Bahaya Beg Plastik

Sunday, December 05, 2010

Apakah yang anda dapat bayangkan jika terlihat beg plastik? Pastinya kita akan membayangkan banyak kelebihan beg plastik terutamanya ketika membeli belah dan untuk kegunaan harian. Tahukah anda bahawa beg plastik yang kita buang boleh berada di tapak pelupusan untuk beribu-ribu tahun lamanya?

Waktu yang diperlukan adalah 1000 tahun agar plastik dapat dihapuskan oleh tanah melalui proses pereputan dengan sempurna dan ini merupakan jangka waktu yang sangat lama. Tambahan lagi, apabila ia terhapus, beg plastik ini akan mencemari tanah dan air. Kekerapan kita menggunakan beg plastik untuk mengisi barang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Menurut artikel terbitan Republika online yang berjudul “Bahaya Sampah Plastik bagi Lingkungan dan Kesihatan" dianggarkan lebih 500 juta beg plastik digunakan di dunia setiap tahun dan jika sampah-sampah ini dibiarkan, ia dapat melitupi permukaan bumi setidak-tidaknya sehingga 10 kali ganda. Cuba anda bayangkan begitu tragisnya keadaan beg plastik yang sudah terlampau menggunung di bumi kita ini.

Setiap tahun, sekitar 500 million sehingga 1 trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia. Dianggarkan setiap orang menggunakan sekitar 170 buah beg plastik setiap tahun. Jika diimbas kembali 20 tahun dahulu, kertas atau suratkhabar lama merupakan alternatif yang digunakan untuk membungkus barang keperluan harian di kedai-kedai runcit atau pasar. Walau bagaimanapun, kini ia telah digantikan hampir sepenuhnya oleh beg plastik sama ada kita membeli buah-buahan, kuih-muih, roti atau sehelai kemeja.

Kajian di beberapa negara juga menunjukkan bahawa kebiasaannya pengguna malas membawa beg sendiri ketika membeli-belah dan mereka hanya menerima sahaja beg plastik yang diberi oleh penjual, tetapi tidakkah mereka sedar bahawa mereka bakal mengundang satu bahaya yang tiada penghujungnya.

Jadi, apakah yang membimbangkan tentang plastik? Plastik merupakan bahan yang diperbuat dari sumber yang amat berharga iaitu minyak. Apa yang membimbangkan di sini ialah lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, maka semakin berkuranglah bekalan minyak kita pada masa hadapan.

Beg plastik tidak dapat dilupuskan dari muka bumi ini walaupun kita mengurangkan penggunaannya dari sekarang. Tetapi perlu diingat bahawa masih terdapat banyak beg plastik yang sedia terkumpul digunakan sejak kertas dan surat khabar lama tidak digunakan.

Untuk pengetahuan ramai, terdapat satu bahan karsinogen atau benzen akan dihasilkan sewaktu beg plastik dibakar iaitu satu bahan yang boleh menjadi penyebab kanser dan jika ia ditanam sekalipun, bahan toksin di dalamnya masih mampu memasuki sumber air minuman kita seharian manakala haiwan yang termakan beg plastik tersebut juga boleh mati. Menurut Prof Dr Jamal Hisham Hashim, Pensyarah Kesihatan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam satu artikel bertajuk “Botol Barah” berkata, beg plastik makanan diperbuat daripada polyethylene (PE) di mana PE tidak mengandungi 'vinyl cloride monomer' (VCM) yang tidak boleh menyebabkan barah, namun masih tidak sesuai digunakan berulang-ulang.

Sebenarnya penjual boleh menggalakkan pengguna menggunakan beg kain ketika membeli-belah dengan menyediakan beg tersebut atau meminta pengguna menggunakan semula beg plastik. Dengan ini, penggunaan beg plastik akan berkurangan sedikit demi sedikit dan bahaya penyakit kronik yang berpunca dari pengguanaan beg plastik seumpama ini akan juga berkurangan.

Bermula 5 Jun 2009 bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia, IKEA mula menggalakkan penggunaan beg kitar semula untuk pelanggan membeli-belah di IKEA di mana pelanggan boleh membawa beg kitar semula mereka sendiri atau membeli "Beg Biru Besar" IKEA yang boleh diguna semula bagi mengurangkan penggunaan beg plastik sedia ada. Sehubungan itu, bagi mengurangkan penggunaan beg plastik, Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil langkah proaktif dengan menolak penggunaan beg plastik dalam sekitar kampus.

“Oleh kerana kempen itu digerakkan oleh pelajar sendiri, maka ia dijangka lebih berkesan dalam mencapai sasarannya” kata Pengerusi lembaga pengarahnya Tan Sri Ani Arope kepada pemberita selepas merasmikan satu forum mengenai plastik anjuran bersama universiti itu dan Tupperware Brand Malaysia.

Dengan itu, kerajaan Malaysia juga menyambut baik kempen yang telah dijalankan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik yang mendatangkan bahaya dengan melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara.

Menurut Y.B. Datuk Peter Chin Fah Kui Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam ucapan beliau ketika Majlis Perjumpaan Y.B. Menteri Bersama Warga KeTTHA dan Pegawai-pegawai Agensi di bawah Kementerian Tenaga Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) berkata, beliau memerlukan sokongan dan kerjasama dari semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, industri, NGO’s, dan sebagainya bagi menjayakan Dasar Teknologi Hijau Negara.

“Saya ingin melihat penglibatan semua pihak dengan menyokong apa jua program atau aktiviti yang berkaitan dengan teknologi hijau. “Sebagai permulaan, kita boleh melancarkan kempen penjimatan penggunaan tenaga dan kesedaran mengenai bahaya penggunaan beg plastik. Untuk itu, kita semua harus memulakan kempen pengharaman penggunaan beg plastik misalnya oleh pengusaha kantin yang beroperasi di premis Kementerian Tenaga Teknologi Hijau Dan Air,” katanya.

Oleh yang demikian, seluruh ahli masyarakat disarankan agar mengurangkan penggunaan beg plastik sejajar dengan kempen kerajaan baru-baru ini demi kesejahteraan hidup bersama.

Oleh: Subri Awang, Mohd Zulkifli Mat Jusoh & Mohd Arman Shaidi


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI