Hukum elak bayar saman ekor

Friday, March 04, 2011

Saya adalah pekerja swasta yang berpendapatan sederhana. Baru-baru ini orang sibuk menjelaskan saman ekor, namun saya tidak dapat berbuat demikian sebab ketiadaan wang. Apa hukumnya perbuatan saya itu?

JAWAPAN:

Secara dasarnya saman yang saudara terima adalah atas kesalahan lalu lintas, alasan saman dikeluarkan kerana saudara tidak mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan.

Kalau itu keadaannya saudara bersalah mengikut undang-undang lalu lintas. Ini kerana saudara dengan sengaja telah memandu kenderaan dengan laju dengan boleh mengundang mudarat kepada diri sendiri dan juga kepada pengguna lalu lintas yang lain. Bagaimana saman itu dikeluarkan dan disampaikan itu soal lain.

Pertamanya kita jawab soalan ini, betul atau tidak kita memandu dengan melanggar had laju yang ditetapkan? Kalau jawapannya ya, bermakna kita salah. Selagi tidak bayar selagi itulah kita salah di sisi undang-undang.

Saman ekor adalah istilah bagi saman yang diterima sedangkan pesalah tidak tahu pada masa kesalahan dilakukan. Pesalah dapat tahu bahawa dia melakukan satu kesalahan lalu lintas pada sekian tarikh, hari dan masa sekian apabila dapat penyata saman, atau dia sendiri pergi menyemak status samannya ada atau pun tidak.

Ada yang terlalu lama sudah samannya hingga mencecah 10 tahun. Mungkin juga dia tahu bahawa dia ada saman selepas beberapa tahun selepas dia disaman. Semua ini dinamakan saman ekor.

Walaupun istilahnya macam lucu tetapi telah digunapakai sebagai satu istilah bagi penerima saman kesalahan lalu lintas. Dalam Kamus Dewan istilah ini tidak ada. Mungkin kerana saman itu mengekori kita sesudah kita melakukan kesalahan lalu lintas.

Lagipun saman ekor ini hanya dikhususkan kepada pesalah-pesalah lalu lintas yang tidak mematuhi had laju. Kesalahan yang dilakukan adalah kerana melanggar ketetapan had laju oleh pihak berkuasa.

Pertamanya, setiap pesalah lalu lintas adalah tetap bersalah. Katakan had kelajuan adalah 110 kilometer sejam (km/j) maka memandu pada had laju 120 km/j adalah salah.

Apatah lagi kalau 150 km/j. Ini kerana ramai juga yang memacu kereta dengan tidak mengendahkan had laju yang ditetapkan. Malahan kelajuannya melampau bukan melebihi sedikit daripada had.

Pertamanya dalam isu membayar saman ekor kita harus akur kepada kesalahan yang telah dilakukan dengan melanggar arahan pihak berkuasa dalam mematuhi had kelajuan. Salah tetap salah.

Ini kerana kesalahan tidak ada pengecualian atas alasan tidak tahu atau tidak perasan. Eloklah kalau dapat menyedarkan diri kita bahawa betul kita salah dalam hal ini. Kita telah diberi lesen kerana kita lulus ujian memandu, dapat lesen L.

Kita juga telah diajar mengenai peraturan lalu lintas, kepatuhan kepada undang-undang jalan raya, berhemah ketika memandu dan sebagainya sebagai ilmu awalan sebelum memandu kenderaan.

Semasa kursus memandu, semua kita faham. Apabila dah lama pegang steering kereta mula lupa pada undang-undang dan peraturan lalu lintas. Inilah yang dinamakan manusia yang sering lupa dan alpa terhadap persekitarannya.

Secara nalurinya manusia akan membantah untuk membayar atas kesalahan yang tidak dimakluminya sejak awal dia melakukan kesalahan itu.

Maklumlah, tiba-tiba nak bayar RM300 untuk satu kesalahan, sudah tentu akan dibantah. Bayangkan pula saman yang telah terkumpul, ada yang kumpul sampai 12 saman, ada yang sampai 15 saman.

Kalau satu saman nilai kompaunnya RM150 didarab dengan 10, jumlah yang perlu dibayar adalah RM1,500. Bagi mereka yang berpendapatan rendah pasti sangat membebankan.

Kita harus rasional

Pada tahun 2010, kerajaan pernah berjanji akan meneliti saman ekor atas desakan pelbagai pihak, namun perkembangan tidak diketahui umum. Ini menjadikan orang ramai masih mempertikaikan kaedah saman yang dikenakan ke atas mereka.

Turut dipertikaikan adalah dihalang daripada memperbaharui cukai jalan atas alasan telah disenarai hitamkan.

Keadaan seperti inilah yang menyebabkan ramai yang tidak berpuas hati dengan cara saman ini dipaksa bayar. Saya yakin pihak berkuasa ada hujah dan alasan undang-undang untuk menyaman seseorang secara saman ekor dan ditawarkan kompaun untuk dilangsaikan, kalau tidak bersetuju maka langkah seterusnya akan diambil.

Hari ini bila pesalah-pesalah trafik diberi peluang untuk membayar kompaun dengan tawaran 50% ramai yang berpusu-pusu ke bahagian trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh negara bagi tujuan melangsaikan saman.

Saya fikir dalam hal ini kita harus rasional dalam memberi pandangan sama ada dalam sudut undang-undang mahupun kemasyarakatan. Ini bukan isu untuk dimenangi oleh ahli politik untuk menunjukkan dialah juara.

Dalam Islam juga setiap kesalahan ada hukuman dan balasannya, bezanya cepat atau lambat. Kalau memandu dalam keadaan laju tanpa alasan yang benar-benar munasabah adalah satu kesalahan kerana kelajuan itu ada kemungkinan membawa kepada mudarat pada diri sendiri lebih-lebih lagi mengundang musibah kepada pengguna jalan raya yang lain.

Mengikut perangkaan kemalangan lalu lintas punca kemalangan adalah berpunca kerana pemandu tidak mematuhi had kelajuan lalu lintas. Boleh rujuk laman rasmi Institut Penyelidikan Lalu Lintas Malaysia (MIROS).

Islam mengajar umatnya supaya tidak mengundang kemudaratan dan tidak mendedahkan orang kepada kemudaratan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: …dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke Dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berusaha memperbaiki amalannya. (al-Baqarah: 195)

Islam pastinya tidak mengizinkan umatnya melakukan sesuatu yang bisa mengundang kemudaratan.

Jangan jadi insan yang tidak boleh terima hakikat kesalahan. Mungkin dalam hal ini pihak berkuasa harus ada medium yang mesra pesalah bagi menjaga kebajikan mereka yang benar-benar tidak mampu membayar saman.

Cadangan saya agar mereka yang tidak mampu membayar saman diperintah melakukan kerja-kerja amal. Mungkin boleh diberi peluang untuk membayar secara ansuran.





0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI