Bekas suami model dan pengacara Daphne Iking memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa dia terkejut selepas mengetahui Isobel Daniella, bukan anak kandungnya hasil perkongsian hidup dengan wanita itu.
Ryan Chong Yiing Yih), 31, berkata, dia mengesyaki perkara tersebut selepas terbaca kiriman emel antara Daphne dengan seorang ahli perniagaan, Darren Choy Khin Ming, pada 16 Ogos 2008.
Menurut Ryan, dalam emel tersebut Daphne, 31, menceritakan kepada Darren, 45, bahawa seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Kamajit memberitahunya, wajah Isobel, 1, mirip kekasihnya itu.
Sebaik sahaja mengetahui perkara tersebut, menurut Ryan, dia terus membawa Isobel ke sebuah klinik di Petaling Jaya, Selangor untuk menjalani ujian darah dan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan sama ada kanak-kanak tersebut, anak kandungnya atau tidak.
Ryan selaku saksi pertama memberitahu hasil kedua-dua ujian tersebut mendapati jenis darah Isobel berbeza daripadanya dan Daphne.
''Darah saya daripada kumpulan O dan begitu juga Daphne. Tetapi darah Isobel kumpulan A,'' kata Ryan.
Saksi itu memberikan keterangan di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dalam saman peribadi yang dikemukakannya terhadap Darren atas dakwaan memikat bekas model tersebut yang ketika itu masih isterinya.
Darren didakwa memikat atau membawa pergi Daphne dengan niat untuk membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah di sebuah rumah beralamat di B-13-2 The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara Julai 2007 hingga September 2008.
Darren dipercayai individu pertama didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Ryan yang diwakili peguam Wong Kian Kheong, mengemukakan kiriman-kiriman emel dan salinan perbualan sembang maya (chatting) antara bekas isterinya dengan ahli perniagaan tersebut.
Emel itu mengandungi ayat-ayat percintaan antara pasangan tersebut seperti I love you (saya cinta awak), You are my baby (awak kekasih saya) dan beberapa lagi emel dari 13 September 2006 hingga 3 Jun 2008.
Ryan turut mengemukakan invois percutian Daphne dan Darren di sebuah hotel di Bali, Indonesia sebagai bukti pasangan itu pernah bercuti bersama.
Perbicaraan bersambung pada 20 Disember ini.
0 Komen:
Post a Comment