Makanan halal pula dibantah Perancis

Saturday, February 20, 2010

PARIS 19 Feb. - Langkah sebuah rangkaian makanan segera Perancis menyediakan menu halal di sesetengah restorannya mencetuskan bantahan sebilangan ahli politik, dalam perbalahan terbaru melibatkan penduduk minoriti Islam yang semakin ketara di negara ini.

Rangkaian restoran makanan segera Quick tidak lagi menyajikan burger daging babi di restoran-restorannya di Roubaix, utara Perancis, di Marseille dan di Argenteuil, pinggir Paris, dalam usaha untuk menarik pelanggan Islam yang semakin ramai.

Bagaimanapun ahli politik berhaluan kiri dan kanan mendakwa peralihan kepada burger tanpa daging babi yang dimulakan November lalu, menafikan hak pelanggan bukan Islam untuk mendapatkan menu biasa.

Kata mereka, pelanggan bukan Islam kini terpaksa pergi ke restoran di pinggir bandar untuk mendapatkan burger daging babi kerana Quick adalah satu-satunya restoran makanan segera di pusat bandar.

Para pemimpin bandar Roubaix semalam memfailkan aduan kerana diskriminasi, kata peguam mereka, Frank Berton.

"Saya tidak kisah menu halal disediakan tetapi ini sudah keterlaluan kerana itu sahaja menu yang ditawarkan sehingga menjadi satu bentuk diskriminasi," katanya lagi.

Di bandar dan pekan di seluruh Perancis, lambang merah putih Quick sudah menjadi sebahagian daripada pemandangan biasa seperti juga gerbang emas McDonald's, dengan menawarkan sajian seperti burger, kentang goreng dan minuman ringan.

Namun di lapan daripada 350 restoran Quick, burger keju daging babi tidak disediakan, digantikan dengan versi halal yang menggunakan daging ayam belanda salai.

Mengulas mengenai bantahan berhubung burger halal itu, ketua Majlis Islam Perancis semalam menggesa semua pihak bersikap rasional dan beliau mengumumkan rancangan untuk menemui pemilik Quick.

"Restoran halal dan kosher (untuk penganut Yahudi) sudah lama wujud. Quick ialah rangkaian makanan segera pertama yang menyediakan menu halal sepenuhnya tetapi itu hanya di beberapa restorannya," kata Mohammed Moussaoui.

Beliau berkata, banyak restoran yang tidak menyediakan daging halal tetapi pelanggan Islam tidak pula mengadu didiskriminasi. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI