Lelaki tipu wanita tawar peluang jadi model

Friday, March 15, 2013

Seorang lelaki pendek dipercayai menipu 100 wanita untuk mencuri wang mereka selain memuaskan nafsunya sejak lebih dua tahun lalu dengan menawarkan pekerjaan dalam bidang peragaan dengan bayaran lumayan

Modus operandi lelaki berusia 20-an itu ialah mengajak mangsa berjumpa di hotel murah terlebih dulu kononnya bagi menjalani sesi temu duga sebelum mencuri barang dan meniduri mangsa.

Seorang model terkenal yang hampir ditipu lelaki terbabit mendakwa, suspek pernah menghubunginya dan menawarkan bayaran RM250,000 kepadanya untuk satu sesi peragaan tetapi dia tidak menerima tawaran itu.

“Apabila saya tidak terima tawaran itu, lelaki berkenaan mula mengganggu saya dengan menghubungi saya sehingga lewat malam.

“Malah apabila saya menyuruh lelaki itu supaya tidak menelefon lagi, dia mengugut untuk sebarkan nombor saya di Facebook,” kata wanita berusia 28 tahun itu yang tampil mendedahkan perkara itu di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Seorang pelajar dan model sambilan berusia 20 tahun nyaris menjadi mangsa lelaki hidung belang itu, bagaimanapun dia bertindak bijak apabila menyiasat terlebih dahulu latar belakang lelaki terbabit sebelum menerima tawarannya.

“Apabila saya meminta latar belakang syarikat, lelaki itu hanya mengatakan dia daripada syarikat terkenal.


“Dia menggunakan pelbagai nama supaya pihak berkuasa tidak dapat menjejakinya,” katanya yang mengakui ramai mangsa lain takut untuk tampil ke hadapan kerana diugut lelaki itu.

Selain itu, katanya, lelaki berkenaan menggunakan nama jurugambar bebas untuk mendapatkan nombor telefon model.

Salah seorang jurugambar berkenaan, Jawsus Cheng, 30, berkata, dia mengetahui penipuan lelaki berkenaan apabila rakannya memberitahu ada seorang lelaki menghubunginya dan menggunakan identitinya meminta nombor telefon model.

“Dia menggunakan nama saya dengan niat mengaburi model berkenaan untuk terima tawaran peragaan.

“Apabila saya dapat tahu identiti saya digunakan, saya terus beritahu rakan di Facebook supaya tidak melayan lelaki itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, beliau mengumpulkan semua laporan polis yang dibuat mangsa dan membuat pengecaman apabila suspek berjaya diberkas.

“Kami sudah dapat sedikit maklumat mengenai suspek iaitu berumur 20-an, bertubuh pendek dan berkulit sawo matang.

“Wanita muda harus mengambil langkah berhati- hati dan selidik dulu latar belakang syarikat sebelum terima apa-apa peluang pekerjaan,” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI