Minggu Setiausaha bersama Ramli Sarip di PWTC, 20 dan 21 April

Monday, March 14, 2011

Putra World Trade Centre (PWTC) tidak ketinggalan meraikan setiausaha pada tahun ini. Majlis anjuran mereka bakal menampilkan Ramli Sarip, bagi menghargai dedikasi dan tanggungjawab yang ditunjukkan golongan ini kepada majikan masing-masing.

Tempahan boleh dilakukan dengan menghubungi talian 03-26146701 atau 03-26146702. Majlis berlangsung selama dua hari bertempat di Dewan Merdeka pada 20 dan 21 April ini, bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang. Pelbagai hadiah menarik turut disediakan termasuk penginapan di hotel sekitar Kuala Lumpur seperti Legend, Grand Seasons, Seri Pacific dan Dynasty, serta barangan elektrik dan baucar.

Penyanyi yang dikenali sebagai Papa Rock itu ketika ditemui pada majlis sidang media di PWTC baru-baru ini berkata, dia akan menampilkan persembahan terbaik buat kalangan setiausaha dan peminat yang hadir pada majlis istimewa bersamanya nanti.


“Saya tidak mempunyai gimik tertentu yang akan dilakukan pada hari terbabit. Namun barisan lagu terpilih yang akan didendangkan sudah cukup untuk menguatkan persembahan yang akan berlangsung selama lebih sejam itu.

“Saya akan menyampaikan kira-kira 20 lagu yang terdiri daripada lagu hits saya pada majlis makan tengah hari nanti. Tema persembahan saya pada majlis itu pula lebih kepada meraikan wanita sebagai ketua, walaupun mereka hanya setiausaha kepada majikan masing-masing. Banyak yang kita dapat lihat sekarang di mana golongan wanita juga berupaya untuk menjadi ketua dan saya percaya, 80 peratus setiausaha yang hadir nanti juga terdiri daripada kaum hawa.

“Wanita lebih berjiwa romantik, oleh itu saya akan menyampaikan lebih banyak lagu yang berjiwa tenang. Saya berharap magis daripada lagu saya akan berlaku pada kedua-dua hari itu," katanya yang akan muncul menghiburkan golongan terbabit pada 20 dan 21 April di Dewan Merdeka, PWTC.

Katanya, pada majlis sebeginilah setiausaha ingin menyaksikan sesuatu yang berbeza daripada kerja seharian mereka. Justeru dia cuba menghiburkan mereka dengan barisan lagu yang ringan, di samping iringan pemain muzik handalan seperti Man Kidal dan Fauzi.

“Saya antara penyanyi lama yang masih hidup dan saya berharap setiausaha akan terhibur dengan persembahan klasik saya," ujar Ramli.

Menurut Ramli, dia akan menyampaikan beberapa lagu hits daripada album solonya serta album bersama Sweet Charity seperti Kamelia, Istilah Bercinta, Perjalanan Hidup dan Teratai.

Selain itu, dia juga akan menyanyikan lagu Inggeris dendangan penyanyi antarabangsa seperti Rod Stewart dan Bryan Adams.

Sementara itu, majlis makan tengah hari yang akan diacarakan pelakon komedi terkenal, Dee, itu bakal diserikan dengan pertunjukan fesyen Marrie Fashion oleh pereka Sabri Saad.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI