Kumpulan Gajah Pygmy Borneo Sesat Diselamatkan

Thursday, February 28, 2013

10 gajah jenis Pygmy Borneo yang tersesat lebih 45 kilometer dari hutan sehingga memasuki kawasan kampung, diselamatkan sepasukan kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) sebaik menerima maklumat daripada penduduk kampung.

Difahamkan, semua gajah itu yang menghuni di Hutan Simpan Tabin dipercayai tersesat dan ditemui berkeliaran di ladang kelapa sawit terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar ini.

Pegawai Kanan JHL Jibius Dausip berkata, semua gajah berkenaan ditangkap secara berperingkat antara 18 dan 25 Januari lalu sebelum dibebaskan ke habitat asal mereka.

“Bagaimanapun, seekor gajah jantan berusia empat tahun terpaksa dihantar ke Taman Hidupan Liar Kem Lok Kawi untuk rawatan berikutan mengalami kecederaan serius di belalainya.

“Pihak kami menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa melihat sekawan gajah merayau di kawasan rumahnya di Sri Tungku Simpang Ladang Permai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan kakitangan bergegas ke lokasi dan menemui 10 gajah iaitu sembilan betina dan seekor jantan.

“Kejadian ini jarang berlaku kerana kumpulan gajah ini sudah tersasar terlalu jauh dari habitat asal mereka,” katanya.

Sementara itu, Doktor Haiwan dari Unit Penyelamat Hidupan Liar Diana Ramirez berkata, semua gajah itu dihantar secara berperingkat mulai 18 dan 25 Januari lalu selepas dipasangkan alat penjejak.

“Sementara seekor gajah jantan yang cedera parah dipercayai terkena perangkap dihantar ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi untuk rawatan,” katanya.

“Gajah jantan ini pasti sukar menjalani kehidupannya di hutan akibat kecederaan teruk pada belalai dan terpaksa dirawat,” katanya.

Pengarah Danau Girang Field Centre (GDFC), Dr Benoit Goossens berkata, pemantauan satelit terhadap dua gajah betina yang dipasang alat penjejak mendapati kumpulan haiwan itu masih berada dalam hutan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI