Tazkirah Online : Sifat hikmat tidak perlu berlebihan

Sunday, February 28, 2010

Hikmat ertinya bijaksana, iaitu keutamaan diberikan Allah kepada manusia supaya dapat mengendalikan syahwatnya dan kemarahannya, jangan sampai memesongkan. Ahli hikmat dinamakan seorang hakim atau kata jamaknya hukama.

Lukman digelar Al-Hakim kerana banyak mengajarkan sifat hikmat itu kepada anaknya untuk mengendalikan akal budi. Sifat hikmat perlu di pertengahan, tidak terlalu ke atas hingga melebihi daripada sepatutnya dan jangan terlalu kurang supaya tidak mendatangkan kerugian.

Hikmat yang berlebihan tidak dinamakan hikmat tetapi cerdik buruk. Cerdiknya tidak memberi manfaat, tetapi merugikan orang lain kerana mana yang tunduk ditekan, mana yang tinggi dipanjat. Cerdik buruk berisi senyum tetapi dalam senyum tersimpan perasaan dengki.

Mulut keluar perkataan manis, laksana bubur bercampur santan dan gula tetapi tersimpan racun yang mematikan.

Orang bodoh tidak ada hikmatnya kerana fikirannya tidak lebih daripada barang yang ada di mukanya.

Dia tidak mengerti akibat. Jika datang seorang penipu menepuk, memberinya sebatang rokok dengan kertas untuk ditandatangani, dia tidak keberatan menandatangani kertas itu.

Bodoh adalah penyakit berpunca daripada tabiat atau keturunan yang sukar disembuhkan. Namun, ada yang kata boleh disembuhkan jika ditimpa penyakit lain. Bagi yang bodoh disebabkan kurang pendidikan, boleh diatasi dengan pembelajaran.

Ada juga penyakit pada orang pintar, tetapi tidak tahu harga diri, tiada perasaan malu dan kurang darjat. Orang gila dapat dikenal daripada kelakuannya dan orang bodoh dapat dikenal daripada aksi dan tutur katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI