Karl Cromok muncul dengan album solonya, Shred it Back

Saturday, March 26, 2011

Gitaris Cromok, Karl Cromok muncul dengan album solonya, Shred it Back, yang berbekalkan lima lagu instrumental termasuk sebuah lagu yang bergandingan dengan suara nyanyian Amy Search yang berjudul Petanda.

Album Yours Truly adalah kemunculan terakhir Karl bersama kumpulan rock terkenal itu pada tahun 1996 dan Shred It Back merupakan kemunculannya yang pertama kali dan secara solo setelah 15 tahun.


Album yang sarat dengan petikan gitar Karl itu turut menerbitkan empat lagi lagu instrumental dalam versi extended solo guitar bagi memberi peluang kepada para peminat untuk memetik gitar mengikut track yang tersedia.

"Bonus track sebanyak empat lagu itu bolehlah dianggap seperti karaoke atau minus one, tapi ianya adalah untuk petikan gitar", kata Karl pada sidang media yang diadakan di Hot Studio, Wangsa Maju, petang semalam.

Tambah beliau juga, yang membezakan album ini dengan album-album instrumental lain yang berada di pasaran pada kekuatan melodinya yang dan juga elemen-elemen yang pernah ada dalam album-album Cromok yang terdahulu.

"Saya tidak dapat lari dari pengaruh kumpulan Cromok yang berada dalam diri saya. Namun beza pada album ini dengan album-album Cromok yang terdahulu adalah kehadiran vokalnya. Memandangkan album ini kerkonsepkan instrumental, fokus adalah lebih kepada mainan gitar tanpa nyanyian dari vokal," katanya kepada murai.com.my.

Menurut beliau, kekuatan lain yang ada pada album ini adalah ia mensasarkan kepada semua jenis pendengar muzik dan terutama sekali pada peminat-peminat heavy metal.

"Walaupun kebanyakan muzik dalam album ini bertemakan heavy metal, namun ada juga dimuatkan lagu yang bertempo perlahan seperti Magnificent. Malah, Magnificent adalah lagu instrumental yang berkonsepkan eksperimental rock yang diharapkan dapat menarik minat para pendengar muzik kebanyakannya," katanya lagi.

Selain Magnificent dan Petanda, lagu-lagu lain yang diterbitkan di dalam album ini adalah seperti Shred it Back dan Expression in K Minor yang keduanya merupakan lagu-lagu yang mengekspresikan keperibadian Karl Cromok yang sebenar.

Kesemua lagu-lagu ini diselitkan secara instrumental bagi memenuhi kehendak peminat-peminat Cromok yang sukakan segmen solo gitarnya dalam album-album yang lepas.


Bila ditanyakan samada Cromok akan kembali secara berkumpulan, Karl memberi jawapan yang tidak pasti. Kemunculan album ini sendiri juga adalah suatu usaha yang mengambil masa yang lama. Menurut Karl, idea untuk album ini bermula ketika menghadiri konsert kumpulan Search di Bukit Kiara, Kuala Lumpur kira-kira dua tahun lalu.

"Saya hadir menonton konsert itu dan kemudian seorang rakan baik Amy Search, Reduan Zain memberi cadangan untuk berkolaborasi dengan Amy Search sendiri. Selepas dua tahun barulah idea itu direalisasikan. Lagu Petanda yang menampilkan nyanyian Amy Search itu asalnya dimuatkan dalam album single saya pada September 2010."

Dalam fasa penghasilan album ini, Karl mendapat bantuan dari bakat-bakat pemuzik muda antaranya Shah Sidius selaku gitaris, Zali Dethstroke selaku pemain dram dan Hafiz Fedora sebagai bassis. Karl juga berharap dengan adanya album ini, ia dapat mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap muzik rock yang sering direndah-rendahkan.

Album ini boleh didapati di laman web www.karlcromok.com melalui pesanan pos. Selain album Shred it Back, laman turut menyertakan DVD rakaman persembahan 'live' di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada tahun lalu yang memuatkan 8 buah lagu. Pakej album dan DVD rakaman persembahan itu dijual dengan harga RM55.

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI