Mohd Azizulhasni, Nicol Dinobat Olahragawan Dan Olahragawati 2010

Wednesday, March 16, 2011

Jaguh berbasikal negara Mohd Azizulhasni Awang dan ratu skuasy Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2010 atas pencapaian cemerlang mereka pada kejohanan peringkat dunia tahun lepas.

Mohd Azizulhasni dan Nicol masing-masing menerima piala dan wang tunai RM10,000, yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada satu majlis di sebuah hotel di sini Selasa malam.

Nicol, 28, mencipta sejarah apabila dijulang sebagai Olahragawati Kebangsaan buat kali kelapan dalam tempoh 11 tahun.

Pencapaian terbaiknya sepanjang tahun lepas termasuk dua emas di Sukan Asia, Guangzhou (November), pingat emas individu pada Sukan Komanwel, New Delhi (Oktober) di samping menjuarai Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Chennai, India (Mac) buat kali kelima.

Nicol merupakan pemain nombor satu dunia selama 55 bulan dan telah lima kali berturut-turut dinobat pemain terbaik sirkit Persatuan Pemain Skuash Wanita Antarabangsa (Wispa).

Calon olahragawati yang lain ialah atlet terjun Pandelela Rinong, gimnas Elaine Koon, penembak negara Nur Suryani Taibi, pakar wushu Chai Fong Ying dan ahli karate-do Lim Lee Lee.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni, 22, menerima anugerah itu buat kali kedua berturut-turut.

Pelumba dari Terengganu itu, menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia apabila menunjukkan sikap tidak mengaku kalah apabila meneruskan kayuhan meskipun betisnya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20sm ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI (International Cycle Union) di Manchester, England bulan lalu.

Beliau yang turut dikenali sebagai "The Pocket Rocketman" berjaya menamatkan perlumbaan itu di tempat ketiga.

Pencapaian terbaik beliau tahun lepas termasuk emas acara keirin Siri Piala Dunia UCI 2 di Cali, Colombia (Disember), emas pada Sukan Asia, Guangzhou dalam acara yang sama serta dua emas dan satu perak pada kejohanan Trek Piala Asia ACC, Jepun (Jun).

Atlet lain yang tersenarai sebagai calon Olahragawan ialah perseorangan badminton Datuk Lee Chong Wei, ahli bina badan Sazali Abdul Samad, penjaga gol hoki negara S.Kumar, pakar karate R. Puvaneswaran, pemain skuasy Mohd Azlan Iskandar dan atlet bowling Alex Liew.

Selain itu, kejayaan buat pertama kali pasukan hoki lelaki kebangsaan memenangi pingat perak di Sukan Asia tahun lepas melayakkan pasukan itu merangkul anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan 2010.

Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan menjadi milik pasukan skuasy wanita hasil kejayaan mereka memungut emas pada Sukan Asia dan gangsa di temasya Kejohanan Wanita Berpasukan Dunia ke-17, New Zealand.

Senarai pemenang Anugerah Sukan Negara 2010:

Olahragawan Kebangsaan - Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

Olahragawati Kebangsaan - Datuk Nicol Ann David (skuasy)

Pasukan Lelaki Kebangsaan - Skuad Hoki Negara (Azlan Misron, Azreen Rizal Nasir, Baljit Singh, Faisal Saari, Hafifihafiz Hanafi, Izwan Firdaus, Ahmad Tajuddin, S. Kumar, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor, Mohd Sharun Nabil Abdullah, Muhamad Amin Rahim, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Razie Abdul Rahim, Nabil Fiqri Mohd Nor, Roslan Jamaluddin, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil).

Pasukan Wanita Kebangsaan - Skuasy (Datuk Nicol Ann David, Delia Odette Arnold, Sharon Wee, Low Wee Wern)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan - Zul Amirul Sidi Abdullah (Renang)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan - Nabilah Ahmad Sharif (Badminton)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan - Stephen Van Huizen, Tai Beng Hai (Hoki Lelaki)

Jurulatih Wanita Kebangsaan - Tiada pemenang

Anugerah Kepimpinan Sukan - Prof Datuk AR W. Y. Chin (Snuker & Billiard)

Anugerah Tokoh Sukan - Tiada pemenang

Anugerah Khas - Datuk Lim Tiong Kiat (Badminton), Datuk Nashatar Singh Sidhu (Olahraga).

-- BERNAMA

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI