Kisah Hidup Taylor Swift

Saturday, February 20, 2010

Taylor Swift seorang gadis dengan penampilan yang tampak seperti serba 'takut', namun Taylor Swift sebenarnya seorang gadis berjiwa besar.


Menyaksikan perjalanannya merentas 'jambatan gantung' yang bila-bila masa boleh membuat dia tersungkur, kemashyuran yang dikecapinya kini nyata berbaloi.

Taylor yang baru sahaja diiktiraf dengan beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Album Terbaik Sepanjang Tahun dan Persembahan Vokal Terbaik Country Wanita menerusi album, Fearless pada majlis Anugerah Grammy ke-52 lalu, sebenarnya telah melalui ranjau sepanjang jalan sebelum boleh tersenyum lebar dengan hasil penat lelahnya itu.

Sejak kecil, pemilik nama sebenar Taylor Alison Swift yang merupakan anak kepada seorang broker saham dan suri rumah tangga ini telah meletakkan sasaran hidupnya.

Pada usia 10 tahun, dia sudah tahu bahawa apabila dewasa, dia akan menjadi anak seni.

Pada usia setahun jagung itu juga dia telah memulakan misinya - turun naik pentas pertandingan menyanyi bukan sahaja di kampung kelahirannya, Wyomissing, Pennsyvania, tetapi di serata Amerika Syarikat.

Menginjak usia 11 tahun pula dengan beraninya, Taylor meninggalkan kaset demo di beberapa syarikat rakaman termasuk di Music City untuk mencuba nasibnya. Malangnya, dia ditolak.

Tidak berputus asa, pada usia 14 tahun dia dan keluarga berpindah ke Nashville untuk menandatangani perjanjian sebagai penulis lirik dengan sebuah syarikat rakaman, Sony/ATV Tree.

Belum mahu berhenti, tuah menjadi miliknya juga apabila sebelum mempunyai lesen memandu, Taylor sudah menandatangani kontrak untuk jadi penyanyi lebih empat tahun lalu.

Itu pun selepas dia menolak lamaran syarikat rakaman gergasi, RCA Records kerana tidak bersetuju dengan kontrak yang diberikan.

Sebaliknya Taylor memilih untuk bernaung di bawah payung sebuah syarikat rakaman baru milik Scott Borchetta, Big Machine Records.

"Adalah sesuatu yang gila sewaktu membuat album pertama dan mengetahui ada banyak orang di luar mula mengambil berat tentang saya, tentang muzik dan lirik saya," ujar Taylor mengenang pembabitan awalnya sebagai penyanyi dan lahir dengan album debut yang menggunakan namanya sendiri, Taylor Swift pada tahun 2006.

Memartabatkan muzik country, bersama album perdana itu Taylor menggembara jauh dan masuk ke dalam dunia muzik antarabangsa, bersaing dengan jalur muzik pop, rock dan balada yang menjadi kegilaan.

Kini di bawah payung syarikat rakaman yang sama juga, pada usia baru mencecah 20 tahun, Taylor menjadi satu fenomena, terutama bagi golongan remaja seusianya.

Kelahiran album kedua, Fearless yang muncul pada 2008 masih berbekas dan memanjangkan popularitinya sehingga kini. Kredibiliti seorang gadis muda yang bijak bermain instrumen, menulis lagunya sendiri dan menyanyi telah membuat Taylor diangkat sebagai idola oleh para peminatnya.

"Saya masih tidak percaya muzik dan diri saya diterima umum. Saya masih ingat lagi, sewaktu di sekolah, saya bukan seorang gadis yang popular.

"Teman lelaki juga tidak ada. Tapi kini segalanya berubah dan saya menghargai setiap penghargaan atau perhatian yang diberikan kepada saya," kata gadis yang juga terkenal dengan single, Crazier yang ditulis khusus untuk filem Hannah Montana: The Movie.

Di sebalik pencapaiannya itu, resipi yang disimpan rapi oleh gadis ini agar terus bertahan dalam industri adalah sikap rendah diri, berusaha keras dan meletakkan peminat di tangga pertama.

Justeru, tidak hairan apabila dia mempunyai jutaan peminat yang terdiri daripada remaja dari seluruh dunia.

"Saya cuma mahu peminat tahu bahawa saya masih Taylor yang sama seperti empat tahun dulu. Hanya saya tidak sempat berasakan pengalaman bersekolah tinggi seperti remaja seusia saja kerana jadual yang amat padat. Tapi saya masih gadis remaja yang sama seperti kamu semua," bicaranya yang suka menterjemahkan perjalanan hidupnya melalui lirik ciptaanya.

Tulis biografi

Masyhur ternyata bukan jaminan buat kehidupan peribadinya berjalan lancar. Diketahui pernah menjalin cinta bersama penyanyi pop Joe Jonas, hubungan mereka bagaimanapun berkubur sejak dua tahun lalu.



Dalam temubual bersama The Ellen DeGeneres Show, Taylor memberitahu hubungannya dengan Joe diputuskan melalui panggilan telefon dengan durasi 27 saat.

Membalas kenyataan Taylor, Joe membela diri dalam blog laman sesawang MySpace peribadi dengan menulis: "Saya hubungi dia (Taylor) untuk berbincang masalah perasaan kami, tapi dia meletakkan telefon dan saya tidak pernah mendapat respons daripadanya lagi selepas itu."

Tidak larut dalam dilema cinta tidak kesampaian itu, Taylor memberi fokus terhadap kariernya.

Sudah meraih pengiktirafam dengan pelbagai anugerah dan kini sedang sibuk menggarap album ketiganya, Taylor bercadang untuk menulis sebuah biografi.

Alasan Taylor, dia mahu kehidupannya direkodkan supaya dia sendiri tidak terlupa dengan hari-hari dan pengalaman yang pernah dilewatinya. Tahu ramai yang berpendapat dia terlalu muda untuk menerbitkan biografi, Taylor mempersetankan pendapat tersebut.

"Saya rasa beberapa tahun mendatang akan menjadi waktu yang tepat buat saya menulis biografi.

"Saya mahu menulis tentang peristiwa-peristiwa yang pernah saya lalui, hal-hal gila yang telah terjadi dalam hidup dan saya mahu mengenang semua perkara yang pernah saya lewati sebelum ini.

"Idea ini muncul kerana saya berpendapat perjalanan hidup saya berlalu dengan cepat sehingga saya terkadang tidak dapat mengingat semua hal.

"Jadi cara untuk membuat saya tidak ketinggalan dengan fasa hidup sendiri adalah mencatatkan semuanya dalam sebuah biografi," katanya yang bagaimanapun belum menetapkan waktu sesuai buat dia menulis biografi tersebut. - MALIAH SURIP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI