Lihat Planer Zuhrah pada 6 Jun 2012 - Fenomena astronomi

Thursday, May 31, 2012 0 Komen

Orang ramai terutama peminat serta pengkaji astronomi berpeluang melihat planet Zuhrah yang akan muncul merentasi matahari buat kali terakhir pada abad ini pada 6 Jun nanti.

Fenomena astronomi itu bakal disaksikan ramai penduduk dunia termasuk Malaysia selepas matahari terbit pada pukul 7.12 pagi, Rabu depan.

Kurator Kanan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM), Zolkurnain Hassan berkata, fenomena yang dipanggil transit planet Zuhrah itu akan berlanjutan sehingga 1 petang.

Kata beliau, pihaknya dengan kerjasama Kelab Astronomi USM akan mengadakan program khas ini bertempat di tiga lokasi utama di kampus universiti itu dengan menyediakan teleskop untuk memudahkan orang ramai menyaksikan pergerakan planet Zuhrah.

"Pelbagai aktiviti lain diadakan seperti pameran transit planet Zuhrah, ceramah astronomi, pertandingan fotografi dan lawatan ke planetarium," ujarnya.

Transit Zuhrah adalah fenomena astronomi yang mana planet ini bergerak antara matahari dan bumi.

Semasa transit, planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu bintik berwarna hitam merentasi cakera matahari secara perlahan-lahan selama enam jam dan ia boleh disaksikan menerusi penuras suria atau kaca mata gerhana.

Syed Zainal Abidin Letak Jawatan Daripada Proton

Wednesday, May 30, 2012 0 Komen

Proton Holdings Bhd, Selasa, mengesahkan peletakan jawatan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, berkuat kuasa 4 Julai, 2012.

"Syed Zainal telah bersama dengan Proton lebih enam tahun dan kami amat berterima kasih di atas segala sumbangan beliau kepada syarikat.

"Beliau memutuskan untuk meninggalkan Proton atas kehendaknya sendiri bagi meneruskan minatnya dan kami menghormati keputusan beliau," kata pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan susulan pertanyaan media.

Syarikat itu juga mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Kewangan Azhar Othman, berkuat kuasa 6 Julai.

"Kami mengucapkan selamat berjaya kepada mereka dalam apa juga bidang yang diceburi di masa depan," kata Proton.

Susulan peletakan jawatan Syed Zainal, Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, akan meneruskan kepimpinannya dalam menerajui syarikat.

Ditubuhkan pada 1983, Proton merupakan anak syarikat DRB-HICOM Bhd dan pengeluar automobil terbesar Malaysia, dan satu-satunya pengeluar kelengkapan asli atau pengeluar kereta menyeluruh di Asia Tenggara.

Ia beroperasi di pasaran-pasaran utama dari United Kingdom hingga ke Timur Tengah dan di seluruh Asia Tenggara dan Australasia, terutama di negara seperti China dan Iran. - BERNAMA

Sam Chong, rakyat Malaysia individu kaya Australia

Wednesday, May 30, 2012 0 Komen

Pengusaha lombong Sam Chong muncul sebagai bilionair kelahiran Malaysia pertama di Australia memasuki senarai 200 Orang Paling Kaya yang didedahkan majalah Business Review Weekly (BRW) minggu lalu.

Jumlah kekayaan Chong, 69, yang berasal dari Tanah Rata, Cameron Highlands, meningkat sebanyak A$50 juta (RM153.623 juta) tahun ini kepada A$950 juta (RM2.918 bilion).

Ia membolehkan bapa kepada seorang anak itu berada di kedudukan ke-27 dalam senarai.

Chong datang ke Australia pada 1973 untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan perlombongan di University of New South Wales, Sydney.

BRW berkata, Chong menceburi pelbagai peranan dalam bidang perlombongan selepas tamat pengajian dan seterusnya menyandang jawatan penting dalam Queensland Coal Mine Management, kini dikenali sebagai Jellinbah Group, pada 1980-an.

Bilionair yang tinggal di Brisbane itu, turut memiliki portfolio meluas dalam bidang hartanah di Brisbane dan kawasan sekitarnya, termasuk sebuah pangsapuri bernilai A$70 juta (RM215 juta) dan projek pembangunan hotel di Kawasan Pusat Perniagaan (CBD) Brisbane, yang dijadualkan siap akhir tahun depan.

Sementara itu, seorang lagi anak Malaysia, pemaju hartanah Queensland, Maha Sinnathamby, 72, semakin hampir menyertai ‘kelab bilionair’ dengan jumlah kekayaan bernilai A$820 juta (RM2.519 bilion).

Greater Springfield kepunyaan beliau, merupakan bandar milik persendirian terbesar yang dibangunkan berdasarkan pelan induk di Australia.

Dua anak Malaysia yang termasuk dalam senarai orang paling kaya BRW tahun ini ialah David Teoh dan isterinya Vicky, kedua-duanya berusia 56 tahun, menambah jumlah kekayaan daripada A$484 juta (RM1.487 bilion) pada tahun lepas kepada A$525 juta (RM1.613 bilion) tahun ini.

Pasangan suami isteri itu merupakan pengasas TPG Telecom, penyedia perkhidmatan Internet di Australia. - BERNAMA

Suriani Abdul Wahab pulang ke tanah air dari Lombok

Tuesday, May 29, 2012 0 Komen

Suriani Abdul Wahab dari Baling, Kedah yang melarikan diri mengikut kekasihnya bernama Madun ke Lombok, Indonesia empat tahun lalu telah selamat tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini pada pukul 8 malam tadi.

Ketibaan Suriani yang kini berusia 21 tahun disambut oleh ibu bapanya dan Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dalam suasana hiba tetapi penuh kesyukuran.

Bagaimanapun, Suriani yang ditemui sejurus tiba di LCCT terlalu sebak dan sedih untuk ditemu bual oleh media.

Beliau yang tiba tanpa ditemani suami dan anaknya hanya berkata, "terima kasih dan seronok.''

Ayah Suriani, Abd Wahab Salleh dan ibunya, Siti Zalekho Wahab, yang ditemui turut melahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan.

"Kami juga akan menerima secara terbuka menantu dan cucu kami itu kerana apa yang terjadi, sudah terjadi dan kami anggap ia takdir dan jodoh anak kami itu,'' kata Abd Wahab. - UTUSAN

Plat WWW 1 milik Sultan Johor

Tuesday, May 29, 2012 0 Komen

WNombor plat dengan bidaan tertinggi, WWW 1 akhirnya menjadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan menerusi laman webnya hari ini berkata, surat rasmi berhubung keputusan itu akan dikeluarkan pada 6 Jun manakala urusan pendaftaran nombor plat kenderaan pula boleh dibuat pada 15 Jun ini.

"Nombor plat itu yang dibida pada harga RM520,000 memecahkan rekod bidaan tertinggi sebelum ini iaitu MCA 1 yang dijual dengan harga RM300,100 pada tahun lalu," katanya.

Nombor pendaftaran siri WWW mendapat sambutan di luar jangkaan apabila menerima 18,243 permohonan sepanjang ia dibuka untuk bidaan dari 30 April hingga 14 Mei lalu.

Pada asasnya semua nombor bernilai utama, nombor menarik dan nombor popular termasuk nombor biasa lain yang mungkin mempunyai nilai sentimental atau maksud tertentu kepada pembida telah habis dibida.

Piala Uber 2012 milik China

Sunday, May 27, 2012 0 Komen

China merangkul kejuaraan Piala Uber buat kali ke-12 dengan membenam musuh tradisi mereka Korea 3-0, semalam.

Hampir dikejutkan dalam saingan perseorangan wanita, jaguh No. 1 dunia, Wang Yihan bagaimanapun bangkit daripada ketinggalan 14-21, 16-20 untuk mengutip mata pertama tuan rumah dengan kemenangan sengit 14-21, 22-20, 2-13 ke atas Sung Ji Hyun.

Pasangan No. 1 dunia, Yu Yang-Wang Xioli terlalu unggul buat beregu Korea, Kim Ming Jung-Ha Jung Eun apabila melakar kemenangan 21-15, 21-13 untuk meletakkan China 2-0 di depan, sebelum pemain No. 2 dunia Wang Xin hanya mengambil masa 39 minit untuk mengesahkan gelaran milik negaranya, menumpaskan Bae Youn Joo 21-10, 21-16.

China merupakan pemenang terbanyak Piala Uber sejak kejohanan berpasukan wanita ini diperkenalkan pada 1957 dengan muncul juara 1984, 1986, 1988, 1990, 1992, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008 serta 2012.

Jepun pernah memenangi Piala Uber sebanyak lima kali, diikuti Indonesia (3), Amerika Syarikat (3) dan Korea sekali.

Malah kemenangan semalam menyuntik semangat pasukan lelaki mereka yang akan turut berdepan Korea Selatan pada perlawanan akhir Piala Thomas, hari ini.

"Saya melihat ke arah trofi (Piala Uber) dan saya mula berfikir, bagaimana kalau saya kalah lagi dalam perlawanan ini seperti 2010?

“Kebimbangan itu membuatkan saya tiba-tiba mendapat kekuatan untuk membuktikan semuanya tidak betul.

"Saya tidak terfikir saya akan menangis di gelanggang hari ini tetapi apabila saya menjerit, air mata tiba-tiba mengalir di pipi dan kemudian saya memeluk Li Yongbo (ketua jurulatih China).

“Saya juga boleh melihat dia menangis, ia perlawanan yang penuh emosi,'' cerita Wang Yihan. - UTUSAN

Sanggup tetak kepala anak saudara kerana sihir

Sunday, May 27, 2012 0 Komen

KATHMANDU - Seorang wanita yang juga pelatih amalan sihir di Nepal, ditahan polis selepas mengaku menetak kepala anak saudaranya berumur tiga tahun sehingga mati atas arahan gurunya.

Wanita berumur 25 tahun yang ditahan di Samanpur, Kathmandu, memberitahu polis bahawa semua kemahirannya akan lengkap, jika mengorbankan anak saudara dan anak lelaki sulung dalam keluarganya itu.

Menurut pegawai polis, Mahadevi Yadav didakwa melakukan upacara 'pengorbanan' terhadap Nitesh Kumar Yadav pada tengah malam Sabtu lalu dan mengaku melakukan kesalahan itu.

Laporan agensi berita tempatan menunjukkan, Yadav mengorbankan kanak-kanak lelaki itu berikutan arahan daripada gurunya yang mengajar ilmu sihir hitam.

"Saya telah mempelajari ilmu sihir dari Chhabilal Yadav of Haraiya sejak bulan lalu. Dia mengarahkan agar saya mengorbankan anak saudara bagi melengkapkan kemahiran yang telah dipelajari ini," katanya.

Kemuncak Himpunan Jutaan Belia 2012

Saturday, May 26, 2012 0 Komen

Sambutan Himpunan Jutaan Belia 2012 di sini tiba ke acara kemuncaknya petang ini dengan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyempurnakan majlis pelancarannya.

Perdana Menteri dijangka tiba di kawasan tapak perhimpunan pada kira-kira jam 3 petang, dan menaiki trem untuk melawat beberapa segmen sebelum ke pentas utama bagi majlis pelancaran.

Himpunan Jutaan Belia selama lima hari yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara itu disasar menghimpunkan kira-kira dua juta golongan belia dengan pelbagai aktiviti mereka, dan ia memasuki hari keempat hari ini.

Perhimpunan yang menampilkan 38 segmen, menyediakan kira-kira 500 aktiviti, tersusun di laluan sejauh enam kilometer yang dilengkapi dengan 24 pentas pertunjukan untuk dikunjungi orang ramai itu disasar menjadi antara 10 karnival tahunan terbesar dunia.

Dalam perutusan Perdana Menteri sempena Hari Belia minggu lalu, Najib berkata, perhimpunan ini merupakan manifestasi pengiktirafan kerajaan bagi menjadikan Putrajaya sebagai medan besar untuk belia mempamer tenaga dan kreativiti masing-masing.

Himpunan Jutaan Belia 2012

Dalam tinjauan mesranya hari ini Perdana Menteri dijangka singgah di segmen-segmen seperti mencanting batik, Little Indian Street, Chinese Youth Cultural Village, dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Najib yang baru pulang dari lawatan kerja ke United Kingdom dan Amerika Syarikat malam tadi, turut dijadual menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara 2012 bagi kategori 'Lelaki', 'Wanita', 'Pencapaian Luar Biasa' '1Belia 1Malaysia', dan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia 2012.

Tinjauan ke kawasan tapak perhimpunan pagi ini menyaksikan segala persiapan sudah mula diatur, orang ramai telah membanjiri kawasan pelbagai segmen yang disediakan, dan kenderaan bersesak di tempat-tempat letak kereta. - BERNAMA

Rakuten Online Shopping di Malaysia

Friday, May 25, 2012 0 Komen

RAKUTEN Inc, peneraju perkhidmatan e-dagang terulung Jepun, merancang untuk melancarkan pusat membeli belah Internet di Malaysia dengan nama Rakuten Online Shopping menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini syarikat terbabit sedang menarik penyertaan rakan kongsi niaga di kalangan syarikat jualan dan pemasaran bagi memenuhi keperluan pusat beli belah dalam talian itu, di samping menumpukan ke arah penawaran barangan terbaik tempatan dan antarabangsa kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Online Shopping, Masaya Ueno berkata, ini adalah usaha Rakuten melebarkan sayap ke pasaran Asia Tenggara untuk menjadikannya yang ketiga di rantau itu selepas TARAD.com di Thailand dan Rakuten Belanja Online di Indonesia pada 2011.

“Pengalaman beli-belah Rakuten menjanjikan hanya yang terbaik kepada pengguna dan pedagang. Kami memperkasa syarikat jualan dan pemasaran dengan platform, peralatan dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk menjalankan perniagaan dalam talian yang berjaya.”

“Kami juga membolehkan mereka menyusun antaramuka kedai dalam talian mereka bagi mempertingkat daya tarikan jenama mereka sendiri dan membolehkan mereka berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan. Fleksibiliti dan interaksi ini menghidupkan pengalaman dan mengembalikan keseronokan beli-belah dalam talian,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Menurut Ueno, Malaysia adalah pasaran menarik ekoran kestabilan ekonomi dan prasarana yang lengkap bagi pembangunan e-dagang, termasuk Internet, logistik dan fasiliti pembayaran dalam talian.

Perkembangan pasaran Malaysia dan arah aliran beli-belah dalam talian yang semakin menggalakkan menawarkan suatu peluang cerah bagi Rakuten di pasaran ini.

Kemiskinan jejas kesejahteraan Muslim

Friday, May 25, 2012 0 Komen

Doa yang selalu mengalir daripada lidah kita adalah rabbana atina fi al-dunya hasanah wa fi al-akhirati hasanah wa qina azab al-nar – kita memohon kepada Tuhan agar mengurniakan kita kebaikan di dunia dan akhirat serta memelihara kita daripada seksa api neraka.

Doa itu diajarkan secara langsung oleh Allah SWT kepada umat manusia seperti termaktub dalam ayat 201 Surah al-Baqarah. Doa yang mulia ini diwahyukan Allah bertepatan kedudukannya dalam al-Quran bersama semua umat yang sedang melaksanakan kemuncak rukun Islam kelima di Tanah Suci Makkah.

Pertanyaan yang boleh ditimbulkan adalah adakah pengurniaan kebaikan berkenaan diberikan tanpa usaha? Kebaikan di dunia dalam istilah sederhana adalah hidup sejahtera dengan pengertian seseorang itu, sama ada sebagai diri sendiri, keluarga, masyarakat atau negara, dapat memenuhi keperluan asasi dan memiliki kelebihannya sehingga dia berasa hidup selesa dan makmur.

Mengapa kita mesti hidup sejahtera? Islam tidak menyukai kemiskinan. Dengan adanya kemiskinan, bagaimana ajaran agama Islam yang berkaitan dengan kebaikan di dunia boleh dilaksanakan? Orang Islam digalakkan berzakat, bersedekah dan infak pada jalan Allah. Galakan ini tidak akan wujud kecuali orang Islam mesti berharta.

Walaupun agama Islam tidak menghina kemiskinan, tidak memandang rendah golongan miskin dan tidak menganggap berdosa orang yang hidup miskin, ajarannya tidak merestui kemiskinan. Dengan sebab kemiskinan pembangunan umat akan terbantut kerana kemiskinan membahayakan iman; membahayakan akhlak dan budi pekerti; membahayakan pemikiran; membahayakan institusi keluarga; dan membahayakan kestabilan masyarakat.

Kemiskinan membahayakan iman seperti dijelaskan al-Qaradawi kerana kemiskinan itu hampir membawa kepada kekufuran. (Hadis riwayat Abu Nuaim). Kekufuran terjadi apabila dia meragui keadilan Allah atau tertarik dengan kekayaan yang ditawarkan oleh agama lain. Kemiskinan membahayakan akhlak dan budi pekerti kerana sesungguhnya jika seseorang itu berhutang dia akan cenderung berdusta apabila berbicara dan ingkar apabila berjanji? (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kemiskinan boleh mendorong kepada akhlak yang buruk seperti cenderung untuk berdusta, mencuri, menipu, menerima rasuah dan khianat. Kemiskinan membahayakan pemikiran kerana seperti dikatakan Imam Abu Hanifah: “Janganlah meminta pendapat daripada seseorang yang sedang kehabisan gandum di rumahnya. Seseorang yang miskin dan memikirkan kemiskinannya serta risau untuk memenuhi keperluannya tidak dapat berfikir dengan baik.”

Kemiskinan membahayakan institusi keluarga kerana ia menjadi penghalang terhadap keinginan untuk berumah tangga dan boleh menyebabkan kegagalan berumah tangga. Di samping itu, kemiskinan boleh menyebabkan anak tidak terurus dengan sempurna. Akhirnya, kemiskinan membahayakan kestabilan kerana desakan kemiskinan boleh mendorong seseorang untuk melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri, pergaduhan, penipuan dan rusuhan.

Jadi, untuk mengurangkan kemiskinan jika tidak menghapuskannya sama sekali kerana bukan Sunnatullah untuk menjadikan semua orang kaya, umat dituntut untuk mensejahterakan diri masing-masing dengan menghindari sikap tamak atau rakus serta cinta terhadap harta dunia.

Proses kesejahteraan umat tidak terlepas daripada proses pembangunan manusia secara menyeluruh. Konsep pembangunan Islam bersifat komprehensif dan bersepadu yang meliputi aspek kerohanian dan kebendaan. Pembangunan akan ditumpukan pada mengoptimumkan kesejahteraan manusia. Akhlak dan kebendaan, kerohanian dan kebendaan, ekonomi dan sosial tidak terpisah. Kesejahteraan inilah yang akan melewati kesejahteraan sementara (dunia) iaitu kesejahteraan yang abadi di akhirat.

Dengan mengukur keupayaan masing-masing, setiap individu Muslim mesti merancang kehidupannya sedangkan hidupnya mestilah diserahkan sepenuhnya kepada al-Khaliq. Perancangan kehidupan berlainan dengan perancangan hidup kerana kehidupan adalah apa yang dijalani dan dihadapi manusia itu sendiri sedangkan hidup adalah nyawa dan nyawa milik Allah.

Oleh itu, ketika mimpi raja disampaikan kepada Nabi Yusuf di penjara, baginda memberikan perancangan tujuh tahun sesuai dengan keupayaan negara.

Al-Quran menceritakan maksudnya: Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". (Surah Yusuf: 47-49)

Perancangan untuk mensejahterakan negara dan penduduknya dalam kisah Nabi Yusuf sangat jelas. Perancangan Nabi Yusuf membuahkan hasil dan negara menjadi sejahtera dan makmur. Mesir yang bergantung kepada hasil pertanian dirancang sesuai dengan keadaannya dan itulah isyarat al-Quran al-Karim kepada kita untuk merancang kehidupan kita sesuai dengan keupayaan masing-masing.

Dengan perancangan, seseorang tidak hanya berpeluk tubuh menunggu takdir. Perancangan tidak bererti menolak takdir atau kurang berkeyakinan atau kurang berpuas hati dengan qada dan qadar Allah. Oleh sebab masalah qada dan qadar penuh rahsia, maka manusia lebih perlu kepada usaha dan kerja bagi memastikan kesudahan yang baik bagi dirinya.

Manusia mempunyai ikhtiar dan pilihan daripada pelbagai bentuk perancangan yang ada. Sebagai Muslim, perancangan yang perlu dipilih ialah perancangan yang dapat menjamin kesudahan yang baik di dunia dan akhirat. Perancangan yang silap akan membawa kecelakaan yang berkekalan di akhirat dalam bentuk azab dan sengsara api neraka. Dalam pada itu, perancangan yang mengikut garis panduan Islam dan tidak menyalahi ajaran Islam akan menjadikan seseorang itu berada pada kesudahan yang menyenangkan, penuh dengan kenikmatan dan kedamaian di syurga.

Ciri perancangan yang baik ialah perancangan yang munasabah, iaitu mudah dan dapat dilaksanakan; yang berkembang, iaitu untuk tujuan perubahan, untuk menyelesaikan masalah dan bersifat sejagat; cara membuat keputusan yang wajar; pencapaian matlamat yang unik; perencanaan operasi yang sistematik serta bijaksana dan mempunyai kawalan pelaksanaan yang baik. (Lihat ekonomi Islam Dasar dan Amalan, hal.312-16) Ada beberapa syarat landasan yang perlu diperhatikan dalam perancangan iaitu takwa kepada Allah, merancang hari esok dan bertakwa menjalankan perancangan.

Sebelum, ketika dan sesudah perancangan dijalankan, kita perlu bertakwa terus menerus. Bertawakal kepada Allah sama ada mendapat hasil positif atau negatif daripada usaha dan perancangan yang dilakukan. Kita wajib berpuas hati dengan hasil yang diputuskan Allah. Oleh itu, kita dilarang bersifat angkuh dengan kebolehan perancangan, sebaliknya kita perlu bersifat tawakal terhadap hasil itu. Bertawakal ertinya kita mengimani bahawa Allah yang menentukan segala-galanya. Usaha dan perancangan yang kita lakukan itu hanya bersifat ikhtiar yang tidak dapat mempengaruhi qada dan qadar Allah. Usaha dan perancangan hanyalah sebab, bukan ketentuan. Dalam bertawakal, kita memerlukan usaha terlebih dulu seperti dikisahkan dalam sebuah hadis iaitu Baginda Rasulullah SAW memerintahkan seseorang menambatkan untanya dulu baru bertawakal, bukan melepaskannya tanpa ditambat, kemudian bertawakal. Sayidina Umar pun pernah mengherdik orang yang berdoa saja di dalam masjid untuk mendapatkan rezeki dan menyuruhnya berusaha kerana langit tidak akan menurunkan hujan emas.

Orang yang bertakwa memenuhi program hidupnya dengan mengisi kehendak rohani, aqli dan jasmani. Dan tujuan asal alam sejagat bergerak ke arah yang sama untuk mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan kepada seluruh sistem. Kegagalan untuk memahami tujuan ini menyebabkan manusia bertindak mengikut keperluan dan kepentingan nafsu diri. Islam merancang supaya objektif setiap subsistem, termasuk sistem kehidupan manusia berjalan selaras dengan hukum tabii supaya keharmonian dapat dicapai.

Keharmonian ini tidak akan dicapai jika kita sendiri tidak merancang untuk berubah demi kebaikan. Kita tidak boleh hanya menyerahkannya kepada takdir.

Allah berfirman maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah al-Raad: 11)

Allah berfirman maksudnya: “Setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah dan (dalam pada itu), ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah al-Jumaah: 10) Inilah tuntutan al-Quran iaitu merancang kehidupan kita untuk mendapatkan kesejahteraan kerana bukankah bertebaran di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan mencari apa yang dihajati memerlukan perancangan. Bertebaran di muka bumi dan mencari apa yang dihajati bukan bererti melawan takdir tapi ia adalah ibadah dalam melaksanakan ajaran Ilahi. Wallahu alam.

Oleh Abdurrahman Haqqi

CEO Apple gaji tertinggi - Wall Street Journal

Thursday, May 24, 2012 0 Komen

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook mengungguli senarai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Amerika Syarikat (AS) dengan menerima gaji paling tinggi pada tahun lalu.

Saham Apple menjadi pilihan yang meletakkannya mengatasi pencabar terdekatnya lebih AS$300 juta (RM937 juta).

Kaji selidik oleh Wall Street Journal, semalam mendapati Cook yang menerajui pembuatan iPhone dan iPad pada Ogos tahun lalu, dua bulan sebelum kematian pengasas Apple, Steve Jobs memperolehi pendapatan tahunan keseluruhan berjumlah AS$378 juta (RM1.1 bilion).

Beliau memperolehi sebanyak AS$900,000 (RM2.8 juta) untuk gaji tahunannya dan AS$900,000 lagi untuk insentif tahunan.

Namun, dia mengaut sehingga AS$376 juta (RM1.1 bilion) dalam bentuk geran saham terhad berdasarkan harga saham Apple pada ketika itu.

Ketua Oracle, Larry Ellison yang juga merupakan syarikat gergasi di Lembah Silikon berada di tempat kedua, kurang lima kali ganda berbanding pendapatan Cook iaitu sebanyak AS$76 juta (RM237 juta).

Kajian yang dikendalikan oleh Hay Group untuk majalah itu meliputi 300 syarikat besar di AS berdasarkan pendapatan yang diperolehi.

Ketua Penyiaran Televisyen CBS, Leslie Moonves menduduki tempat ketiga dengan gaji sebanyak AS$69 juta (RM215 juta) diikuti Ketua Eksekutif JCPenney, Ronald Johnson dengan pendapatan sebanyak AS$53 juta (RM165 juta).

Ketua Motorola Mobility, Sanjay Jha pula di tempat kelima dengan gaji sebanyak AS$47 juta (RM146 juta) diikuti ketua kumpulan Citigroup, Viacom, Motorola Solutions, Walt Disney, dan Ford Motor yang meraih gaji purata AS$29 juta (RM89.9 juta). - AFP

Pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC) cipta hos air automatik diiktiraf dunia

Thursday, May 24, 2012 0 Komen

Idea inovatif seorang pelajar tingkatan empat, Kolej Tunku Kurshiah (TKC) di sini yang mencipta hos air automatik untuk mengekalkan kebersihan tandas mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul dua anugerah antarabangsa.

Pelajar tersebut, Siti Norsarah Suhaimi, 16, memenangi Anugerah Emas kategori keseluruhan pertandingan dan Anugerah Khas daripada Pertubuhan Reka Cipta Korea dalam Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi di Lasi, Romania pada 9 hingga 14 Mei lalu.

Menurut Siti Norsarah, idea menghasilkan ciptaan yang dinamakan 'Aqueract' itu timbul hasil pemerhatiannya ke atas kebersihan hos air di tandas awam.

"Jika kita perhatikan, hos air di tandas awam kebanyakannya kotor untuk dipegang, maka dari situ lahirnya idea untuk saya menghasilkan hos air automatik menggunakan teknologi pengesan haba.

Tahniah!

Gangguan seksual di sekolah, contoh gangguan seks

Wednesday, May 23, 2012 0 Komen

Adakah anda atau anak anda menjadi mangsa gangguan seksual di sekolah?

Gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja seperti di rumah, kawasan awam atau tempat kerja.

Risiko tersebut juga boleh berlaku di sekolah. Mangsanya boleh jadi dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah atau remaja sekolah menengah.

Mereka ini pastinya belum cukup dewasa untuk membuat pertimbangan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.

Sekolah perlu menyediakan tempat yang selamat untuk belajar. Malangnya terdapat segelintir pelajar, guru, kakitangan dan ibubapa yang masih tidak tahu bagaimanakah gangguan seksual ini boleh berlaku di sekolah dan apakah yang perlu dibuat untuk menanganinya.

Contoh jenis-jenis gangguan seksual pelajar di sekolah:
* Menulis, mempamer atau mengedar bahan bukan pengajaran yang berbentuk lucah.
* Bercerita atau membuat lawak jenaka berbau lucah.
* Membuat perlakuan atau isyarat lucah
* Mengejek atau menggelar pelajar dengan panggilan lucah.
* Memaksa atau mempengaruhi pelajar membuat perlakuan seksual.
* Menawar ganjaran tertentu atau upah atas perlakuan seksual.
* Melakukan sentuhan yang berunsur seksual.
* Memegang kemaluan sendiri di hadapan pelajar.
* Menyebar khabar angin berunsur seksual.

Pemangsa

Kajian menunjukkan bahawa majoriti pemangsa sebenarnya rakan-rakan pelajar itu sendiri yang sama-sama belajar di sekolah.

Jenis gangguan yang paling popular adalah 'ejekan seksual' ke atas pelajar perempuan.

Gangguan kepada pelajar lelaki pula berlaku di asrama dan biasanya bercorak perlakuan homoseksual atau onani.

Terdapat segelintir pemangsa (minoriti) yang terdiri daripada kakitangan sekolah atau pekerja khidmat kontrak.

Mereka sanggup mengetepikan nilai moral dan etika profesionalisme dengan meminta imbuhan seks sebagai balasan di atas sesuatu pertolongan yang akan diberi.

Gangguan seksual menyebabkan trauma psikologi kepada pelajar. Perasaan malu dan takut menyebabkan kebanyakan mereka memilih untuk mendiamkan diri.

Bagaimanapun, ibu bapa dan guru boleh melihat beberapa perubahan ke atas tingkah laku pelajar terbabit bagi menyiasat kebarangkalian berlakunya kes gangguan seksual tersebut.

Panduan ibu bapa dan guru
Pada peringkat awal, tekanan emosi menyebabkan mangsa merasa malu dan rendah diri, ditambah dengan khabar angin cepat tersebar dalam kalangan pelajar lain.

Ini menyebabkan mereka mencari alasan untuk ponteng sekolah atau tidak menghadiri aktiviti kokurikulum.

Mangsa yang tinggal di asrama penuh pula akan meminta untuk ditukarkan ke sekolah harian.

Di rumah mangsa kelihatan murung dan kerap menyendiri. Adakala mangsa cepat melenting dan membuli adik yang lebih kecil.

Mereka juga melawan arahan ibubapa dan bersikap kurang ajar. Malah ada yang lari dari rumah.

Ini disebabkan oleh perasaan marah pelajar terhadap ibubapa yang dituduh sebagai gagal menghalang gangguan seksual tersebut.

Di sekolah pula mangsa kelihatan cemas dan takut. Mereka selalu kelihatan termenung semasa sesi pembelajaran dan akibatnya prestasi akademik menurun secara mendadak.
Kadang-kadang mereka mengadu sakit kepala atau perut. Ada juga yang mengalami histeria. Ini berlaku di bawah sedar apabila mereka tidak mampu meluahkan masalah secara terbuka.

Bagi pelajar remaja pula, mereka cenderung untuk belajar menghisap rokok atau mengambil dadah.

Dalam kes pencabulan seksual atau perkosaan, perubahan tingkah laku yang ditunjukkan berbeza mengikut umur.

Kanak-kanak biasanya tidak membenarkan ibu bapa menyentuh bahagian bawah semasa membersihkan diri.

Mereka mengadu sakit di kawasan kemaluan atau anal. Apabila diperiksa tanda kecederaan seperti kemerahan dan pengeluaran cairan dari kemaluan boleh dilihat.
Pelajar remaja pula biasanya gagal menyembunyikan tanda-tanda kehamilan sekiranya ia berlaku.

Perubahan bentuk badan, penambahan berat dan muntah-muntah pastinya mengundang kecurigaan.

Ibu bapa terutamanya dinasihatkan untuk bertanya tarikh haid terakhir pelajar. Trauma yang dialami oleh remaja yang mengandung luar nikah ini boleh menyebabkan kemurungan teruk dan percubaan membunuh diri.

Bahasa Laleng di Bangladesh makin pupus

Wednesday, May 23, 2012 0 Komen

Bahasa Laleng di Bangladesh makin pupus

Bangladesh boleh mendakwa ia negara kelahiran banyak bahasa tetapi statusnya sebagai negara pelbagai linguistik terancam dek jati diri pejuang kebangsaan dan pertumbuhan ekonomi.

Daripada lebih 30 bahasa dituturkan di Bangladesh, pakar berkata 20 bahasa kini berada di ambang kepupusan.

Bahasa Laleng contohnya dituturkan oleh 2,000 kaum Patra yang tinggal di timur laut Bangladesh adalah antara bahasa dalam kedudukan bahaya. Ini kerana ia tidak mempunyai tulisan dan hanya bergantung kepada warisan lisan yang diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya termasuk lagu serta cerita rakyat.

Ketua kaum Patra, Laxlam Lal Patra tersenyum ketika bercerita mengenai lagu dodoi Laleng yang sering dinyanyikan ibunya ketika dia kecil dulu tetapi Laxlam mengerutkan dahinya apabila cuba mengingat kembali lirik lagi berkenaan.

Selepas puas berfikir, akhirnya dia hanya mampu mengingat satu rangkap saja.

“Kisah dongeng, puisi dan lagu semuanya hilang kerana kami tiada catatan yang boleh disimpan. Malah menantu perempuan saya juga sekarang ini mendendangkan lagu dodoi Bangla kepada cucu saya,” kata lelaki berumur 70 tahun itu.

Bangla atau Bengali menguasai dunia linguistik Bangladesh, yang dituturkan hampir 95 peratus penduduknya dan menjadi pasport utama dalam pendidikan dan kerjaya.

Maruah bahasa Bangla tertanam kukuh berpateri darah ketika ‘rusuhan bahasa’ yang mana pelajar ditembak mati oleh polis pada 21 Februari 1952 apabila Bangladesh masih lagi sebahagian daripada Pakistan.

Pelajar membantah tindakan kerajaan Pakistan yang mewujudkan polisi untuk menggunakan bahasa Urdu saja dan mereka menggesa bahasa Bangla juga diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan.

Kematian pelajar itu menyemarakkan semangat pejuang kebangsaan yang akhirnya menuju titik noktah apabila terbentuknya satu negara baru Bangladesh selepas mencapai kemenangan dalam peperangan kemerdekaan dengan Pakistan.

Tanggal 21 Februari diangkat sebagai hari cuti di Bangladesh bagi mengenang jasa pejuang bahasa kebangsaan dan diiktiraf oleh Unesco sebagai Hari Bahasa Antarabangsa untuk mengetengahkan hak linguistik-etno di seluruh dunia.

Tetapi kini penguasaan bahasa Bangla di sekolah, tempat kerja dan kehidupan secara umumnya mula mengancam hak bahasa lain di Bangladesh sendiri.

“Ramai orang masih boleh bertutur dalam bahasa Laleng. Tetapi lebih mudah dan cepat untuk belajar bahasa Bangla, sehingga ia menggantikan perkataan penting dalam bahasa Laleng. Kanak-kanak belajar bahasa Bangla dari sekolah dan jiran Bengali. Apa yang dipelajari sejak kecil ini tidak akan dilupa,” kata Laxlam.

Perkembangan ekonomi yang bertanggungjawab membawa kemajuan dan pelbagai kemudahan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan televisyen ke kampung terpencil, juga secara tidak langsung memberi laluan mudah kepada bahasa pribumi yang seperti nyawa-nyawa ikan untuk terus lenyap.

Pensyarah Linguistik Universiti Dhaka, Profesor Shourav Sikder, dalam bukunya bertajuk Bahasa Pribumi Bangladesh pada 2011 menjelaskan, betapa seriusnya masalah dihadapi bahasa terpencil ini selain menyenaraikan semua bahasa yang sudah pupus atau meniti saat kematian.

“Sekarang ini tiada siapa bertutur dalam bahasa Mahali, Malto, Razoar dan Rajbangshi,” katanya.

Dia juga menyalahkan kepupusan bahasa itu turut disumbangkan aktiviti rancak kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Bangla.

Menurut Sikder, hanya dua bahasa puak yang terselamat daripada ancaman, itupun disebabkan ia ada manuskrip bertulis.

Mesbah Kamal daripada unit Penyelidikan dan Pembangunan Kolektif yang menjalankan kerja kebajikan dengan kaum pribumi, percaya bahawa kehilangan bahasa pribumi itu hampir sama dengan ‘kepupusan budaya’ apabila ia tidak diamalkan lagi.

“Jika kaum pribumi kehilangan bahasa mereka, ia bukan kehilangan satu kaum saja. Kami juga secara umumnya kehilangan kepelbagaian budaya yang akhirnya akan mencetuskan sikap sukar menerima budaya orang lain.

“Pelajar kami dulu berjuang mempertahankan bahasa ibunda dan kerana jasa mereka yang terkorban itulah kini kami beroleh negara Bangladesh yang merdeka.
Bagaimanapun kehilangan bahasa pribumi ini adalah satu perkara yang menyedihkan. Lebih menyedihkan ialah kepupusan bahasa ini berlaku dengan cepat,” katanya.

Namun kerajaan menafikan tuduhan bahawa ia mengabaikan bahasa pribumi.
Setiausaha Hal Ehwal Budaya, Suraiya Begum menegaskan kumpulan atau puak etnik ‘mempunyai peluang besar untuk menggunakan bahasa dan mengamalkan budaya’ melalui pelbagai badan di bawah pemantauan kerajaan negeri.

Beliau memberi contoh penubuhan Institut Bahasa Ibunda Antarabangsa pada 2001 yang bertujuan mengekalkan dan mengkaji bahasa etnik yang dipertuturkan di Bangladesh dan seluruh dunia.

Tetapi pengkritik berkata, institusi itu umpama hiasan tingkap saja dan ia tidak memberi perhatian kepada masalah sebenar yang berlaku kepada bahasa etnik di Bangladesh.

“Bahasa ibunda saya yang indah itu hampir mati. Orang muda sekarang tidak lagi mementingkan bahasa etnik, apa yang penting pada mereka ialah pendidikan dan pekerjaan,” kata Laxlam dengan nada sedih. - AFP

Piala Thomas : Harapan Malaysia ke separuh akhir tipis

Wednesday, May 23, 2012 0 Komen

Piala Thomas : Harapan Malaysia ke separuh akhir tipis
Malaysia berhadapan laluan sukar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Thomas setelah tewas 2-3 kepada Denmark di peringkat saingan kumpulan di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan di sini, hari ini.

Ekoran kekalahan itu, Malaysia berkemungkinan diundi bertemu juara bertahan China pada peringkat suku akhir esok.

Kecederaan luar jangkaan perseorangan pertama Datuk Lee Chong Wei dan strategi jurulatih beregu Tan Kim Her yang tidak menjadi, dilihat sebagai penyebab kepada kekalahan pasukan negara itu kepada Denmark.

Chong Wei yang diharapkan untuk meraih mata pertama, terpaksa menarik diri daripada kejohanan apabila beliau mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan ketika menentang pemain Denmark Peter Hoeg Gade.

Beliau yang meninggalkan venue perlawanan dengan berkerusi roda kini menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di sini dengan ditemani jurulatih Tey Siew Bock.

Percaturan jurulatih Tan untuk memecahkan beregu utama Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tidak menjadi apabila gandingan baru Tan/Hoon Thien How dan Koo/Goh Wei Shem gagal menyumbang sebarang mata.

Meskipun berjaya membawa permainan ke set penentuan, Tan dan Hoon gagal menyaingi aksi bertenaga beregu Denmark Carsten Mogensen/Mathias Boe apabila tewas 21-17, 21-23, 21-11.

Koo dan Goh juga mempamerkan aksi mengecewakan apabila kecundang 21-18, 21-15 di tangan beregu Jonas Rasmussen/Joachim Fischer Nielsen 21-18, 21-15.

Koo yang ditemui selepas perlawanan mengakui kurang serasi dengan pasangan beregunya itu.

"Dari segi mental, kami menyokong satu sama lain tetapi secara taktik, kami tidak. Tak cukup persefahaman antara kami kerana ini pertama kali kami bermain dalam kejohanan," katanya kepada wartawan Malaysia yang berada di sini untuk membuat liputan kejohanan badminton berprestij itu.

Jurulatih Tan berkata beregu pertama bermain dengan baik namun tidak mampu mengekalkan persembahan mereka hingga ke akhir perlawanan dan mengakui gandingan beregu kedua itu masih baru.

"Itu adalah sebahagian daripada taktik pasukan. Kalah atau menang itu adalah adat permainan.

"Kalau kita ikut gandingan asal pun belum tentu menang. Sekarang kita perlu lihat ke depan untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Dua mata Malaysia disumbangkan menerusi perseorangan kedua Liew Daren dan perseorangan ketiga Muhammad Hafiz Hashim.

Daren, pemain ranking ke-33 dunia, melakukan kejutan apabila menewaskan perseorangan ke-13 dunia Jan O Jorgensen 21-15, 21-13, manakala Muhammad Hafiz terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Hans-Kristian Vittinghus 17-21, 21-17, 21-19.

Undian untuk suku akhir akan dijalankan di sini lewat malam ini selepas semua perlawanan peringkat kumpulan tamat.

Iklan SMS mengelirukan: syarikat didenda

Wednesday, May 23, 2012 0 Komen

Sebuah syarikat pembekal kandungan, Everest Mobile Sdn. Bhd. didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menghantar iklan mengelirukan kepada pelanggan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Syarikat itu didenda setelah Pengurus Pemasarannya, Toh Hong Siang, 27, mengaku bersalah atas tuduhan pindaan mengiklankan notis mengelirukan menggunakan kod ringkas 63300 yang diperuntukkan kepadanya oleh pihak Celcom.

Gagal bayar denda, wakil syarikat terbabit boleh dihukum penjara lapan bulan.

Iklan tersebut yang dihantar kepada nombor pelanggan Celcom menyatakan: ``RM0.00 Notis: Anda diminta taip ON DQ ke 37272 segera untuk aktifkan SMS Content Terbaru sekrg! Tanpa caj pendaftaran.’’

SMS itu didapati mengelirukan pelanggan kerana tiada maklumat harga perkhidmatan langganan dan maklumat penyedia kandungan seperti yang diperuntukkan di bawah Syarat Lesen 2.2, Lesen No. ASP/C/2005/3 yang dikeluarkan kepada syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Hakim Zuhrina Mohamed Nor menetapkan 27 Jun depan bagi sebutan kes satu lagi syarikat pembekal kandungan, Makro Kiosk Berhad atas tuduhan berlainan setelah wakil syarikat tersebut mengaku tidak bersalah.

Premis itu didakwa menghantar SMS kepada pelanggan Celcom iaitu: ``RM0.00 SMS/MMS content* Telefon bimbit anda perlu diaktifkan semula skrg! Sila sms ON DM dan ON DN ke-32655. Hubungi 21643273 utk optout servis.*3gp''.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan akhbarnya memaklumkan, pihaknya bertindak tegas terhadap pembekal kandungan yang aktif menghantar SMS mengelirukan dan memperdaya pengguna untuk `bersetuju' agar kredit mereka dipotong secara beransur-ansur tanpa disedari. - UTUSAN

Sifat merendah diri rakyat Malaysia

Tuesday, May 22, 2012 0 Komen

Rakyat Malaysia secara umumnya mempunyai sifat merendah diri yang ketara. Dalam masyarakat Melayu misalnya, semakin merendah diri, semakin dipandang tinggi, tandanya semakin beradab. Selain itu kita sering kali diperingatkan supaya tidak mengikut rasmi ayam, telur sebiji riuh sekampung. Apatah lagi berlagak seperti `tin kosong'. Ikut rasmi padi, semakin tunduk semakin berisi.

Dalam kehidupan harian kita juga kerap memohon maaf sebelum berbuat sesuatu, atau memula bicara kerana mungkin ada kelemahan atau kesilapan nanti. Malah sudah menjadi prosedur rasmi dalam mana-mana majlis diakhiri dengan kata-kata stereotaip pengerusi atau pengacara majlis memohon maaf terhadap apa saja kepincangan pada majlis itu, walaupun hakikatnya sangat cemerlang.

Justeru, sifat merendah diri atau tawaduk itu membuatkan kita jarang menonjolkan kehebatan diri. Kita selalunya 'beralas' dalam mengemukakan sesuatu pendapat atau idea. Hal ini juga terbawa-bawa dalam bidang saintifik dan pengajian tinggi.

Biasanya apabila menjawab persoalan orang asing berkaitan kualiti akademik atau pencapaian saintifik, kita akan mencari pendekatan merendah diri. `Kami baru bermula' atau `peralatan belum lengkap dan tidak begitu canggih'. Barangkali hal ini kita ungkapkan dalam konteks pembandingan dengan negara serantau yang semakin maju, terutama Singapura, China dan Korea Selatan.

Bagi kita masih banyak kelemahan yang ada perlu ditangani. Malah tidak sedikit yang melihat kelemahan sebagai suatu `deskripsi utama' terutama dalam sistem pendidikan dan pembangunan saintifik. Maka itulah sebabnya kita sering kali kritis terhadap mutu kebanyakan graduan yang tidak mahir berkomunikasi. Kita juga menyuarakan kebimbangan mengenai keupayaan generasi muda memacu daya saing negara dalam bidang strategik.

Namun hal ini ada juga baiknya. Itu tandanya kita tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa. Kita ingin lebih maju dan mantap. Kita juga sentiasa berusaha untuk mencari kekuatan baru, pengetahuan dan ilmu baru.

Hal ini mudah ditanggapi ramai pelancong dan tetamu yang berkunjung ke Malaysia.

Bagi mereka sifat merendah diri orang Malaysia begitu ketara, sekali gus menimbulkan tanda tanya. Menurut mereka pencapaian Malaysia dalam bidang akademik jauh melebihi promosi dilakukan. Standard pengajian tinggi universiti utama di Malaysia mengatasi banyak universiti yang lebih tua dan berbelanja besar.

Malangnya, sifat merendah diri itu juga membuatkan kita tidak begitu dikenali. Ada kalanya tidak begitu dihargai dalam kalangan komuniti antarabangsa. Pakej promosi kita, khususnya universiti awam dan agensi berkait penyelidikan dan inovasi di Malaysia, tidak menggambarkan pencapaian sebenar kita yang jauh lebih baik. Pakej promosi kita juga kurang mantap dalam konteks strategi dan penyampaian, berbanding, misalnya Singapura.

Hal ini diaibkan lagi dengan komentar negatif yang sering kali tersiar dalam media massa yang turut dibaca pelancong dan pengamat luar, seolah-olah hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan tidak relevan dengan keperluan industri.

Set kemahiran graduan tempatan seolah-olah tidak relevan dengan kehendak pasaran, dan sebagainya. Hal ini diulang-ulang seolah-olah suatu fenomena lumrah dalam pelbagai kesempatan, media dan forum. Walaupun banyak langkah pembaikan sudah diambil tetapi lebih bersifat defensif, bukan dalam konteks pembinaan set minda baru.

Prof Sheikha Al-Misnad menyebut mengenai kelainan dan kekuatan universiti di Malaysia berbanding universiti di Korea Selatan dan Hong Kong yang beliau baru kunjungi, malah universiti lain di serata dunia. Universiti awam berstatus universiti penyelidikan di Malaysia bukan saja cemerlang tetapi mempunyai perancangan realistik, hala tuju jelas, mengambil kira kepentingan negara sendiri dan berdaya saing.

Hal ini disedari apabila ramai graduan universiti di Malaysia menyerlah dalam pelbagai lapangan di Negara Teluk ketika ini. Mereka adalah model kelompok profesional yang semakin mendapat perhatian. Malah `label Malaysia' adalah suatu jaminan kualiti dari segi etika, kemahiran dan profesionalisme. Walaupun kita sering merungut mengenai kemampuan berbahasa Inggeris dalam kalangan graduan tempatan, apabila berada di alam kerjaya, mereka cepat belajar dan menyesuaikan diri berbanding graduan dari negara lain.

Tanggapan positif terhadap graduan Malaysia di Negara Teluk sama dengan tanggapan terhadap graduan universiti ternama India di Amerika Syarikat. Mereka bukan saja diberi kedudukan yang baik malah menjadi penggerak pembangunan teknologi di negara terbabit.

Dalam konteks ini, saya berpendapat kita perlu melakukan lonjakan minda supaya tidak lagi terikat dengan sikap merendah diri keterlaluan. Promosi kita memerlukan pakej lebih bergaya dan kelas tersendiri.

Henry Ford (1863-1947) menyebut bahawa `sama ada kita fikir boleh (positif) atau sebaliknya, kedua-duanya betul'.

Oleh Dr Zaini Ujang
* Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Penerima pingat Ulang Tahun Keputeraan Ke-84 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah

Tuesday, May 22, 2012 0 Komen

Tuanku Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah mengetuai senarai 867 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-84 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah.

Raja Zarith Sofia dianugerahkan Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati (DK).

Turut menerima darjah kebesaran pada istiadat penganugerahan itu ialah Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria yang menerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin pula adalah antara penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang juga membawa gelaran Datuk Seri.

Tujuh lagi penerima SPMP ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong; Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin; Presiden Persatuan Hoki Thailand, Chaiyapak Siriwat; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor; Datuk Pengelola Bijaya Diraja Sultan Perak, Datuk Samsul Baharin @ Mohd. Ropaa Hassan dan Datuk Michelle Yeoh.

"Kempen 1 Dalam Sejuta" Facebook PM

Tuesday, May 22, 2012 0 Komen

Sertai "Kempen 1 Dalam Sejuta" Facebook PM

Datuk Seri Najib Tun Razak mengundang pengikut Facebook beliau menyertai "Kempen 1 Dalam Sejuta" untuk merebut peluang bertemu dengan Perdana Menteri.

Najib berkata sejak mula berkecimpung dalam dunia media sosial, pertemuan seumpama itu banyak membantu beliau mengetahui isu-isu yang menyentuh kehidupan rakyat negara ini.

Katanya hasrat untuk meluangkan masa dengan rakan-rakan online telah lama dinyatakan, dan cara terbaik adalah untuk bertemu dan bersemuka.

"Selepas bertemu dengan beberapa pengikut Twitter saya baru-baru ini, saya ingin bersua pula dengan rakan-rakan Facebook saya.

"Oleh itu, untuk memilih rakan online saya yang bertuah, saya ingin mengundang semua rakyat Malaysia - termasuk anda - untuk menyertai kempen 1 Dalam Sejuta," katanya.

Memaklumkan perkara itu menerusi entri terbaru di blog www.1Malaysia.com, hari ini, Perdana Menteri berkata mereka yang berhajat hanya perlu melawati laman Facebook beliau untuk mendaftar.

Sambil menyatakan yang beliau menantikan penyertaan semua, Najib juga mengingatkan supaya berita dan peluang itu turut dikongsi dengan keluarga dan rakan-rakan.

"Sekiranya rakan yang anda jemput dipilih sebagai pemenang, anda juga mungkin berpeluang untuk turut hadir bersama dengan mereka," katanya.

Pada 21 Mac lepas, Najib menyatakan hasratnya untuk bertemu dan minum petang bersama pengikut Facebook ke satu juta sebagai tanda terima kasih beliau terhadap sokongan rakan media sosialnya sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Perdana Menteri pertama kali mengadakan pertemuan dengan sekumpulan rakan-rakan onlinenya pada 13 Mac 2010 dengan menjemput mereka menghadiri majlis jamuan teh di Seri Perdana, Putrajaya.

Rakan-rakan online yang bertuah menyertai jamuan itu dipilih setelah mengisi borang kehadiran yang disediakan di laman blog Najib, www.1Malaysia.com.my. - BERNAMA

Peraduan Wow! Seronoknya Makan Malam Bersama Erra Fazira

Monday, May 21, 2012 0 Komen

Peluang makan malam bersama Erra Fazira

Jika anda merupakan peminat setia Erra Fazira dan mengikuti perkembangan jelitawan ini dari awal pembabitannya, tunaikan impian anda untuk bertentang mata dengan Erra dengan menyertai peraduan yang baru dilancarkan oleh Pancaindera.

Seronoknya Makan Malam Bersama Erra Fazira

Atmosphere 360 dan Menara Kuala Lumpur merupakan penaja acara Wow! Seronoknya Makan Malam Bersama Erra Fazira dan Pancaindera pada 23 Jun ini.

Program makan malam ini memberi peluang kepada 10 orang peminat artis tersebut makan malam secara eksklusif sambil bergambar dan beramah-mesra dengan Erra Fazira.

Sambil menikmati makanan di 'angkasa' berdasarkan konsep hiasan dalaman restoran tersebut, pengunjung dapat menyaksikan pemandangan malam yang menakjubkan sekitar Kuala Lumpur di ketinggian 282 meter itu.

Segera hantarkan borang penyertaan anda sebelum tarikh tutup pada 23 Jun ini yang hanya tinggal seminggu sahaja lagi.

Untuk keterangan lanjut mengenai Atmosphere 360, boleh menghubungi Atmosphere 360 di 03-20202121 / 2020 atau layari laman web www.atmosphere360 .com.my

Juara Mania Hafiz belum ada rancangan dgn RM500,000

Monday, May 21, 2012 0 Komen

Hafiz yang memenangi wang tunai sebanyak RM500,000 selaku juara Mania memerlukan masa untuk menggunakan imbuhan kemenangannya itu sejurus diumumkan sebagai pemenangnya malam Sabtu lalu.

Menurut Hafiz adalah terlalu awal untuk mengumumkan perancangannya dengan wang setengah juta ringgit tersebut apatah lagi ia jumlah yang amat besar selain tidak menduga meraih kemenangan tersebut.

“Berilah saya masa untuk merancang dengan sebaik-baiknya duit kemenangan RM500,000 yang saya terima ini. Buat masa ini, saya masih terkejut dengan kejayaan ini kerana jumlah itu adalah paling banyak pernah saya terima selepas menjuarai Akademi Fantasia dua tahun lalu.


"Apabila sudah ada idea atau perancangan nanti maka saya akan umumkan. Saya kena berhati-hati menggunakan duit ini nanti," katanya sewaktu ditemui selepas konsert final Mania di Dewan Putra, Bukit Jalil di sini.

Selain Hafiz, naib juara Mania iaitu Stacy turut menerima hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM200,000 manakala tempat ketiga dimenangi Jaclyn Victor yang membawa pulang RM100,000 pada pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria itu. - UTUSAN

Tazkirah: Adab memberi teguran

Monday, May 21, 2012 0 Komen

Dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah perkara yang lumrah bagi manusia.

Justeru, apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka, kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Oleh yang demikian, janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga wujud cabar-mencabar.

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya.

Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah SWT.

Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 125 bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.

Pun begitu, sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran. Kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai 'orang perantaraan' bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur.

Kita tidak harus melatah, apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah SWT.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah SWT menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
Utusan

Lelaki mudah hidap penyakit barah hati

Sunday, May 20, 2012 0 Komen

Lelaki mudah hidap penyakit barah hati

Seramai 2.5 juta rakyat Malaysia dikesan menghidap penyakit barah hati dan majoriti adalah lelaki, menurut statistik yang dikeluarkan Yayasan Hepar Malaysia.

Presidennya, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, Sabah dan Sarawak mencatatkan kadar tertinggi di seluruh negara bagi penyakit hepatitis B, manakala Kelantan pula mencatatkan kadar tertinggi bagi hepatitis A.

"Hepatitis B ini berjangkit dari ibu kepada anak, perkongsian jarum suntikan dadah dan darah.

"Lambakan pendatang asing dari pelbagai negara di Sabah dan Sarawak mungkin faktor penyebab berlakunya peningkatan hepatitis B ini di kedua-dua negeri berkenaan," katanya.

Ismail berkata, pihaknya sedang mengesan pesakit-pesakit hepatitis seluruh negara untuk membantu memberi sokongan rawatan dan kaunseling.


Tentang Susuk : Jenis, Larangan, Kepercayaan, Budaya Susuk

Thursday, May 17, 2012 0 Komen

Jenis -jenis susuk
Terdapat pelbagai jenis susuk yang umum digunakan:

o Susuk Emas
o Susuk Perak
o Susuk Besi /baja
o Susuk Raksa
o Susuk Berlian
o Susuk intan
o Susuk mutiara
o Susuk gotri/pelor
o Susuk gabah ketan/beras
o Susuk galih kayu
o Susuk dari bagian tertentu hewan
o Dll, sebagai inovasi dan penemuan/penciptaan kreasi baru.

Kepercayaan Memakai Susuk

- Pemakai susuk percaya bahwa susuk itu akan membantu mereka menjadi bertambah cantik, bertambah berani, semakin dikasih, semakin manis, dan lain-lain menurut susuk yang dipakai.

- Susuk sama halnya seperti pada pusaka2 bertuah, yang dapat memberikan pengaruh tertentu kepada pemiliknya, sehingga memakai susuk kurang lebih sama seperti pada tuah kepemilikan pusaka.

- Dahulu, susuk kebanyakan dipakai putera-puteri bangsawan untuk meningkatkan pamor mereka pada kalangan tertentu. Sehingga awal pengetahuan susuk adalah hal yang sangat rahasia sekali untuk konsumsi exclusive.

Susuk emas

- Susuk mampu menutup kekurangan pada tubuh kita tanpa merubah fiziknya. Bahkan dibuktikan sesuatu kelemahan penampilan organ tubuh yang misalnya cacat, malah dengan susuk dapat dibuat menjadi sangat menarik. Kekurangan berobah menjadi kelebihan.

- Susuk, mampu menimbulkan semangat kembali di kalangan suami isteri yang sudah tak berghairah, sehingga mampu mencegah perselingkuhan.

- Susuk mampu mengubati masalah dingin dan hilang nafsu seksual pada seorang wanita.

- Susuk dengan cara tertentu juga mampu mengatasi masalah impotensi bagi pria

- Susuk juga mampu membuat penampilan kulit menjadi lebih elastis dan mencegah penuaan, keriput, dan kelemahan tulang.

- Peletakan susuk secara professional sama halnya seperti pada praktek akupuntur, yaitu sebagai support penyelarasan energi penyembuhan dan kekuatan kaitannya dengan pusat –pusat energi pada tubuh. Teknik susuk sebenarnya adalah subfokus dari pengetahuan tentang refleksi dan akupuntur.

- Disamping manfaat untuk kewibawaan, dan juga kesaktian/kekebalan, susuk mampu juga untuk membuka mata ketiga, sehingga dapat melihat hal-hal yang kasat mata.

Kelemahan Susuk

- Pemakai susuk terpaksa mematuhi pantang-larang tertentu. Jika terlanggar pantangan, susuk itu akan keluar dengan sendirinya dan menjadi tawar.

- Susuk ini terpaksa dibuang, sebaiknya oleh yang memakaikan susuk, ataupun melalui cara yang di ajari.

Larangan Susuk

Antara makanan yang menjadi pantangan pemakai susuk (bergantung kepada jenis susuk.)

• Labu air

• Pisang Tanduk

• Pisang emas

• Sate tusuk

• Jantung pisang.

• Dll, sesuai petunjuk yg memasang.

Antara perbuatan yang menjadi pantangan pemakai susuk (bergantung kepada jenis
susuk.)

• Melalui bawah tali jemuran pakaian

• Melalui di bawah tangga/rumah

• Melalui di bawah pohon kelor

• Di lempar bantal

• Minum air penawar.

Pemasangan Susuk.

Ada beberapa cara pemasangan susuk secara umumnya dan secara khusus Pertama, dengan cara disusukkan / ditanam pada bagian tubuh tertentu.

Kedua, dengan cara di loloh, yakni ditelankan atau diminum.
Ketiga ada pula dengan cara gaib, yakni piranti2 susuk masuk secara gaib dan misterius kebagian tubuh yang diinginkan. Hal ini hanya dapat dilaksanakan oleh mereka2 yg telah mumpuni benar dalam bidang susuk. Praktek ini sudah mirip seperti melaksanakan santet.

Ke empat dengan cara dilamurkan / dilulurkan Hal ini ialah menggunakan sarana serbuk/ bubukan emas, intan, berlian, mutiara, dlsb.

Lokasi pemasangan Susuk.

- Diantara dua alis mata

- Pada pipi wajah

- Dagu/ sudut bibir

- Tengkuk

- Bawah dada kanan-kiri / payudara.

- Punggung kanan-kiri

- Pinggul kanan-kiri

- Lengan kanan-kiri

- Telapak tangan kanan-kiri

- Bawah pusar

- Kemaluan

- Paha kanan-kiri

- Betis kanan-kiri

Budaya Susuk

Selama ini kita mengenal budaya susuk hanyalah popular di tanah Jawa saja, Padahal didaerah lainpun juga sangat mengenal budaya ini.

Susuk dikalangan suku melayu.

Etnis melayu dahulu, menggunakan susuk dari bahan rempah2 dan bunga2an Suatu contoh yakni; merica, ketumbar, bawang, bunga kenanga, melati, mawar,dll

Bahkan kalangan suku melayu di Medan sangat mengenal dengan sarana pekasih susuk air emas, yang termasuk dari bagian susuk cair untuk lamuran.

Susuk di Kalimantan

Banyak rumah2 adat atau rumah-rumah kebesaran, tiang pasak rumahnya disusuk dengan menggunakan intan. Hal ini diyakini untuk menguatkan daya tahan rumah, dan menimbulkan kesan damai dan nyaman / sejuk pada penghuni rumah.

Demikian juga dengan tempat2 perniagaan, kebanyakan disusuk emas pada lokasi pintu masuknya.

Susuk di Indonesia bagian timur

Kita pernah mendengar tentang mutiara hitam. Mutiara hitam ini jika dijadikan serbuk dan bubuk lalu ditelan, diyakini mampu untuk mengembalikan dan menaikkan kejantanan seorang laki-laki. Dengan kata lain sebagai sarana pengobatan impotensi dan atau lemah syahwat.

Larangan Agama
Pemakaian susuk ditegah oleh agama Islam dan amalannya mendatangkan unsur syirik kepada Allah. Mereka yang memakai susuk seringkali dikaitkan dengan masalah kesihatan di kemudian hari dan kesukaran ketika menghadapi saat kematian.


Datuk Omar Mohd. Hashim Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012

Thursday, May 17, 2012 0 Komen

Omar Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012

Datuk Omar Mohd. Hashim, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012 sempena sambutan Hari Guru 2012 Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 di sini hari ini.

Anak kelahiran Dinding, Manjung itu menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai sebanyak RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Omar yang pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran dari 1985 sehingga bersara pada 1990, memainkan peranan yang sangat penting dalam meletakkan asas-asas pendidikan negara.

Beliau merupakan antara tokoh yang bertanggungjawab menukar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau MCE ketika itu dari Cambridge, England ke Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran pada 1978.

Ketika melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan, Omar turut memantapkan persekolahan menengah Melayu dan Bahasa Melayu menerusi sistem peperiksaan umum.

Sepanjang perkhidmatannya di bidang pendidikan, beliau pernah menjadi Pengarah Pengajian Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, Pengarah Pelajaran Sabah dan Johor, Pengarah Lembaga Peperiksaan serta Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan.

Setelah bersara, beliau dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dari 1990 hingga 1992; Timbalan Pengerusi SPR dan seterusnya Pengerusi SPR sehingga 11 November 2000.

Kecemerlangan perkhidmatannya terbukti apabila beliau pernah menerima anugerah Tokoh Guru Pulau Pinang, Tokoh Penaksiran Pendidikan Malaysia, Felo Terutama Institut Aminuddin Baki dan Felo Persatuan Sejarah Malaysia.

Ketika ditemui, Omar menyifatkan anugerah tersebut merupakan satu penghormatan kepada beliau yang telah berkhidmat di dalam bidang pendidikan selama lebih 30 tahun.

Beliau juga memberitahu, sistem pendidikan negara sebenarnya sudah mencapai taraf dunia.

"Orang kata kita hendak mencapai taraf dunia tetapi kita sudah pun sampai ke tahap dunia. Saya tahu kerana saya di Lembaga Peperiksaan selama 15 tahun dan kita berkomunikasi dan berbincang dengan pihak Cambridge serta badan-badan lain di England. Jadi kita punya sistem pendidikan bertaraf tinggi," katanya.

Omar berkata, walaupun terdapat guru yang bagus dan pengajaran yang baik sedang berjalan di sekolah sekarang, sebahagian besar guru masih memerlukan satu peningkatan, sama ada dilakukan oleh mereka sendiri atau Kementerian Pelajaran bagi memenuhi harapan masyarakat.

Datuk Omar Mohd. Hashim

Sementara itu, empat warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2012 pada majlis sambutan hari ini.

Mereka ialah bekas Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib; Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Datuk Mary Yap Kain Ching; bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Pulai, Kluang, Johor, Mohd. Azman Abdul Rashid dan Tokoh Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2010, Lim Ai Lee @ Lim Irene.

Pada sambutan tahun ini, satu anugerah baru turut diperkenalkan iaitu Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 dan ia menjadi milik pengasas Sekolah Kadir Adabi dan sekolah Wadi Sofia, Datuk Hassan Harun.

Guru lepasan ijazah dan diploma dpt kenaikan pangkat

Thursday, May 17, 2012 0 Komen

Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma di seluruh negara yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan menikmati kenaikan pangkat mulai 1 Jun hingga 31 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, kenaikan pangkat tersebut melibatkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.

‘‘Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran; Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selaras dengan usaha menambah baik skim perkhidmatan pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara ‘time-based’ berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu.

Beliau menarik perhatian, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41 hanya memerlukan lapan tahun untuk kenaikan ke DG44, lapan tahun (DG44 ke DG48), enam tahun (DG48 ke DG52) manakala hanya tiga tahun (DG52 ke DG54).

Menurutnya, bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma pula, pemegang gred DGA29 hanya memerlukan lapan tahun untuk ke DGA32, lapan tahun (DGA32 ke DGA34) dan lima tahun (DGA34 ke DGA38).

Muhyiddin berkata, lanjutan pengumuman Perdana Menteri itu, 390 guru telah dinaikkan pangkat ke gred DG54, 676 (DG52), 3,938 (DG48) dan 19,805 (DG44).

‘‘Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 dinaikkan ke gred DGA38 manakala 2,639 (DGA34) dan 9,519 (DGA32)," katanya.

Selain itu, kata beliau, proses kenaikan pangkat pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan penolong kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.

Setakat ini, kata beliau, 854 pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 manakala 4,270 penolong kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48.

Kenaikan pangkat itu kata Timbalan Perdana Menteri, melibatkan pengetua dan penolong kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011 serta yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010.

‘‘Bagi penyandang jawatan penolong kanan gred DG48 ke gred DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan penolong kanan gred DG44 ke gred DG48 iaitu seramai 2,655 akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

Menurut Muhyiddin, peruntukan sebanyak RM934 juta bagi urusan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan berpersonaliti unggul. ~ Utusan

Aidil Zafuan tarik balik hasrat cerai Rita Rudaini

Thursday, May 17, 2012 0 Komen

Mahkamah Rendah Syariah hari ini membenarkan permohonan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak menarik balik hasrat untuk bercerai dengan isterinya, Rita Rudaini Mohamad@Mokhtar.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Mohamad Aidil Zafuan berhubung penarikan permohonan cerai yang difailkannya pada 12 April lalu.

Beliau juga mengarahkan Mohamad Aidil Zafuan membayar kos kepada Rita, 36, sebanyak RM250.

"Kamu (Mohamad Aidil Zafuan) perlu membayar kerugian kepada Rita kerana menarik balik kes ini pada saat akhir iaitu sehari sebelum sebutan kes ditetapkan (15 Mei)," katanya.

Mohamad Aidil Zafuan, 25, yang diwakili peguam Ahmad Nazib Johari mengemukakan tiga alasan berhubung penarikan balik permohonan bercerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Menurut Ahmad Nazib, permohonan anak guamnya tidak diteruskan kerana Rita tidak bersetuju pada untuk bercerai pada prosiding 30 April lalu.

"Justeru, anak guam saya berhasrat untuk berbaik semula dan mengarahkan isterinya kembali taat dan tinggal di rumah yang disediakannya.

"Anak guam saya juga risau jika diwujudkan jawatankuasa pendamai akan ada campur tangan daripada pihak ketiga. Ini akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Ahmad Nazib berkata, pihaknya membantah permohonan kos yang diminta Rita kerana ia bukan dari kesilapan anak guamnya sebaliknya Rita tidak bersetuju untuk bercerai.

Bagaimanapun, Rita yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md Zain memberitahu mahkamah pihaknya hanya dimaklumkan mengenai penarikan balik itu beberapa jam sebelum prosiding bermula.

Mohd Zaidi berkata tuntutan itu dibuat kerana ia membabitkan masa dan perjalanan beliau, anak guamnya serta kos penerbangan bapa tiri Rita, Johari Jonid, 62.

"Saya dan Rita agak terkesima apabila Mohamad Aidil Zafuan ingin menarik permohonannya itu. Sepatutnya prosiding hari ini (semalam) adalah untuk melantik wakil ahli keluarga masing-masing bagi membentuk Jawatankuasa Pendamai.

"Kami sudah bersedia dan melantik bapa tiri Rita yang datang dari Kangar, Perlis sebagai menurut arahan mahkamah. Oleh itu, kos perjalanan itu harus dibayar pihak Mohamad Aidil Zafuan," katanya.

Rita yang memakai jubah hitam dan bertudung merah jambu kelihatan tidak bertegur sapa dengan Mohamad Aidil Zafuan, sebaliknya masing-masing pulang bersama ahli keluarga yang hadir di mahkamah.

Mohamad Aidil Zafuan ketika ditemui berharap agar hubungannya dan Rita kembali pulih demi dua anak mereka.

Sementara itu, Ahmad Nazib berkata, permohonan kembali taat terhadap Rita telah difailkan semalam dan notis itu sudah diserahkan kepada peguam yang mewakili Rita.

"Rita akan memfailkan jawapan pembelaan mereka pada tarikh sebutan ditetapkan iaitu pada 18 Jun ini," katanya.

Mengenai kos pembayaran RM250 yang diperintahkan mahkamah semalam, Ahmad Nazib bercadang mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah berhubung keputusan itu.

Pasangan itu berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 dan dikurniakan cahaya mata Airit Rayyan Rizqin,4 dan Airit Rafqa Arjuna, 2.

Perkahwinan mereka pada awalnya mendapat tentangan keluarga Mohamad Aidil Zafuan.

'Zainal Orang Kaya' diburu polis : suspek kes pengedaran dadah

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran hari ini mengedarkan gambar suspek yang dikenali sebagai 'Zainal Orang Kaya' yang dipercayai terbabit dalam kes pengedaran dadah.

Zainal Orang Kaya atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ramli, 43, berasal dari Felda Seroja, Jengka 18, Maran dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan dadah jenis heroin seberat 100 gram pada motosikal yang ditunggangnya ketika ditahan September tahun lalu.

Menurut jurucakap polis, pihak polis telah cuba mengesan suspek sejak dia bertindak melarikan diri ketika diperiksa di laluan motosikal berhampiran Plaza Tol Chenor dekat Maran.

"Dalam kejadian 8 pagi 29 September 2011 itu, suspek ditahan anggota peronda Lebuh Raya Pantai Timut (LPT) arah Lanchang-Maran untuk pemeriksaan rutin.

"Namun suspek yang diminta mengeluarkan lesen dan kad pengenalannya untuk pemeriksaan bertindak melarikan diri," kata jurucakap berkenaan kepada Bernama.

Hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditinggalkan suspek, polis menemui satu paket berisi 100 gram heroin tersorok di bawah tempat duduk. - Bernama

Culik budak depan sekolah

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

“Saya gembira dan berterima kasih kepada semua pihak terutama polis yang berjaya mengesan dan mengembalikan anak saya dalam keadaan selamat,” kata M Santhi, 47, selepas anak perempuannya, T Purani, 9, ditemui semula semalam selepas diculik sejak kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, anaknya ditemui di sebuah rumah di Jelutong, kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam dalam keadaan selamat dan sihat.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa dikatakan diculik di pekarangan sekolahnya di Sekolah Kebangsaan Khir Johari selepas tidak pulang ke rumah seperti biasa.

Kejadian itu disedari nenek mangsa yang kemudian menghubungi ibu kanak-kanak itu apabila mangsa masih tidak pulang seperti biasa.

Santhi berkata, sejurus menerima panggilan daripada ibunya, dia bergegas pulang dari tempat kerjanya di Prai.


“Ibu saya kemudian menemui pemandu van sekolah anak dikenali sebagai Bahyah yang memberitahu rakan anak saya ternampak Purani menaiki sebuah kereta ke arah yang tidak diketahui. “Bimbangkan keselamatan anak, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) dan pada masa sama, adik ipar turut menerima panggilan daripada seorang wanita yang meminta kami membayar RM24,850 jika mahu Purani selamat,” katanya ketika ditemui di IPDSPT, semalam.

Menurutnya, dia mengesyaki ia dilakukan seorang wanita dikenali yang berdendam dengannya berikutan pernah memarahi wanita itu sebelum ini.


“Apapun saya berterima kasih kepada semua pihak sehingga anak saya selamat ditemui,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Jelutong dan menahan seorang wanita berusia 23 tahun, semalam.

“Hasil penahanan wanita berkenaan yang juga rakan ibu mangsa, polis menemui semula kanak-kanak itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, polis masih mengesan beberapa lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis percaya beberapa lelaki yang dikenali suspek wanita itu turut terbabit dan usaha mengesan giat dilakukan,” katanya. ~ Metro

Pengalaman Nazarudin diculik

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

“Saya pernah cuba melarikan diri untuk mencari jalan pulang, namun usaha itu gagal kerana sudah kehabisan tenaga dan hampir pengsan,” kata Mohd Nazarudin Saidin, rakyat Malaysia yang diculik 10 lelaki yang menyerbu rumah sewanya di Indanan, Pulau Jolo, Selatan Filipina pada 8 Mei tahun lalu.

Mohd Nazarudin, 39, berkata cubaan melarikan diri itu dilakukan pada hari ke-10 sambutan Aidilfitri tahun lalu sebelum dia terkandas di dalam hutan kayu bakau.

“Memikirkan kepayahan yang perlu dilalui, saya membatalkan hasrat dan kembali semula ke lokasi kumpulan penculik terbabit sebelum diberi amaran supaya tidak melarikan diri,” katanya.

Mohd Nazarudin dibawa pulang ke tanah air semalam dan berada dalam keadaan sihat selepas keluar dari lokasi dia diculik pada jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, dia ditemani beberapa penduduk kampung di kawasan berkenaan menaiki bot menuju ke Sandakan dan tiba di situ jam 6.30 pagi sebelum terbang ke Kota Kinabalu bagi urusan dokumentasi.

“Saya tidak pasti berapa orang mengiring saya kerana dalam hati hanya berdoa supaya dapat kembali ke pangkuan keluarga.

“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi (semalam), saya terus dibawa ke sini bertemu keluarga dan anak,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di pejabat Kelab Putera 1Malaysia, di Jalan Kampung Attap, di sini, semalam.

Ketika diaju soalan mengenai perjalanan hidupnya sejak dia diculik, Mohd Nazarudin berkata, sepanjang setahun 13 hari berada di sana, dia serik dan tidak mahu kisah berkaitan cicak tokek yang hampir meragut nyawanya itu diungkit.

“Dalam sejuta orang diculik mungkin saya seorang selamat kerana apa yang saya tahu mereka yang diculik dan ditawan di sana pasti menemui ajal,” katanya.


Dia berkata, meskipun tidak dikasari sebaliknya dijaga dengan baik termasuk disediakan keperluan asas dan makanan, namun perasaan takut itu tetap ada di dalam hati.


“Selepas ini, saya mahu memulakan hidup baru dan mencari pekerjaan yang elok bagi menyara anak dan keluarga. Biarkan kisah saya ini menjadi teladan kepada anak muda di luar sana,” katanya.


Sementara itu, bagi ibu Mohd Nazarudin, Siti Hamdah Ahmad, 69, kepulangan anaknya itu hadiah Hari Ibu paling bermakna.


“Menggeletar seluruh tubuh sebaik melihat anak yang dirindui dan ‘hilang’ lebih setahun lalu berdiri di depan saya sampaikan tak mampu nak kata apa-apa lagi.


“Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus membawa pulang Mohd Nazaruddin ini, hanya Allah yang mampu membalas jasa anda semua,” katanya.


Difahamkan, pembebasan Mohd Nazarudin dibuat hasil rundingan Kelab Putera 1Malaysia bersama kumpulan penculik berkenaan, malah tiada sebarang wang tebusan dibayar kepada mereka.

Pada 15 Mei 2011, akhbar melaporkan kumpulan penculik menuntut wang tebusan 80 juta Peso (RM5.6 juta) bagi membebaskan Mohd Nazarudin yang disampaikan kepada isterinya menerusi ‘orang tengah’ yang juga ejen cicak tokek di negara ini.

Mohd Nazarudin dilaporkan berlepas ke Pulau Jolo pada 27 April 2011 bersama lelaki warga Filipina yang juga ejen cicak tokek sebelum ditahan kumpulan lanun terbabit pada 8 Mei.

Selepas rundingan keluarga mangsa pada 1 Julai 2011, wakil kumpulan penculik memberi kata dua kepada ibu Nazarudin supaya menyerahkan wang RM60,000 dalam tempoh seminggu atau pintu rundingan ditutup.

Menghargai kerjaya jururawat

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Memilih kerjaya untuk menjadi seorang jururawat bukanlah cita-cita yang diimpikan oleh semua orang.

Ini kerana ada sesetengah orang berpendapat profesion sebagai jururawat tidak ubah seperti seorang pembantu rumah yang menguruskan segala keperluan pesakit selain memastikan segala-galanya terjaga rapi.

Sedangkan hakikatnya, kerjaya sebagai seorang jururawat sebenarnya satu kerjaya yang mulia dan perlu disanjung tinggi oleh setiap lapisan masyarakat.

Bahkan tidak semua orang mampu melaksanakan tugas seperti mana yang dilakukan oleh jururawat.

Sehubungan itu, setiap 12 Mei setiap tahun, telah diwartakan sebagai Hari Jururawat Antarabangsa di mana ia bertujuan mengiktiraf sumbangan jururawat yang berterusan.

Jika dilihat kembali segala tugas yang dilakukan oleh seorang jururawat, mereka sebenarnya boleh diibaratkan orang kedua penting selepas doktor.

Jururawat Unit Rawatan Koronari (CCU) di Hospital Pantai Kuala Lumpur, Wu Jie Yee, 22, menyifatkan pilihannya untuk menjadi seorang jururawat bukanlah satu pilihan yang salah malah amat berbangga dapat membantu pesakit meringankan beban.

Dia yang sememangnya bercita-cita ingin menjadi jururawat sejak dibangku sekolah tidak membuang masa untuk terus mengikuti pengajian dalam bidang kejururawatan sebaik sahaja tamat persekolahan.

"Saya meminati kerjaya jururawat sejak di bangku sekolah lagi malah saya melihat kerjaya ini sebagai satu pekerjaan yang murni.

"Malah saya telah bersedia dari sudut mental dan fizikal apabila memilih untuk menjadi seorang jururawat.

"Tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat pesakit yang dirawat beransur pulih," ujar anak kelahiran Jerantut, Pahang, ini.

Walaupun baru lapan bulan memulakan tugas di bahagian CCU, Jie Yee tidak menafikan ia lebih mencabar jika hendak dibandingkan daripada wad biasa.

Ini kerana sebelum ini Jie Yee pernah bertugas di wad biasa selama setahun sebelum ditukarkan ke CCU.

Tidak kekok menjalankan tugas harian, Jie Yee dilihat seorang jururawat yang komited dengan tugasan yang diberikan.

Juga tidak pernah menghadapi sebarang masalah sepanjang bertugas, Jie Yee sejujurnya memberitahu tiada kenangan pahit untuk dikenang melainkan semuanya yang manis.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan ada ketika pesakit yang dirawat kadangkala mencabar tahap kesabarannya.

Begitupun sebagai seorang jururawat, Jie Yee menjelaskan mereka tidak boleh memarahi pesakit malah kena bersabar dan berhadapan dengan kerenah setiap pesakit yang mendapatkan rawatan.

Begitu juga dengan Betterline Nyorid, 31, yang bercita-cita menjadi jururawat sejak di bangku sekolah lagi.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini tidak teragak-agak untuk memohon jawatan jururawat sebagai tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kini setelah 11 tahun berkhidmat sebagai jururawat, Betterline terus berbangga menyarung seragam jururawat.

Ternyata kesabaran anak bongsu daripada lima beradik ini begitu kukuh apabila secara jujur mengaku tidak pernah mempunyai kenangan pahit walaupun sering dimarahi pesakit.

Baginya, sebagai seorang jururawat, tahap kesabaran yang tinggi perlu ada dalam usaha melayan serta memberikan perkhidmatan yang terbaik buat mereka yang memerlukan.

"Sudah pasti mana-mana jururawat pasti akan berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit dan kena marah itu merupakan perkara biasa.

"Begitupun, kita sebagai jururawat haruslah bersabar kerana ini merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi apabila anda memilih profesion ini," ujarnya.

Bagi Kalaiselvi Kumaresan, 43, pula, pengalamannya sebagai jururawat selama 20 tahun tidak pernah membataskannya untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik buat pesakit.

Malah tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bertukar kerjaya kerana ia sudah sebati dengan dirinya.

Apa yang lebih menggembirakan anak kelahiran Ipoh, Perak, ini sepanjang bergelar jururawat ialah setiap pesakit yang dirawat kembali pulih dan menjalani kehidupan harian seperti sedia kala.

"Banyak pengalaman yang diperoleh sepanjang 20 tahun bergelar jururawat malah saya amat selesa dengan situasi ini.

"Yang pasti saya amat berpuas hati apabila melihat pesakit kembali sihat selain menjaga mereka yang tidak dapat menguruskan diri ketika sakit.

"Buat masa sekarang saya tidak pernah terfikir atau merancang untuk menukar kerjaya ataupun berpindah tempat", jelas ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Dia kini yang ditugaskan untuk melatih jururawat-jururawat baru memberitahu tugas sebagai seorang jururawat sebenarnya amat mencabar.

Selain terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit, mereka juga harus berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit.

Bagaimanapun, mereka seharusnya tahu apakah skop kerjaya mereka sebelum membuat keputusan untuk menyarung seragam jururawat.

Ketiga-tiga jururawat ini merupakan antara penerima Anugerah Jururawat Cemerlang pada majlis sambutan Hari Jururawat 2012 yang diadakan di Hospital Pantai Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy jadi penganggur

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy keluar dari Istana Elysee semalam dengan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Sarkozy menjadi penganggur selepas Francois Hollande mengangkat sumpah menjadi Presiden bagi menggantikannya.


Hollande dipilih oleh rakyat bagi menggantikan Sarkozy dalam pilihan raya Presiden yang diadakan baru-baru ini.

Sarkozy, 57, dilaporkan mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan isterinya yang ketiga, Carla Bruni yang juga seorang model dan penyanyi.

Beberapa pembantu kanannya menyatakan beliau akan menjadi peguam semula selepas tidak lagi menjadi Presiden.

Bagaimanapun, beliau akan berdepan dengan siasatan rasuah dan pelanggaran peraturan kewangan dalam kempen pilihan raya.

Sarkozy akan turut disiasat berhubung peranannya dalam urus niaga senjata sama ada beliau menerima rasuah. - AFP

Gempa bumi kuat landa Papua New Guinea

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Gempa kuat landa Papua New Guinea

Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter menggegarkan Papua New Guinea (PNG) pukul 8.59 pagi Rabu, 16 Mei 2012

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu terletak di PNG New Britain Region, 44 km barat daya Kimbe PNG dan 3,649 km tenggara Semporna, Sabah.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - BERNAMA

Penjaga bangunan berusia 52 tahun dapat ijazah

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Gac Filipaj seorang penjaga bangunan Universiti Columbia berusia 52 tahun, merupakan antara pelajar cemerlang pusat pengajian tinggi itu.


Filipaj bekerja membersihkan lantai, mengosongkan tong sampah dan membersihkan tandas di universiti tersebut di sini.

Kelmarin, dia berasa bangga kerana menerima ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam majlis konvokesyen universiti itu.

Filipaj belajar selama 12 tahun dalam pengajian klasik sambil bekerja sepenuh masa sebagai penjaga bangunan.

Pada awalnya, dia mempelajari bahasa Inggeris selepas melarikan diri daripada perang saudara di negara kelahirannya, Yugoslavia pada tahun 1992.

Berasal daripada etnik Albania, dia berhijrah ke Amerika Syarikat kerana bimbang akan dipaksa menyertai tentera Serbia.

Selepas mendapat ijazah, Filipaj kembali bertugas sebagai penjaga bangunan di universiti berkenaan.

Namun, dia berharap akan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.

Penjaga bangunan tersebut masih menghantar wang kepada keluarganya yang bekerja di sebuah ladang di Montenegro. – Agensi

Banyakkan hasil karya adaptasi novel ke filem

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan syarikat produksi tempatan perlu bekerjasama menerbitkan filem hasil karya adaptasi novel ke filem bagi menjayakan Dasar Industri Kreatif Negara, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz.

Beliau berkata penerbitan filem daripada karya novel ke filem mampu menjana pendapatan tinggi kepada penggiat seni dan antara contoh penerbitan filem seumpamanya ialah filem "Ombak Rindu", yang berjaya mencatat keuntungan tinggi dalam penjualan tiket wayang baru-baru ini.

"Novel Ombak Rindu hasil karya Fauziah Ashaari ini menjadi fenomena dalam industri filem tempatan sehingga banyak pihak lain mengikut jejak langkah mereka dengan menerbitkan filem-filem diadaptasi daripada novel," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Hadiah Pertandingan Menulis Karya Adaptasi Novel ke Filem, Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas 2011 dan pelancaran Sayembara Dewan Bahasa dan Pustaka 2012, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan.

D"Cruz berharap Finas dapat memberi bantuan daripada segi dana peruntukan untuk menerbitkan filem hasil karya adaptasi novel, yang memenangi pertandingan itu kerana kos penerbitan sebuah filem sangat tinggi.

Katanya penerbitan filem daripada adaptasi novel dapat meningkatkan pembacaan novel dan cerpen tempatan, sekaligus memperkasakan dan memartabatkan Bahasa Melayu.

Bagi pertandingan Menulis Karya Adaptasi Novel ke Filem itu, tempat pertama dengan hadiah RM15,000 dimenangi Siti Jasmina Ibrahim yang mengadaptasi novel Bedar Sukma Bisu, kedua: Anwar Idris (RM8,000 - adaptasi novel Interlok) dan ketiga Nornasyiha Hamid (RM5,000) juga mengadaptasi novel Interlok.

Pemenang Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas 2011 dimenangi Aina Nabila Ahmad dengan karya “Ini Rumah Kita" (RM8,000); tempat kedua Ismail Kassan : Jambatan Merah (RM5,000) dan tempat Ketiga Siti Jasmina Ibrahim : Lelaki-Lelaki Dalam Kawah (RM3,000). - BERNAMA

Pendatang tanpa izin sanggup meringkuk dalam bonet

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Pendatang tanpa izin memang diketahui sanggup melakukan apa saja asalkan dapat menyusup masuk ke Itali, tetapi penemuan terbaru semalam dianggap begitu luar biasa.

Seorang pemuda Afghanistan sanggup bersembunyi dalam bonet kereta dengan posisi mengerekot selama 20 jam.

Pendatang tanpa izin

Menurut polis, pemuda berusia 18 tahun dan tidak didedahkan identitinya itu berharap dapat masuk ke Itali melalui Bari dengan cara begitu.

Bagaimanapun, kata sumber, usahanya gagal apabila pegawai imigresen melakukan pemeriksaan mengejut dan menemuinya dalam bonet kereta Nissan berkenaan.

“Ketika ditemui, pemuda itu bersembunyi di celah enjin kereta dengan berbekalkan sebotol air dan sehelai selimut,” katanya.

Jurucakap imigresen Bari berkata, mereka menahan kereta berkenaan selepas mendapati pemandu dan penumpangnya - kedua-duanya warga Bulgaria - dalam keadaan cemas.

Katanya, kereta itu baru saja tiba di Bari menaiki feri dari Greece.

Jurucakap itu berkata, pemandu terbabit dikenali sebagai Kaloyanov Ivaylo, 24, manakala temannya Georgieva Stanislava, 39.

“Kedua-dua mereka ditahan, manakala pendatang tanpa izin itu terpaksa dibantu keluar dari bonet berkenaan kerana berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya.

Pemuda Afghanistan itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Feri berkenaan berlepas dari Patras pada pagi Ahad sebelum singgah di Igoumenitsa dan menyambung perjalanan ke Bari.

Laluan itu memang popular di kalangan penyeludup manusia yang mengenakan caj minimum 5,000 euro (RM19,664) untuk masuk ke Itali. - DM

Aishwarya Rai ibu paling ideal Bollywood

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Aishwarya Rai yang merupkan bekas ratu cantik dunia telah terpilih sebagai ibu paling ideal di kalangan selebriti Bollywood, sekali gus menyamai status bintang Hollywood, Angelina Jolie.

Aishwarya Rai

Aishwarya yang melahirkan anak perempuan pada 16 November lalu, dipilih menerima gelaran itu berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh laman portal perkahwinan, Shaadi.com.

Menurut laman portal itu, Aishwarya memperoleh undian sebanyak 54 peratus, diikuti Karisma Kapoor yang mendapat 27 peratus undian.

Malaika Arora Khan dan Lara Dutta, yang baru bergelar ibu, turut mendapat undian yang baik dalam kajian tersebut.

Selebriti terkenal yang masih belum berkahwin seperti Priyanka Chopra dan Kareena Kapoor, turut diundi dalam tinjauan itu.

Laman portal itu berkata, Priyanka dan Kareena akan menjadi ibu yang ideal sebaik-baik sahaja mereka berdua memiliki anak.

Seorang lagi artis Bollywood, Piggy Chops, pula mendapat 30 peratus undian.

Sebelum ini, satu tinjauan di kalangan selebriti Hollywood memilih Jolie sebagai ibu paling ideal apabila dia meraih 67 peratus undian.

Kategori pasangan selebriti ibu-anak perempuan paling popular pula menjadi milik Hema Malini dan dua anak perempuannya, Esha dan Aahana Deol.

Antara artis terkenal Bollywood yang turut tersenarai dalam kategori itu ialah Kareena Kapoor dan Babita; Soha Ali Khan-Sharmila Tagore dan Twinkle Khanna-Dimple Kapadia. - AGENSI

FGVHB bakal konglomerat komoditi terbesar dunia

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

FGVHB bakal jadi konglomerat komoditi terbesar dunia

Datuk Seri Najib Tun Razak percaya perjanjian kerjasama strategik antara Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) dan Louis Dreyfus Commodities Asia Pte. Ltd. (LDCA) serta memorandum persefahaman (MoU) dengan Vitol Group akan menjadikan syarikat perladangan kelapa sawit itu muncul sebagai konglomerat komoditi antarabangsa terbesar di dunia.

Menurut beliau, sebahagian daripada strategi baru Felda berikutan dengan penyenaraian FGVHB ialah untuk menjadikannya sebagai syarikat komoditi terbesar daripada peringkat peladangan hingga pemasaran.

''Pasarannya di luar negara termasuk di Eropah, Asia Barat dan Rusia dan ini memerlukan kita menggabungjalinkan Felda dan FGVHB dengan syarikat komoditi yang mempunyai rangkaian dan mengetahui selok-belok penyenaraian komoditi.

''Saya yakin dan percaya dengan wujudnya kerjasama strategik ini Felda Global Ventures boleh muncul sebagai syarikat komoditi terbesar di dunia," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Najib menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Felda dan FGVHB, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGVHB, Datuk Sabri Ahmad, manakala Louis Dreyfus Holdings diwakili oleh Pengerusinya, Baroness Margarita Louis-Dreyfus, Presiden dan CEO Kumpuan Vitol, Ian Taylor.

Perjanjian FGVHB dengan Louis Dreyfus membabitkan kerjasama dalam urusan perladangan dan pemasaran iaitu FGVHB ialah sebagai pengeluar dan pemproses minyak mentah sawit (CPO) dan LDCA sebagai pengeluar minyak bertapis dan barangan pengguna.

Sementara itu, MoU antara FGVHB dan Kumpulan Vitol ialah perjanjian yang melibatkan kerjasama bagi membekal, perdagangan antarabangsa, operasi logistik dan pengurusan risiko.

FGVHB ialah syarikat langsung Felda yang terlibat dalam pertanian global dan komoditi yang beroperasi di 10 negara dan buat masa ini pengeluar minyak sawit ketiga terbesar di dunia. Ia menguruskan 343,521 hektar ladang kelapa sawit di Malaysia yang mengeluarkan 5.2 juta metrik tan kelapa sawit pada 2011.

Vitol pula yang ditubuhkan di Rotterdam, Belanda terbabit dalam pasaran tenaga dunia dan perdagangan komoditi. Ia juga ialah antara pengendali kapal tangki minyak dan minyak kelapa sawit terbesar di dunia.

Kajian: Peranti mudah alih mudah digodam

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Kajian yang dijalankan makmal Kaspersky terhadap 9,000 pengguna peranti mudah alih iaitu tablet dan telefon bimbit pintar di Amerika Syarikat, Eropah dan Rusia mendapati 70 peratus pengguna peranti tablet dan 53 peratus pengguna telefon bimbit melayari internet menerusi penggunaan WiFi secara percuma.

Hasil kajian itu mendedahkan, 58 peratus daripadanya menggunakan internet percuma itu untuk tujuan berkomunikasi.

Bagaimanapun, pengguna-pengguna internet percuma itu ternyata tidak sedar bahaya yang menanti terutamanya ketika proses pemindahan data yang mudah digodam oleh penjenayah siber.

Menurut satu kenyataan akhbar Kaspersky Lab, dianggarkan 60 peratus pengguna menggunakan internet percuma untuk transaksi sistem perbankan mereka.

"Masalah penggodaman pada peranti mudah alih ini terjadi kerana secara umumnya akses peranti berkenaan tidak dilindungi berbanding komputer dan komputer riba," kata sumber yang dipetik daripada kenyataan akhbar itu.

Kajian tersebut juga mendedahkan penjenayah siber boleh menggodam 28 peratus peranti tablet dan telefon mudah alih kerana tiada perisian keselamatan diaplikasikan pada peranti mereka manakala 82 peratus pengguna komputer dan komputer riba mengaplikasi perisian antivirus untuk melindungi komputer mereka daripada digodam.

Terdapat perisian keselamatan pada peranti mudah alih di pasaran yang bertujuan untuk melindungi peranti mereka daripada digodam oleh penjenayah siber. Sebagai contoh, Kaspersky Mobile Security. Perisian tersebut dicipta bagi melindungi peranti mudah alih terutamanya segala maklumat yang terkandung di dalamnya.

Kira-kira 49 peratus pengguna internet di rumah dan 39 peratus di pejabat menggunakan tablet sebagai peranti mudah alih mereka. Penggunaan internet di pejabat mempunyai tahap keselamatan yang baik terutamanya ketika melakukan pemindahan data.

Bagaimanapun, pengguna peranti mudah alih tidak seharusnya mengabaikan langkah-langkah keselamatan dalam usaha untuk melindungi peranti mudah alih mereka daripada digodam.

Tunku Abdul Aziz tak akan kembali kepada DAP

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) menegaskan, beliau tidak akan kembali kepada parti itu biar pun dipujuk oleh sesiapa juga.

Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim

Sambil menyifatkan tindakan meninggalkan DAP dilakukan secara bermaruah, beliau berkata, keputusan tersebut adalah muktamad.

"Saya cuma kata perhimpunan Bersih 3.0 adalah aktiviti haram, mengapa saya perlu dikecam dan sekarang bila saya buat keputusan untuk tinggalkan parti, baru nak kecoh minta saya kembali.

"Tidak kira siapa juga yang berhasrat mahu memujuk saya, keputusan saya adalah muktamad. Saya keluar secara bermaruah dan tidak sesekali terfikir untuk kembali," katanya.

Terdahulu, Abdul Aziz menggemparkan sesi sidang Dewan Negara apabila secara terbuka menyatakan bantahan terhadap penganjuran perhimpunan yang akan menimbulkan keadaan huru-hara.

Tegas beliau, bantahan itu berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.

 

ZONFINITI