Kaum Suluk di Sabah kutuk pencerobohan

Tuesday, March 05, 2013

Kaum Suluk di Sabah kutuk pencerobohan
Pemimpin dan peniaga kaum Suluk di Sabah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penceroboh di Lahad Datu dan Semporna serta menyatakan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Antaranya Persatuan Kebudayaan Suluk-Bajau Tawau, Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah dan Persatuan Kraftangan Kota Kinabalu yang turut mengakui tidak sama sekali terlibat dengan aktiviti pencerobohan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Suluk-Bajau Tawau, Abdul Ali Erilis berkata, mereka menyokong tindakan serangan ofensif yang dilancarkan terhadap kumpulan bersenjata di Lahad Datu hari ini, dalam usaha menamatkan pencerobohan di kawasan itu.

"Jelas apa yang mereka lakukan (menceroboh dan membunuh) tidak bertamadun.

Seharusnya apa juga masalah diselesaikan melalui rundingan tanpa pertumpahan darah,” katanya selepas pertemuan antara beberapa pemimpin persatuan suku kaum Suluk dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di sini hari ini.

Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah, Mohamad Zaki Harry Susanto turut mengecam tindakan penceroboh yang dianggap sebagai zalim dan kejam.

"Walaupun kami berketurunan Suluk tetapi kami tidak ada kaitan dan tidak menyokong sebarang tindakan yang menggunakan kekerasan terhadap rakyat serumpun.

"Kami kaum Suluk di Sabah menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sabah,” katanya.

Beliau yakin anggota persatuan itu yang kini berjumlah 300,000 orang juga tidak menyokong sebarang tindakan penceroboh bersenjata dari Sulu itu.— BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_19.htm#ixzz2Metrgh5x
Hakcipta terpelihara

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI