Auta seorang lelaki yang menyamar anak kepada pengamal perubatan Islam terkenal, Datuk Dr Haron Din dan kononnya dia mahir dalam ilmu perubatan Islam terbongkar apabila dia dicekup polis, malam kelmarin.
Lelaki berusia 28 tahun itu yang aktif memperdaya golongan kaya sekitar bandar raya ini dan Klang sejak tahun lalu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.
Dia ditahan di rumah seorang mangsanya di Seksyen 13, di sini, selepas mangsa terbabit berpakat dengan polis.
Polis menahan lelaki itu berikutan waran tangkap dikeluarkan ke atasnya oleh Mahkamah Majistret Klang kerana gagal hadir perbicaraan bersabit kes penipuan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dianggarkan berjumlah lebih RM300,000.
Sebelum penahanan suspek, mangsa yang mahu dikenali sebagai Tina, 46, menunggu kedatangan lelaki itu yang mahu menjual batu azimat dinamakan 'batu petir'.
Tina yang juga pengusaha produk kecantikan terkenal berkata, suspek memberitahunya 'batu petir' itu boleh digunakan untuk memagar rumah mangsa bagi mengelak terkena ilmu sihir.
"Untuk memiliki batu petir itu, dia meminta bayaran RM4,400 dengan alasan RM4,000 akan disedekahkan kepada anak yatim manakala baki RM400 lagi untuk diberi kepada Haron Din sebagai upah," katanya kepada Harian Metro.
Curiga dengan arahan pembayaran itu, Tina mengajak tiga individu yang juga pernah berurusan dan menjadi mangsa suspek supaya datang ke rumahnya, selain membuat aduan kepada polis untuk menahan suspek.
Tina berkata, dia dan keluarganya baru mengenali suspek dalam tempoh sebulan lalu selepas diperkenalkan rakan anaknya yang memaklumkan suspek mahir ilmu perubatan Islam.
"Dia (suspek) memberitahu keluarga saya sudah disihir pihak yang iri hati dan akibat sihir itu anak lelaki yang berusia 18 tahun akan meninggal dunia apabila usianya mencecah 25 tahun.
"Walaupun curiga dengan dakwaan itu, tapi saya tetap mahu menghindarkan sihir yang kononnya ditujukan kepada kami. Lagipun, kami terpengaruh dengan tutur katanya yang lembut selain bijak berhujah mengenai agama.
"Apabila dia mendakwa sebagai anak kepada Haron Din, kami terus percaya, tambahan pula selepas dia memaklumkan Haron Din yang dipanggilnya abah akan merawat kami sekeluarga," katanya.
Bagaimanapun, kata Tina, dia mula curiga apabila suspek mengenakan syarat iaitu dia perlu membeli 'batu petir' terlebih dulu agar sihir yang ditujukan kepada keluarganya dapat dimatikan.
Tina berkata, dia semakin curiga apabila beberapa fakta yang dikemukakan lelaki itu mengenai Haron Din tidak tepat, menyebabkan dia menghubungi Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') untuk mendapatkan pengesahan.
"Saya terkejut apabila diberitahu ada dua lagi individu yang turut ditipu suspek menggunakan taktik sama iaitu mendakwa terkena sihir sebelum menjual batu azimat untuk membolehkan rawatan dilakukan.
"Saya menghubungi individu terbabit sebelum kami berpakat untuk membuat laporan polis," katanya.
Menurut Tina, dia dimaklumkan kesnya kemudian dirujuk ke IPD Klang Selatan kerana suspek sebelum ini pernah disiasat kerana disyaki melakukan penipuan di daerah Klang.
Berdasarkan maklumat mangsa lain, Tina berkata, harga batu azimat yang dijual suspek berbeza mengikut tahap kekayaan mangsanya, semakin kaya mangsa semakin mahal harga yang dikenakan.
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 18, berkata, hubungannya dengan suspek sudah seperti kawan rapat dan dia langsung tidak menduga lelaki berperwatakan alim sebenarnya penipu.
"Saya mengenalinya melalui seorang rakan sejak tiga bulan lalu dan tidak pernah curiga terhadapnya kerana dia kerap bercerita mengenai agama, selain mengajak saya berbuat baik.
"Tapi memang dia ada meminta keluarga saya membeli batu cincin dan loket berharga RM2,000 untuk dijadikan pendinding kerana keluarga saya sudah terkena sihir," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
"Suspek direman sehingga perbicaraannya bersabit kes penipuan di Mahkamah Majistret Klang selesai," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dihukum maksimum 10 tahun penjara dan sebatan serta boleh didenda.
Oleh Riadz Radzi; Nurul Ekhwan Haque Fazlul Haque (Metro)