Pantang-larang Tahun Baru Cina

Sunday, February 14, 2010

Kata-kata 'zaman dah moden, dunia dah maju' sememangnya banyak mempengaruhi kehidupan remaja kini namun adat tradisi masih tidak boleh dilupakan sewenang-wenangnya.

Begitu juga dengan adat pemberian angpau dan majlis makan beramai-ramai yang lebih dikenali sebagai yee sang.

Yee sang bermaksud majlis makan beramai-ramai untuk keuntungan di kalangan masyarakat Cina yang menjadi tarikan utama sempena sambutan Tahun Baru Cina.


Walaupun kehidupan kini yang serba moden, adat resam ini masih dikekalkan dan tetap diamalkan sehingga kini.

Malah, kebanyakan remaja Cina masih mempercayai dan mengamalkan adat berkenaan supaya ia dapat dipertahankan sepanjang zaman.

Antara yang masih dipertahankan ialah pantang larang ketika sambutan perayaan terbabit iaitu tidak boleh menyapu rumah pada hari pertama sambutan kerana menganggap ia boleh membuang segala keuntungan yang ada.

Loi Bee Theng, 23, berkata, sama seperti masyarakat lain, kaum Cina juga menyambut kedatangan tahun baru dengan meriah yang diyakini dapat memberikan lebih kemakmuran dan kekayaan kepada mereka.

Katanya, mereka akan pastikan tidak akan melakukan perkara yang boleh merosakkan pembawaan keuntungan dalam kehidupan untuk satu tahun mendatang.

Masyarakat Cina turut percaya bahawa mereka akan ditimpa malang jika pinggan mangkuk yang digunakan pada hari sambutan pecah.

Oleh itu, mereka akan pastikan untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan kerja rumah supaya tiada petanda buruk boleh berlaku kepada keluarga mereka.

Malah, menurut gadis ini, acara makan beramai-ramai paling dinantikan ketika sambutan berkenaan kerana ia dapat memperlihatkan perpaduan dan keakraban sesebuah keluarga yang dapat bersama-sama berkumpul bagi merayakannya.

Menurutnya, walau sesibuk manapun individu terbabit dengan pelajaran, kerjaya, perniagaan ataupun urusan seharian mereka, sambutan acara ini tidak boleh dilepaskan.

"Kita perlu pulang ke kampung berjumpa sanak-saudara memandangkan sesetengah orang mungkin hanya dapat berjumpa keluarga mereka setahun sekali.

"Ia adalah perkara wajib yang perlu dilakukan bagi menunjukkan tanda terima kasih kepada keluarga seluruhnya," katanya ketika ditemui di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Ong Huey Shyan, 23, berkata sungguhpun kini kebanyakan remaja tidak lagi mengenakan pakaian tradisional seperti dulu, ini tidak bermakna segala tradisi turut dilupakan.

"Kami masih mengenakan pakaian berwarna merah dan mengelakkan pemakaian baju warna hitam kerana beranggapan ketika menyambut sesuatu perayaan, kita perlu kelihatan ceria," katanya.

Selain itu, pemberian angpau masih tetap diamalkan iaitu bagi pasangan berkahwin mereka perlu memberikan angpau kepada kanak-kanak dan mereka yang belum berkahwin.

"Ia sememangnya dinanti-nantikan kerana pada ketika ini saya dapat mengumpulkan banyak angpau daripada sanak-saudara.

"Malah, sekiranya individu berkenaan sudah lanjut usia, tetapi masih belum berkahwin, dia tetap akan mendapat pemberian angpau. Sama ada dia menerimanya ataupun tidak, bergantung kepada individu berkenaan," katanya.

Cindy Lee Ker Sin, 23, pula menjelaskan kewujudan pantang-larang adalah untuk membimbing perlakuan supaya tidak termasuk dalam kategori masyarakat tidak beradab.

Mungkin ramai tidak mempercayainya kerana menganggap ia sesuatu yang tidak boleh diterima pakai tetapi bagi mereka yang mengamalkannya, ia membantu dalam menjadikan kehidupan lebih bermakna.

Baginya sendiri, perayaan, adat resam dan pantang-larang yang diperturunkan tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadikan siapa diri seseorang itu hari ini.

"Kita perlu memeliharanya supaya tidak terus tenggelam dalam arus kemodenan dunia tanpa sempadan kini.


"Selain kita sebagai generasi muda, siapa lagi yang boleh membantu mengekalkannya untuk tatapan dan pengetahuan generasi akan datang," katanya.

Bagaimanapun, berlainan pula dengan Kenneth Kang, 24, yang tidak lagi mengamalkan adat tradisi ini selepas kematian neneknya.

Menurutnya, dia sekeluarga tidak begitu mengamalkan adat tradisi itu kerana kurang mempercayainya namun ada sebahagian yang masih diamalkan.

"Kami masih mengamalkan acara makan beramai-ramai sebelum Tahun Baru Cina kerana pada ketika itu, ia memberikan banyak kegembiraan dengan berkumpul semula bersama keluarga.

"Lebih-lebih lagi semua sanak-saudara berada jauh di perantauan dan ketika itulah kami dapat bersemuka dan bergembira bersama," katanya.


Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan

1 Komen:

Anonymous said...

Yee sang itu bukan jamuan.yee sang itu sejenis makanan yang dihidangkan semasa tahun baru cina.

Post a Comment

 

ZONFINITI