Sorok dadah dalam kasut tumit tinggi wanita

Thursday, March 14, 2013

Sorok dadah dalam kasut tumit tinggi wanita
Polis menahan tiga lelaki warganegara Nigeria dan merampas 4.67 kilogram dadah jenis heroin gred tinggi bernilai RM380,000, termasuk yang disembunyikan dalam tapak kasut tumit tinggi wanita.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ACP Nordin Kadir berkata walaupun nilai keseluruhan dadah itu dianggarkan RM380,000 namun tidak menolak nilaian tersebut boleh mencecah jutaan ringgit di peringkat antarabangsa kerana ia membabitkan heroin jenis gred tinggi.

Beliau berkata kesemua lelaki berumur antara 23 dan 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Batu Caves, Gombak kira-kira pukul 3 petang, Selasa lepas.

Semasa pemeriksaan di rumah tersebut, pihak polis menemui 18 pasang kasut tumit tinggi wanita dalam sebuah bilik, dan siasatan lanjut mendapati setiap tapak kasut berkenaan mengandungi bungkusan plastik dadah jenis heroin seberat 75 gram.

"Ini merupakan antara taktik terbaharu sindiket pengedar dadah di negara ini," katanya di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Nordin berkata pemeriksaan di rumah yang disewa itu turut menemui tujuh bungkusan plastik berisi bahan disyaki heroin seberat 520 gram dan tujuh sampul surat dibaluti kertas warna coklat berisi heroin seberat 1,452 gram.

"Kita percaya kesemua dadah dibawa masuk dari negara luar dan diproses serta dibungkus di rumah berkenaan, dan negara ini dijadikan transit sebelum sindiket terbabit memasarkan semula ke negara-negara lain menerusi perkhidmatan kurier," katanya.

Nordin berkata polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Camry milik seorang daripada suspek itu dan difahamkan dibeli secara tunai.

Beliau berkata berdasarkan dokumen, ketiga-tiga suspek yang dipercayai masuk ke negara ini pada 2010 merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta dan mula aktif melakukan kegiatan haram itu sejak enam bulan lepas.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI