Suami ugut mahu bunuh isteri

Tuesday, March 26, 2013

Suami ugut mahu bunuh isteri

Alor Gajah: Hanya kerana menziarah ibunya yang uzur selama tiga hari, seorang wanita hamil enam bulan mendakwa nyaris dipijak suaminya yang berang sebelum diugut bunuh dengan keris perhiasan dalam satu kejadian di sekitar daerah ini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Sheila (bukan nama sebenar), 33, bukan saja dipukul lelaki berusia 30 tahun itu, malah tiga anaknya berusia enam hingga 12 tahun turut menjadi mangsa.

Selain itu, suami mangsa dikatakan tidak mengaku anak yang dikandung adalah cahaya matanya sendiri, malah menuduh mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa dimarahi suaminya kerana pulang ke kampung terlalu lama.

"Berikutan gagal menahan kemarahannya, suami mangsa mencapai sebatang rotan buluh dan melibas ke arah badan anaknya tanpa belas kasihan.

"Mangsa cuba menyelamatkan anaknya, namun tergelincir akibat ditolak lelaki terbabit.

"Melihatkan mangsa terlentang, lelaki terbabit cuba memijak mangsa, namun sempat dielak," katanya.

Sumber itu berkata, lelaki itu yang terus hilang pertimbangan mengambil sebilah keris perhiasan yang disangkut di dinding rumah itu lalu diacu ke leher mangsa sambil berkata 'Aku mahu bunuh kau'.

"Akibat ketakutan, mangsa menjerit sekuat hati, namun suaminya terus memukul kedua-dua peha dengan keris sebelum mangsa nekad berlari bersama anaknya bersembunyi di dalam bilik," katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian mengambil pakaian mangsa bersama anaknya lalu mencampaknya ke luar sebelum menghalau mereka dari rumah berkenaan.

Bimbang keselamatan diri dan tiga anaknya, Sheila tampil membuat laporan polis di Balai Polis Rumbia di sini, kelmarin, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Keganasan Rumahtangga, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk siasatan lanjut.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI