Shahz Jazle akui solo selepas putus cinta dengan Maria Farida

Sunday, March 13, 2011

"SEBUTANNYA Shahz Jay-zel," tegasnya untuk mungkin kali terakhir tentang namanya yang ditulis sebagai 'Shahz Jaszle'.

"Jazle itu gabungan nama ayah, Jasmin dan ibu saya, Zaleha. Ia digunakan sebagai nama keluarga," sambung anak kelima daripada tujuh beradik ini.


"Saya bukanlah individu yang suka menjaja cerita dan memberitahu khalayak tentang kehidupan peribadi saya," ayat tersirat itu sudah menjawab persoalan daripada mana kisah cinta Shahz ditebarkan.

"Saya sudah letih berdepan pelbagai tuduhan kononnya saya berperangai kebudak-budakan dan tidak matang. Saya orang yang penyabar tetapi sabar juga ada hadnya," ujar Shahz tenang.

Umum sudah mengetahui kisah cinta Shahz dengan aktres cantik, Maria Farida, 41. Sayangnya hubungan itu tidak berpanjangan. Ia terhenti sebelum mencapai usia setahun.

"Tempoh lapan bulan membuatkan saya kenal erti sabar. Dia (Maria) mungkin berasa tidak selamat bersama saya. Ya, ada rasa terkilan dengan tuduhan yang dilemparkan kepada saya.

"Tetapi inilah akhirnya. Cuma saya tertanya, bagaimana umum boleh tahu kisah perpisahan saya dengan Maria kalau bukan saya yang membuka mulut?" kias Shahz yang mengaku sudah putus hubungan dengan aktres cantik itu sebelum dia terbang ke Perancis untuk penggambaran filem Azura 2011, bulan lalu.

Tidak pernah berasa menyesal mencurahkan perasaan kepada individu yang lebih dewasa daripadanya, buat Shahz umur hanyalah nombor. Malah, takdir menemukan mereka apabila sama-sama berlakon dalam drama bersiri Asmara sebelum ini.

"Sayangnya, dia sudah tidak mahu terlibat dalam Asmara 2. Mungkin itu yang dinamakan profesional," jelasnya.

Shahz turut menafikan hubungan cintanya dengan aktres selain Maria termasuk dengan pemenang Dewi Remaja 2010, Neelofa.

"Jujurnya sewaktu pertama kali bertemu Maria, saya boleh katakan, dia diberi markah 'A'," katanya.

Tambahnya yang mengakui Maria adalah kekasih selebriti pertamanya: "Sekarang saya berstatus solo dan mahu menumpukan perhatian pada projek lakonan saya."

"Saya berbintang Leo. Leo ini orangnya manja. Garang. Tetapi Leo tidak boleh hidup tanpa pasangan. Dia perlukan teman.

"Saya akui kini saya berasa kesepian. Mungkin kerana sebelum ini saya sentiasa ditemani kekasih.

"Walaupun hanya sempat bertemu untuk makan malam, saya tetap ditemani. Itu dulu."

Kata Shahz, buat masa ini dia tidak berasa untuk berteman.

"Tidak terfikir untuk bertemu janji. Saya jenis orang yang susah untuk jatuh cinta pada teman-teman.

"Saya jenis yang akan jatuh cinta pandang pertama," gelaknya membuka rahsia di dada.

Apabila disuakan senario kisah cintanya akan menjadi bahan teropong khalayak selepas ini dan wanita yang didampinginya akan menjadi sensasi, Shahz ketawa.

"Saya sedar kelak orang akan lihat dengan siapa saya keluar.

"Tetapi apa yang boleh saya katakan, mereka boleh menghakiminya sendiri," tunduk Shahz yang tiba-tiba mengaku menyesal tidak mengikut nasihat keluarga yang meminta dia mengakhiri hubungannya bersama Maria sewaktu cintanya baru berputik dahulu.

"Saya tidak mahu hampakan keluarga terutama ayah. Mereka ingatkan saya, kalau mahu jadi pelakon, jadilah pelakon yang betul-betul berjaya. Perlu ada sasaran dalam karier.

"Untuk itu, saya sasarkan untuk menjadi seorang aktor dengan nama yang kuat dalam industri pada usia saya 30 tahun.

"Sebelum itu, pada usia 25 tahun saya mahu mencapai sasaran tertentu," usik pemuda berusia 23 tahun ini.

"Sasaran ada aset untuk diri sendiri seperti rumah dan kereta yang selesa, bukannya berkahwin," ketawanya yang menganggap hidup ini terlalu pendek untuk disia-siakan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI