Serpihan tahi bintang Russia ditemui

Tuesday, February 19, 2013

Sepasukan saintis semalam mendakwa yang mereka telah menemui serpihan tahi bintang yang jatuh di Pergunungan Ural, Rusia selepas mencetuskan gelombang yang menyebabkan 1,200 orang cedera dan beribu-ribu buah rumah rosak.

Batu angkasa lepas gergasi itu meluncur di langit bandar Chelyabinsk, tengah Rusia pada Jumaat lalu dengan tenaga bersamaan 30 butir bom atom yang digugurkan ke bandar Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Tahi bintang tersebut meletup beberapa kilometer dari Bumi tetapi serpihan-serpihannya dipercayai bertaburan di serata rantau tersebut.

Sebelum ini, sekumpulan petugas yang memeriksa sebuah tasik kecil di mana serpihan-serpihan tahi bintang itu dipercayai jatuh gagal membuat sebarang penemuan.

Namun, sepasukan saintis Akademi Sains Rusia yang melakukan beberapa ujian kimia ke atas beberapa batu aneh kelmarin berkata, serpihan itu datang dari angkasa lepas.

"Kami mengesahkan bahawa beberapa partikel yang ditemui oleh pasukan ekspedisi kami berhampiran Tasik Chebarkul benar-benar memiliki komposisi meteorit," kata saintis berkenaan, Viktor Grokhovsky menurut agensi berita RIA Novsosti.

Universiti Persekutuan Ural tempat Grokhovsky bertugas turut menyiarkan gambar seorang lelaki memegang sebutir batu hitam kecil semalam.

"Meteorit ini berasal daripada kondrit kelas biasa (angkasa lepas)," kata pihak universiti berkenaan dalam satu kenyataannya.

Menurut Grokhovsky, batu itu mengandungi komposisi besi metalik selain krisalit dan sulfit.

Kandungan besi dalam batu tersebut dianggarkan sebanyak 10 peratus.

"Besar kemungkinan, batu ini akan dinamakan sebagai Meteorit Most Chebarkul," kata kenyataan.

Gelombang kuat tahi bintang itu memecahkan tingkap-tingkap hampir 5,000 bangunan dan menyebabkan 40 orang termasuk tiga kanak-kanak dirawat di hospital kelmarin kerana mengalami luka dan kecederaan lebih serius.

Sekitar 24,000 petugas kecemasan dan sukarelawan sibuk menggantikan tingkap-tingkap yang pecah pada hujung minggu lalu sebelum orang ramai mula bekerja.

Serpihan-serpihan tahi bintang tersebut yang jatuh ke Bumi turut mencetuskan minat banyak pihak.

Beberapa pengumpul serpihan angkasa lepas di Rusia telah menyiarkan iklan di internet yang menawarkan bayaran AS$10,000 (RM30,900) untuk serpihan batu tersebut. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI