Anak muda kelahiran Ipoh, Lucas Marinus Van Breukelen atau sapaan komersial, Luqmarn mengintai peluang menyanyi.
Selari dengan misi ingin berjaya, Luqmarn yang mencuri inspirasi daripada ikon muzik Barat seperti Bjork, Madonna, Cranberries dan Sarah Brightman dalam perjuangan seninya gemar melakukan eksperimen vokal kepada pelbagai jenis muzik.
Puas dengan muzik yang sesuai dengan jiwanya, anak sulung dua beradik ini yakin memperkenalkan sisi barunya sebagai penyanyi selepas album sulungnya, Luqmarn, Februari ini.
“Saya remaja yang gemarkan muzik. Justeru, saya tidak pernah hadkan diri saya untuk mencuba pelbagai jenis lagu.
Namun, apabila serius untuk merakam album, jiwa saya lebih serasi muzik elektro pop, R&B dan jazz.
“Meskipun industri muzik nazak, namun untuk berganjak tidak sekali kerana ini impian dan misi saya sejak kecil.
“Saya berharap single pertama saya, Trio, lagu rancak ciptaan Badhisham dapat diterima,” katanya yang juga berkebolehan bermain piano.
“Jika kita perhatikan selera pendengar hari ini berubah ke arah muzik rancak, moden dan elektronik. Justeru, saya dan beberapa penerbitan album berbincang untuk mencuba kelainan dan lebih dinamik untuk memancing peminat.
“Bagaimanapun, saya tetap gementar untuk melihat reaksi peminat nanti. Mungkin muzik begini akan berjaya menambat selera mereka, memandangkan pengaruh melodi saya berbeza. Yang lebih menakutkan saya adalah ruang untuk memperkenalkan Trio ke stesen radio. Maklumlah sebelum ini terlalu banyak cerita yang saya dengar mengenai rungutan artis yang gagal mendapat tempat di stesen radio.
“Apapun saya akan cuba ‘turun padang’ dalam mempromosi lagu itu selain pelbagai perancangan yang disediakan, termasuk persembahan di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia,” katanya yang akan menyusur dengan single kedua, Satu Apologia.
Luqmarn bukan orang baru kerana sebelum ini penyanyi yang pernah mencipta nama sebagai model terlebih dulu berkhidmat dengan syarikat rakaman tempatan.
Oleh MURSHID EUNOS
0 Komen:
Post a Comment