Persiapan hadapi Ramadan

Sunday, July 31, 2011

Tingkat ibadat sunat persiapan hadapi Ramadan

Berdepan suasana yang berlaku dalam negara memungkinkan kita terlupa kehadiran Ramadan beberapa hari lagi. Saat itu memang dinanti kerana Ramadan bulan anugerah Allah yang luar biasa keberkatan dan rahmatnya.

Mereka yang diberi peluang untuk meneruskan kehidupan sewajarnya memanjat kesyukuran kepada Allah kerana masih diberi peluang meneruskan kehidupan pada bulan mulia yang penuh rahmat.

Sesungguhnya Ramadan benar-benar menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan ikhlas maka Allah akan mengampuni dosanya yang sudah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada dua perkara perlu diberi perhatian sebelum Ramadan. Pertama, persiapan menyambut dan mengimarahkannya. Jangan ambil mudah soal ini selepas hampir setahun kita meninggalkannya.

Apabila tidak bersedia dibimbangi kita meremehkan perintah wajib. Akibatnya sangat besar iaitu kelemahan menjalankan kewajipan hingga tersekat keredaan Allah atas kelalaian sendiri.

Keduanya, apakah kita akan berjaya memenuhi piawaian Ramadan yang dituntut mengisinya dengan mengerjakan amal ibadat. Yakinlah ganjaran berganda yang diperuntukkan. Bagaimanapun, dugaan tetap menanti.

Sebagai persiapan menyambut kehadiran Ramadan, sebaiknya membuat persiapan awal supaya tidak ada cacat celanya yang membawa kepada penyesalan selepas berlalunya sambutan itu.

Melakukan puasa sunat sebelum Ramadan adalah salah satu cara melatih dan membiasakan diri menghadapi Ramadan. Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang sebaik-baiknya kepada ummah apabila Baginda memperbanyakkan puasa sunat pada Syaaban.

Kita juga hendaklah sentiasa memperbaharui taubat kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap keturunan Adam itu banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Ramadan juga menguji ketaatan sekali gus membiasakan diri dengan amal ibadah sehingga jiwa terdidik untuk melaksanakan segala perintah Allah. Sehubungan itu, mukmin digalakkan memperbanyakkan iktikaf di masjid untuk beribadah kepada Allah.

Segala virus penyakit mazmumah yang membiak dalam hati seperti angkuh, sombong, riak, pemarah, pendendam dan sebagainya dapat dihapuskan melalui amalan iktikaf. Gantikan dengan usaha mempererat silaturahim kerana ia tanda seseorang itu beriman dengan sebenar-benarnya.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Musa bin Imran pernah berkata: Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandangan-Mu? Allah menjawab: Barang siapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam." (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Banyak kelebihan bagi orang yang memaafkan kesilapan orang lain, bukan hanya ketenangan hidup di dunia malah akan mendapat kelebihan di akhirat. Apa yang lebih penting, sikap memberi maaf dan memohon maaf ini menjadi rimbunan menyejukkan jiwa untuk melaksanakan solat dan puasa.

Atta bin Abdullah Khurasani meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berjabat tanganlah antara kamu kerana ia akan menghapuskan kebencian dan berilah hadiah antara satu sama lain kerana ia akan menimbulkan kasih sayang dan menjauhi permusuhan." (Hadis riwayat Muwatta Imam Malik)

Untuk menambah kerinduan dan semangat kita membuat persiapan menyambut kedatangan Ramadan, hendaklah kita mengingat dan merenung kembali pesanan Rasulullah SAW yang pernah Baginda sampaikan pada akhir bulan Syaaban.

Salman al-Farisi menyatakan Rasulullah SAW pernah berkhutbah pada akhir Syaaban: "Wahai manusia, kalian telah dinaungi bulan yang agung, bulan penuh berkat, bulan yang dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa pada bulan itu sebagai suatu kewajipan dan solat malamnya sebagai sunnah. Siapa saja yang bertaqarrub di dalamnya dengan sebuah kebajikan, ia seperti melaksanakan kewajipan pada bulan yang lain. Siapa saja yang melaksanakan satu kewajipan di dalamnya, ia seperti melaksanakan 70 kewajipan pada bulan lainnya. Ramadan adalah bulan sabar; sabar pahalanya adalah syurga. Ia juga bulan penglipur lara dan ditambahnya rezeki seorang Mukmin. Siapa saja yang memberikan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa, ia akan diampuni dosa-dosanya dan dibebaskan lehernya dari api neraka. Ia akan mendapatkan pahala orang itu tanpa mengurangi pahalanya sedikit pun. Sahabat berkata: Kami tidak memiliki sesuatu untuk memberi makan orang yang berpuasa puasa? Rasulullah SAW menjawab: Allah akan memberikan pahala kepada orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka berpuasa meskipun dia hanya memberi sebutir kurma, seteguk air minum atau setelapak susu. Ramadan adalah bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka." (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah dalam Shahih Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman).

Oleh Amran Zakaria

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI