Harian Metro (HM) dan Metro Ahad (MA) dinobat sebagai akhbar nombor satu negara Malaysia dengan masing-masing mencatatkan purata jualan 398,354 naskhah dan 457,331 naskhah dalam tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun 2010.
Menurut laporan terkini dikeluarkan firma penyelidikan Audit Bureau Circulation (ABC), jumlah purata jualan HM meningkat 39,678 naskhah daripada 358,676 naskhah bagi tempoh enam bulan sebelum itu.
Dalam tempoh kajian, MA pula mencatatkan kenaikan 51,825 naskhah daripada 405,506 naskhah sebelum itu, mengatasi saingan terdekatnya Mingguan Malaysia yang mencatatkan jualan purata 373,905 naskhah dalam tempoh sama.
Laporan ABC itu juga menunjukkan edaran akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily menokok dengan purata peningkatan 383,549 naskhah sehari berbanding 378,045 naskhah sehari, manakala China Press meningkat kepada 161,794 (159,896).
Pencapaian cemerlang Harian Metro yang akan menyambut ulang tahun ke-20 Mac tahun depan adalah berikutan penyiaran pelbagai berita yang dapat mencuri tumpuan masyarakat.
Berita mengenai masyarakat termasuk isu sosial, jenayah, mahkamah dan setempat yang dimuatkan dalam HM dan MA menyebabkan ia terus menjadi perhatian dan pilihan masyarakat. Gabungan gaya menarik dan paparan penuh maklumat, HM dan MA muncul sebagai akhbar paling digemari dengan lebih tiga juta pembaca setiap hari selepas hampir 20 tahun melalui pelbagai cabaran.
Dalam perkembangan sama, jualan purata akhbar Kosmo mencatatkan penurunan kecil daripada 172,253 naskhah sehari dalam tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2009 kepada 172,251 naskhah sehari dalam tempoh kajian, manakala Kosmo Ahad meningkat kepada 176,977 naskhah sehari berbanding 175,256 naskhah bagi tempoh enam bulan sebelumnya.
Akhbar Berita Minggu pula mencacatkan peningkatan daripada 230,539 kepada 231,925 naskhah, manakala Mingguan Malaysia turut mencatatkan kenaikan 3,484 naskhah daripada 370,421 naskhah dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu.
Dalam tempoh kajian, beberapa akhbar arus perdana lain turut menunjukkan peningkatan jualan termasuk Berita Harian.
0 Komen:
Post a Comment