Ayam Serama Sebagai Ikon Unggas Warisan Negara

Sunday, December 05, 2010

Mungkin anda peminat ayam serama, ayam terkecil di dunia yang datang dari warisan turun temurun khazanah alam negara ini.

Namun, lantaran harganya yang tinggi setanding dengan karya seni yang indah, anda mungkin hanya dapat menatap haiwan kecil molek ini tanpa mampu memilikinya.

Tetapi, sesuatu masih boleh dilakukan untuk menentukan penglibatan anda dalam mempopularkan lagi haiwan ini.



Anda boleh menurunkan tandatangan menyertai usaha mengangkat Ayam Serama Malaysia sebagai Ikon Unggas Warisan Negara.

Untuk tujuan itu, Persekutuan Ayam Serama Sedunia Malaysia (PASSM) sedang menganjurkan Kempen Sejuta Tandatangan Rakyat Malaysia.

"Kita mempelawa seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memberi sokongan padu menerusi kempen ini dan kami yakin sasaran sejuta rakyat Malaysia akan diperolehi menjelang pertengahan tahun 2011," kata penaung PASSM, Datuk Hasan Malek kepada Bernama.

Hasan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata usaha meraih sokongan ini bermula Jumaat lalu di MAHA International 2010 dan diteruskan selama enam bulan.

Katanya, PASSM bakal mengemukakan syor sokongan cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Pelancaran PASSM tahun depan.

Selain di MAHA Antarabangsa 2010, katanya rakyat Malaysia boleh menyertai kempen ini di empat lagi lokasi seperti Galeri Serama Malaysia, Jalan Selaman, Ampang; Kedai Serama Malaysia, Ampang Water Front, Ampang; Pusat Kraf Serama Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur; dan Galeri Seni Kraf Serama Malaysia, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

"Ayam serama memang amat sukar ditemui. Dengan daya kreativiti dan inovasi orang-orang terdahulu, telah banyak dilakukan proses kacukan untuk mendapatkan baka ayam serama yang cantik," katanya.

Hasan berkata PASSM akan mengadakan Majlis Pelancaran Buku 'Serama Malaysia Ayam Terkecil Dunia' oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 16 Dis.

Buku yang ditulis oleh Presiden PASSM, Ahmad Fauzi Mohamed, memuatkan segala aspek penternakan, pembiakan, kesihatan, kawalan penyakit, pemakanan, penjagaan, pengurusan pertandingan dan juga potensi industri ayam tersebut.

Oleh Massita Ahmad

-- BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI