ligat menggunakan rangkaian laman sosial seperti Facebook dalam usaha untuk menjadikan rakyat Filipina sebagai pengedar dadah, menurut pihak berkuasa Filipina hari ini.

Seorang jurucakap Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina, Derrick Arnold Carreon berkata, baru-baru ini, seorang pengedar dadah dilaporkan berhubung dengan majikan asing menerusi forum Internet.

"Seseorang boleh 'menyukai' anda di Facebook atau membuat permintaan untuk menjadi sahabat dan seterusnya anda akan sentiasa berbual dengan mereka, dan akhirnya anda akan ditawarkan untuk berkunjung ke luar negara," kata Carreon kepada AFP.

Katanya, kaedah tersebut merupakan satu daripada modus operandi yang sering digunakan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

"Bukan setakat di Facebook sahaja, ia boleh berlaku di mana-mana medium dalam talian atau laman sosial dan itu merupakan perkara yang membimbangkan," ujarnya.

Carreon berkata, masyarakat dari golongan miskin seperti di Filipina menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan janji manis untuk membuat keuntungan segera serta peluang untuk membebaskan diri daripada realiti ekonomi yang sukar.

Menurutnya, golongan yang terpengaruh kemudiannya akan dipaksa menjadi pengedar dadah dengan menelan atau menyembunyikan dadah tersebut di bahagian sulit badan mereka.

Perkara itu mendapat perhatian selepas kerajaan Filipina meminta penangguhan pelaksanaan hukuman mati terhadap tiga pengedar dadah rakyatnya di China.

Menurut pakar di CheckFacebook.com, terdapat 22.65 juta rakyat Filipina dalam Facebook dan seterusnya menjadikan negara itu sebagai pasaran dadah kelima terbesar dalam rangkaian laman sosial terkenal. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI