Kisah Puteri Lilian, puteri Sweden

Thursday, March 14, 2013

Kisah Puteri Lilian

Wanita ini antara rahsia terbesar dalam keluarga diraja Sweden - janda daripada golongan biasa yang menjalin hubungan dengan Putera Bertil hingga menjadi ancaman kepada dinasti Bernadotte.

Rentetan percintaannya bagaimanapun menyentuh perasaan. Wanita kelahiran Wales ini sedaya upaya menyimpan kisah cinta terlarangnya selama beberapa dekad hingga akhirnya mereka disatukan pada usia 60-an sejurus menerima restu daripada raja.

Ahad lalu, Puteri Lilian meninggal dunia di Stockholm, Sweden pada usia 97 tahun. Istana Diraja Sweden tidak memberikan punca kematian, namun beliau sebelum ini mengalami penyakit Alzheimer dan keadaan kesihatannya tidak stabil sejak beberapa tahun lalu.

Lilian bertemu Putera Sweden, Putera Bertil pada 1943, tapi kewajipannya kepada takhta dan status Lilian selaku rakyat biasa membuatkan Bertil tidak mampu mengisytiharkan percintaan mereka, apatah lagi mengahwini wanita itu.

Pengorbanan kedua-duanya, di samping dedikasi dan kesetiaan antara satu sama lain nyata meruntun hati rakyat Sweden.

"Jika diringkaskan hidup saya, segala-galanya mengenai kisah percintaan saya. Dia lelaki hebat dan saya mencintainya," jelas puteri genit itu kala meraikan majlis ulang tahun kelahirannya ke-80 pada 1995.

Dilahirkan sebagai Lilian Davies di Swansea, Wales pada 30 Ogos 1915, beliau berpindah ke London ketika berusia 16 tahun bagi mengembangkan kariernya dalam bidang lakonan dan peragaan, selepas beberapa kali tampil sebagai model topi dan sarung tangan serta memegang watak kecil dalam filem bajet.

Lilian kemudiannya bertemu pelakon, Ivan Craig dan mengahwini lelaki itu pada 1940.

Saat meletusnya Perang Dunia Kedua, Craig disenaraikan dalam pasukan tentera British manakala Lilian terus menetap di London dengan bekerja di kilang membuat radio dan melakukan kerja sambilan di hospital.

Ketika itu, Putera Bertil ditempatkan di Kedutaan Sweden yang terletak di tengah kota London sebagai atase tentera laut. Mata mereka saling memandang antara satu sama lain apabila kedua-dua keluar berlibur bersama teman masing-masing di kelab malam popular, Les Ambassadeurs.

Pertemuan singkat itu membawa kepada pertemuan lebih serius beberapa hari kemudian ketika Lilian menyambut hari kelahiran ke-28 pada 1943.

Bertil menerima jemputan Lilian ke pangsapurinya tapi hubungan mereka ketika itu sekadar kenalan biasa.

Hati Lilian bagaimanapun tersentuh apabila Bertil datang menjemputnya susulan serangan udara di kawasan perumahan itu lalu bermulalah kisah cinta rahsia mereka.

"Putera saya yang kacak. Terutama apabila memakai baju seragam tentera. Sangat baik dan penyayang. Juga lelaki lucu. Kami gembira ketawa bersama," ujar Lilian dalam buku memoirnya, `My Life with Prince Bertil' yang diterbitkan pada 2000.

Lilian masih berkahwin pada masa itu, tapi situasi itu diselesaikan dengan baik dan mereka akhirnya bercerai berikutan Craig juga bertemu dengan wanita lain sepanjang dia berada di luar negara.

Sekembalinya Bertil ke Sweden, hubungan cintanya dengan Lilian menjadi tentangan dan isu hangat di istana.

Bertil berkemungkinan menjadi pewaris takhta apabila abang sulungnya meninggal dunia dalam nahas kapal terbang, meninggalkan seorang bayi lelaki - Raja Carl XVI Gustaf yang memerintah Sweden ketika ini.

Dua lagi adik-beradik lelakinya tidak tersenarai kerana mengahwini wanita golongan kebanyakan.

Bapa Bertil, Raja Gustaf VI Adolf, mengarahkannya tidak mengahwini Lilian kerana ia boleh menjejaskan kelangsungan dinasti pemerintahan Bernadotte.

Namun, pasangan itu meneruskan hubungan mereka secara tidak rasmi dengan tinggal bersama selama beberapa dekad. Hubungan mereka sentiasa dianggap rahsia terbuka oleh rakyat Sweden.

Mereka mulanya menetap di Sainte-Maxime di Perancis, sebelum berulang-alik antara perkampungan Perancis itu dengan Stockholm, di mana Lilian tinggal secara rahsia selama beberapa tahun.

Di sebalik keengganan keluarga diraja untuk mengiktiraf pasangan ini secara rasmi, daya tarikan serta personaliti Lilian yang mesra berjaya memenangi hati rakyat Sweden.

Media di negara itu menggambarkan mereka pasangan bahagia yang gemar bermain golf dan bersiar-siar dengan menunggang motosikal Bertil.

Ketika Putera Bertil terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan selepas menjalani pembedahan, Lilian dengan gembiranya menggelar tongkat itu Bugatti Bertil.

Pada 1976, hampir 33 tahun selepas kali pertama pertemuan mereka, raja baru yang memerintah Sweden memberi restu yang selama ini difikirkan mustahil.

Pada Disember tahun sama, Lilian atau Lily - nama kegemaran Bertil - dimahkotakan sebagai Puteri Sweden dan Duchess Of Halland dalam satu majlis meriah di Drottningholm Palace Chapel, pinggir Stockholm.

Pengantin wanita ketika itu berusia 61 tahun manakala pengantin lelaki mencecah 64 tahun.

Pasangan ini bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata. Putera Bertil meninggal dunia di kediaman rasmi mereka di Villa Solbacken, Stockholm pada 1997 selepas mengalami masalah paru-paru.



Lilian terlalu sedih dengan kematian suaminya dan cuba ditenangkan Ratu Silvia yang sanggup menemaninya tidur di kediaman mereka.

Susulan ketiadaan Bertil, Lilian bertanggungjawab meneruskan tugas suaminya, khususnya menjadi penyampai anugerah untuk beberapa persatuan sukan.

Beliau juga mengambil alih kegiatan amal yang diusahakan mendiang suaminya dan setiap hasil keuntungan disalurkan kepada badan kebajikan kanak-kanak.

Masalah kesihatan yang membelenggunya sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan Lilian terpaksa mengurangkan aktiviti luar. Pada 2006, beliau tidak lagi menghadiri majlis Anugerah Nobel dan tahun berikutnya berhenti daripada terbabit dalam majlis anugerah.

Apa yang pasti, ketiadaannya dirasai seluruh penduduk Sweden.

"Antara ahli keluarga diraja yang paling disayangi rakyat, kini sudah tiada," kata Perdana Menteri Sweden, Fredrik Reinfeldt.

Susunan Nor Faizah Mohamed

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI