Lirik vs lagu

Saturday, July 02, 2011

Tak lengkap melodi tanpa lirik. Lirik bagai cerita mini yang hanya memerlukan mungkin 16 baris perkataan, tetapi mampu menceritakan mengenai seluruh kehidupan.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini lirik lagu bagai hilang nilai estetikanya apabila ada di kalangan penulis lirik menghasilkannya sekadar untuk memenuhi tuntutan nota lagu dan tidak memenuhi tuntutan estetika sastera Melayu. Justeru, ada kala lirik lagu muncul dengan tatabahasa yang salah, malahan menggunakan perkataan yang langsung tiada dalam daftar kata, misalnya seksis.

Selain itu, penggunaan bahasa asing dalam lagu Bahasa Melayu, seperti hi hi bye bye, please menghilangkan langsung estetika lirik.

Persoalan itu dikongsi dengan khalayak Dialog Getaran Jiwa; Irama, Lagu dan Sastera dan tiga panel, Hairul Anuar Harun, Habsah Hassan dan Ad Samad bersetuju bahawa ramai orang mencuba-cuba untuk menjadi penulis lirik tanpa menguasai ilmu bahasa dan sastera.

Lirik juga kerap kali dicantas bagi memenuhi tuntutan nota lagu sehingga maksud sebenar yang ingin disampaikan penulis tidak sampai dan lebih buruk, membuang sesetengah perkataan sehingga mencacatkan lirik.

"Pernah terjadi, apabila lirik saya tidak difahami oleh komposer dan penyanyi apabila perkataan menyakitkan diubah menjadi menyakit kerana hendak memenuhi tuntutan nota lagu. Pernah juga perumpamaan `ayam tambatan ditumbuk rusuk' yang saya tulis, tetapi menjadi `ayam tambatan ditumbuk masuk'.

"Penulisan lirik ibarat puisi popular atau cerpen mini. Setiap penulis lirik ada pengalaman sendiri dalam penghasilan lirik. Tidak semestinya penyair boleh menulis lirik yang bagus sebab ia dua perkara berbeza. Dua bidang ini memerlukan kemahiran yang berbeza," katanya pada dialog yang dipengerusikan penyair, Prof Madya Lim Swee Tin pada majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Namun, pengalaman dan kemahiran dalam bahasa Melayu dan sastera memberi kelebihan kepada seseorang penulis lirik.

"Saya bermula sebagai penulis skrip, cerpen dan puisi. Itu mungkin kelebihan saya. Namun, saya masih merujuk kepada kamus dewan setiap kali tidak pasti dalam memilih perkataan. Perkataan itu perlu mudah tetapi ada nilai estetika," tegasnya.

Bagi Hairul Anuar pula, terlalu banyak lirik lagu hari ini yang menyimpang maknanya dan kurang nilai estetikanya dan ini menunjukkan betapa pendidikan seni sangat penting kerana ia pancaran pada lirik yang dihasilkan.

"Lirik lagu perlu mengangkat estetika. Penulisan lirik juga perlu mementingkan aspek bahasa dan estetika, bukan hanya melodi. Ia perlu ada kepekaan apresiasi. Namun, hari ini kita seakan-akan hanya boleh menemui lirik yang penuh keindahan bahasa ini hanya pada lagu tradisional.

"Penggunaan lirik dengan gaya sastera menghasilkan lirik yang baik dan indah, Namun, kebanyakan penulis lirik hari ini menulis apa yang dirasai, akhirnya sastera dalam lirik lagu terketepi kerana melodi lagu yang diutamakan.

"Penulis lirik perlu sedar bahawa lirik adalah makanan rohani dan ia meresap ke dalam jiwa, tetapi sayangnya, lirik penuh seni dan sastera sebegini hanya kerap ditemui dalam lagu tradisional," katanya.

Penulis lirik Kalis Rindu, Ad Samad pula yakin bahawa nilai estetika dalam lirik adalah antara perkara utama, selain memenuhi tuntutan nota lagu, ia juga sewajarnya mengangkat bahasa Melayu itu sendiri.

"Saya masih bersandarkan Kamus Dewan untuk menghasilkan lirik yang indah. Mungkin perkataan itu sudah ada dalam benak saya, tetapi ia perlu dipastikan. Saya tidak mahu menghasilkan lirik lagu dengan penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul," katanya.

Ad mengakui bahawa nilai estetika juga boleh ditemui dalam penggunaan ayat mudah dan ringkas, selain gabungan perkataan ringkas, lalu jika kena caranya, ia akan menerbitkan nilai estetika tersendiri.

"Estetika itu subjektif. Namun, jangan sampai menyimpang. Lirik mesti cantik. Ada kalanya kecantikannya luar biasa indah. Lirik juga mesti mudah kerana ia bukan sajak," katanya.

Oleh Hafizah Iszahanid

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI