Masalah Gigi Reput

Friday, March 01, 2013

Pereputan Gigi
  Masalah kerosakan gigi yang paling kerap di kalangan kanak-kanak adalah gigi reput atau karies gigi, yang berpunca daripada gula atau bakteria yang melekat di permukaan gigi.

  Bakteria memang wujud dalam mulut manakala gula pula terkandung dalam makanan, sayur dan buah-buahan. Bagaimanapun, perlu ditegaskan, kerosakan gigi berkait langsung dengan kekerapan pengambilan makanan atau minuman yang manis serta tempoh bagi membersihkan gigi berkenaan.

  Jika dilihat, pengambilan makanan dan minuman manis di antara waktu makan serta tabiat membersihkan gigi yang tidak betul menyebabkan pereputan gigi berlaku dan menimbulkan kesakitan pada kanak-kanak.
 
Sekiranya kanak-kanak terbabit dibawa ke klinik gigi pada peringkat awal, lubang yang kecil itu boleh ditampal dengan prosedur pergigian yang minimum. Sebaliknya, jika ia dibiarkan tanpa sebarang rawatan, ini boleh menjejaskan proses `kehilangan' gigi susu.

  Ini seterusnya boleh mengancam pertumbuhan gigi kekal di bawahnya membabitkan rupa bentuk, kekuatan dan warna gigi berkenaan.

  Paling serius, masalah itu juga boleh merebak kepada gigi lain serta menyebabkan muka bengkak manakala jangkitan pada gigi yang lebih dalam lagi menjejaskan saluran udara.

Karies botol susu
  Masalah lain yang sering berlaku pada kanak-kanak di negara ini adalah Karies Botol Susu.

  Kajian yang dijalankan di kawasan bandar pada 1985, mendapati masalah karies ini membabitkan kira-kira 19 peratus daripada jumlah penduduk dan masalah itu dipercayai lebih serius di luar bandar. Karies Botol Susu itu adalah keadaan apabila hampir semua gigi susu yang sedang tumbuh mengalami masalah reput. Ia biasanya bermula dengan gigi susu di bahagian atas diikuti gigi di bahagian bawah dan bahagian belakang.

  Gigi yang terbabit itu akan berubah warna daripada putih kekuningan kepada warna lebih gelap (brownish) dan mudah patah. Di dalam kes tertentu, gigi yang baru tumbuh itu kelihatan seperti sudah reput.

  Kebiasaannya, ibu bapa lewat membawa anak-anak berjumpa doktor, iaitu ketika abses sudah terbentuk membabitkan gusi gigi atas atau di bahagian belakang.

  Masalah itu biasanya berlaku kepada bayi atau kanak-kanak yang tidur sambil menghisap botol susu yang berisi minuman manis seperti sirap, Ribena atau jus buah-buahan.

  Bayi dan kanak-kanak yang menyusu badan juga tidak terkecuali, iaitu mereka yang sudah melebihi tempoh penyusuan yang dibenarkan.

  Bagaimanapun, punca sebenar adalah kandungan gula dalam minuman itu,susu ibu atau susu botol serta tabiat membersihkan gigi yang tidak sempurna.

  Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak berjumpa doktor gigi pada tahap awal, biasanya dinasihatkan supaya menghentikan pemberian minuman melalui botol, jika ia masih diamalkan.

  Seperti yang kita maklum, itu bukanlah mudah dilakukan secara serta merta, sebaliknya perlu dibuat secara pelahan-lahan iaitu dengan mengurangkan jumlah air atau jumlah gula tambahan selama dua hingga tiga
minggu dan akhirnya menukar botol susu kepada cawan atau gelas khas.

  Datuk, nenek atau ahli keluarga lain juga perlu menghentikan tabiat pemberian gula-gula, coklat atau makanan bergula lain di antara waktu makan. Gigi pula mesti sentiasa dijaga dan dibersihkan sekerap mungkin iaitu waktu pagi dan sebelum tidur.

  Bagi kes yang lebih serius membabitkan pembentukan abses pada permukaan gigi, gigi berkenaan perlu dicabut. Jika anak dan ibu bapa memberi kerjasama, doktor gigi berupaya membantu dengan melakukan pembersihan dan tampalan gigi.

  Apa yang sering terjadi ialah kanak-kanak yang mengalami kesakitan itu biasanya tidak akan membuka mulut dan ini memerlukan doktor memberi suntikan ubat pelali yang biasa di hospital dan beberapa pusat perubatan.
 

1 Komen:

Jannah on 22 March 2013 at 10:23 said...

Ibu bapa kena tekankan penjagaan gigi anak-anak sejak dalam kandungan pun dah kena jaga.
jom jenguk entry terbaru saya pasal kekurangan kalsium. :D

Post a Comment

 

ZONFINITI