Ibu bapa memikul amanah Allah antaranya mendidik anak menjadi manusia berjaya.
Suasana masyarakat yang sangat materialistik memberi cabaran hebat kepada ibu bapa mendidik anak menjadi mukmin yang berperanan dalam Islam. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu." (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Ibu bapa perlu sedar mereka sedang menyediakan generasi baru yang mesti menjadi insan yang memberi kesan positif terhadap insan lain.
Secara langsung, nilai dan gaya hidup ibu bapa mempengaruhi tarbiah anak. Anak melakukan apa yang mereka lihat dan mengingatinya untuk dicontohi. Apa yang nyata, anak melihat ibu bapanya menipu tidak akan belajar menjadi orang yang jujur.
Oleh itu, ibu bapa perlu berhati-hati dalam perbuatan, perkataan serta tingkah laku kerana mereka adalah teladan kepada anak. Bak kata pepatah bapa borek anak rintik. Ia merujuk perilaku negatif ibu bapa yang menjadi ikutan anak.
Kita ingin perkara baik dilakukan anak yang menjadi biasan kepada ibu bapa supaya kena dengan pepatah, di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Ibu bapa hari ini perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah dalam usaha mendidik serta membesarkan anak supaya menjadi insan yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
Banyak riwayat merujuk kisah teladan Rasulullah SAW mentadbir dan menguruskan rumah tangga antaranya:
* Mempromosikan dan menghayati hidup beragama dalam rumah tangga.
* Mewujudkan suasana keluarga yang sihat
* Mewujudkan sifat belas kasihan, ihsan, lemah lembut dan kasih sayang
* Memahami tahap keperluan anak mengikut proses pembesarannya.
Hakikatnya pencegahan kes juvana dan gejala moral lain bermula di rumah. Bagaimanapun sumbangan penting pihak berkuasa seperti polis amat besar dalam mencegah jenayah.
Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27)
Tunjuk tingkah laku positif cara berkesan didik anak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment