Isu mengkomersialkan air, makanan jampi

Wednesday, March 06, 2013

Komersial air jampi bertentangan dengan ruqyah

Selain perubatan moden, masyarakat kini turut mengambil langkah merawat penyakit menerusi pelbagai kaedah rawatan alternatif.

Walaupun usaha tersebut masih dalam kajian untuk dibuktikan kebenarannya, tetapi cara demikian sedikit sebanyak telah menyembuh pelbagai penyakit dalaman mahupun luaran.

Perubatan Islam turut tidak terlepas daripada menjadi salah satu cara rawatan alternatif yang digunakan oleh orang ramai kerana kemampuannya dalam mengubati penyakit.

Maka, tidak hairan pada masa kini, pertambahan pusat rawatan Islam tumbuh bagai cendawan selepas hujan kesan permintaan yang tinggi.

Selain itu, kesedaran umat Islam pada hari ini terhadap rawatan bomoh yang menipu pesakit menyebabkan ramai kembali mendapatkan perubatan Islam.

Bagaimanapun, ramai tersilap tanggapan apabila mengatakan bacaan jampi bukan tergolong dalam perubatan Islam.

Jampi sebenarnya termasuk dalam salah satu perubatan Islam apabila perkataan tersebut diistilah dalam bahasa Arab sebagai ruqyah.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggunakan jampi dalam peristiwa Israk Mikraj ketika mana baginda diganggu oleh jin Ifrit.

Jampi yang digunakan baginda dikenali sebagai Ruqayyah Jibril.

Bukan sahaja bacaan, malah baginda turut membacakan doa-doa tertentu ke atas bahan-bahan tertentu seperti mana hadis riwayat Abdullah Masud apabila beliau berkata melihat Rasulullah sedang sembahyang, ketika sujud jari baginda telah disengat oleh seekor kala jengking.

Lalu baginda pun berpaling dan berkata: "Allah melaknat kala jengking ini dan juga dilaknat oleh nabi serta tidak padanya yang lain." Kemudian baginda berdoa pada sebuah mangkuk yang berisi air dan garam, lalu baginda meletakkan tempat yang kena sengat dalam air garam dan membaca surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad) dan tawazun (al-mu'awwizatain) sehingga sembuh.

Tetapi bagaimana pula dengan persoalan air, makanan dan bahan-bahan yang dijampi dengan doa-doa tertentu yang dikomersialkan sehingga mengaut keuntungan berlipat-ganda?

Bahkan terdapat pengusaha didakwa mengeluarkan iklan yang bukan sahaja mengelirukan malah menipu orang ramai.

Hal ini berdasarkan kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini yang akan mengambil tindakan ke atas pengusaha air jampi jika didapati melakukan kes seumpama itu.

Yang pasti perbuatan memanipulasi rawatan Islam dan jampi untuk mengaut keuntungan, lebih-lebih lagi yang membabitkan elemen penipuan sememangnya bertententangan dengan ajaran Islam.

Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (Gappima), Mohd. Fauzi Mustaffa berkata, tindakan pihak-pihak tertentu pihaknya menyelar tindakan sesetengahyang mengaut keuntungan berlebihan dengan menjual air jampi dengan harga yang tinggi bertentangan dengan etika dan matlamat perubatan Islam.

Menurut Mohd. Fauzi, para pengusaha boleh menjual air jampi tetapi berdasarkan harga kos bahan tersebut dan bukannya meletakkan harga yang berlebihan sehingga masyarakat menganggapnya menyusahkan dan terlalu mahal.

Contohnya ujar beliau, sekiranya kos seliter RM1, maka para pengusaha tidak wajar meletakkan harga RM2 dengan mengambil keuntungan 100 peratus.

Prinsip perubatan Islam katanya, ialah hanya Allah sahaja boleh menyembuhkan penyakit dan bukannya disebabkan oleh air, makanan dan bahan-bahan lain.

Oleh itu, para pengusaha mengeluarkan iklan dan testimoni mengelirukan kepada orang ramai dengan memberikan contoh bahawa bahan dijampi itu telah menyembuh pesakit adalah tindakan yang salah.

Katanya lagi, perbuatan itu dibimbangi boleh mendatangkan fitnah kepada perubatan Islam malah agama tersebut sendiri.

"Sebagai contoh, pesakit menghidap barah meminum air dijampi al-Quran, selepas minum beliau tidak sembuh.

"Maka orang ramai akan kata, apalah ayat-ayat suci al-Quran tidak menyembuhkan sedangkan testimoni dan iklan air jampi mendakwa boleh mengubat penyakit.

"Jadi dalam soal ini, boleh membawa fitnah kepada al-Quran itu sendiri sekiranya masyarakat tidak dibimbing dengan mendidik mereka bahawa penyakit boleh diubati dengan hanya izin Allah," kata Mohd. Fauzi.

Sehubungan itu, Gappima menggesa pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan seperti hukuman denda terhadap para pengusaha yang ingkar sebagai amaran kepada pihak berkenaan supaya tidak sewenang-wenang melakukan kesalahan tersebut.

"Gappima menggesa pihak berkenaan jangan kaut keuntungan serta mengeluarkan iklan mengelirukan kerana usaha itu sebenarnya boleh mendatangkan fitnah dan mendatangkan imej buruk kepada agama Islam," ujar beliau.

Keikhlasan

Keikhlasan merupakan pokok utama dalam etika perubatan Islam termasuklah menjampi bahan-bahan tertentu lalu memberikan kepada pesakit.

Keikhlasan merupakan syarat paling penting sekali kerana kita berdoa kepada Allah untuk memohon keizinannya agar penyakit itu disembuhkan.

Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Rushdi Ramli berkata, niat untuk mengkomersialkan air atau makanan jampi dengan tujuan mengaut keuntungan sebenarnya telah bertentangan tujuan asal ruqyah.

Jelas Rushdi, perkara itu sebenarnya telah membuka pintu jual-beli bahan-bahan perubatan Islam lalu membawa kepada perniagaan untuk kepentingan peribadi.

Jelas beliau, ulama telah membahagikan konsep jampi atau ruqyah kepada berdoa kepada Allah dan yang kedua mendoakan atau menjampikan terhadap bahan-bahan tertentu lalu diberikan kepada pesakit.

"Atas dasar berkenaan, maka wujudnya penggunaan air atau makanan jampi dalam merawat pesakit.

"Ini bertepatan dengan syariat Islam sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah sendiri.

"Tetapi apabila dikomersialkan, konsep asal untuk merawat telah bertentangan dengan asas ruqyah. Jadi Islam melarang perbuatan demikian dikhuatiri berlaku kepincangan dalam soal jual-beli air jampi," kata Rushdi.

Beliau mengambil satu fatwa daripada seorang ulama Abdullah Abd. Rahman al-Jabari yang menyatakan tiada halangan untuk menjual air, minyak zaitun dan madu yang didoakan atau dijampi dengan harga munasabah, tetapi ruqyah dilakukan itu tiada ada harga.

"Ulama itu berpendapat jangan seseorang itu menjual air jampi dengan harga yang mahal kerana perbuatan itu mengurangkan manfaat dan keberkesanannya.

"Jadi dalam perubatan Islam, hendaklah kita kembali kepada konsep asal iaitu menanamkan niat ikhlas untuk menyembuh penyakit dan segalanya akan sembuh dengan izin Allah," kata pensyarah kanan berkenaan.

Jampi melalui radio

Terdapat dakwaan yang mengatakan lebih baik memasang rakaman audio bacaan al-Quran terhadap bahan-bahan hendak dijampi seperti air dan makanan daripada mengharapkan perawat atau pesakit sendiri melakukannya.

Bagi menjelaskan dakwaan itu, Rushdi berkata bacaan jampi merupakan satu doa daripada isi hati manusia kepada Allah dengan mengharapkan keizinan Ilahi untuk menyembuhkan penyakit.

Jika dipasang rakaman audio, jelas beliau telah bertentangan konsep doa kerana radio bukan merupakan benda yang hidup.

"Alat itu tidak boleh berdoa melainkan manusia, kita adalah makhluk hidup. Maka secara logiknya, kita boleh berdoa untuk memohon hajat kepada Allah.

"Berlainan pula air zam-zam, bahan mineral itu penuh keberkatan bukan sahaja berada di kota suci Mekah tetapi daripada kesan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan laungan azan secara langsung daripada imam dan bilal Masjid Haram," kata beliau.

Beliau menggesa pihak yang melakukan perbuatan demikian supaya menghentikannya agar umat Islam tidak terkeliru selain dikhuatiri menimbulkan tanggapan negatif terhadap amalan jampi sedangkan daripada sudut asalnya bertepatan dengan syariat Islam.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI