3 Februari dicadang jadi Hari Kesukarelaan

Monday, February 04, 2013

3 Februari jadi Hari Kesukarelaan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mencadangkan agar 3 Februari setiap tahun diiktiraf sebagai Hari Kesukarelaan demi menyemarakkan budaya gotong-royong di kalangan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, ia sejajar dengan pelancaran program My Beautiful Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Katanya, usaha itu diharap dapat memperbanyakkan aktiviti dan penyertaan sukarelawan terutama belia untuk menjaga dan memelihara persekitaran kehidupan di seluruh negara.

"Tarikh 3 Februari patut kita iktiraf sebagai Hari Kesukarelaan iaitu pada tarikh ini setiap tahun banyak aktiviti sukarela atau gotong-royong diadakan di mana-mana sahaja tidak kira di taman-taman atau sekolah.

"Semangat kesukarelaan seperti ini harus dipupuk bukan sahaja di kalangan belia tetapi libatkan semua masyarakat," katanya selepas merasmikan pelancaran My Beautiful Malaysia peringkat negeri Kedah di Taman Rekreasi Gunung Keriang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Arpah Abdul Razak; Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dan lebih 10,000 sukarelawan.

Kira-kira 280,600 sukarelawan melakukan aktiviti gotong-royong di 26 lokasi di seluruh Kedah termasuk 203,000 sukarelawan terdiri daripada kalangan pelajar.

Menurut Chee Heung, pelancaran My Beautiful Malaysia selaras dengan 2013 sebagai Tahun Kesukarelaan yang diilhamkan daripada program Kejiranan Indah di bawah Strategi Lautan Biru sejak Julai tahun lepas.

"Program ini melibatkan lebih satu juta belia di seluruh negara secara beramai-ramai menjalankan aktiviti gotong-royong mengindahkan 134 kawasan," ujar beliau.

Katanya, dalam program tersebut sukarelawan terbabit berkongsi masa dan tenaga menjalankan aktiviti gotong-royong mengecat semula kemudahan awam, membersihkan longkang dan parit, mengutip sampah, menanam dan mencantas pokok.

"Aktiviti seperti ini akan meningkatkan semangat bekerja secara berpasukan di kalangan belia dalam membangunkan negara," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI