7 golongan dilindungi di hari kiamat

Wednesday, February 06, 2013

7 golongan dilindungi di hari kiamat

1. Pemimpin adil. Ganjarannya besar bagi pemimpin adil, tetapi azab menanti pemimpin zalim di akhirat.

2. Anak muda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya. Waktu muda dan remaja seseorang itu banyak ruang beribadat, malah badan sihat, tenaga kuat, pendengaran dan penglihatannya sempurna.

3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Ada hadis mengatakan dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan diketegorikan sebagai sedekah.

4. Dua orang berkasih sayang kerana Allah, kedua-duanya berkumpul dan berpisah demi keredaan-Nya.

5. Lelaki yang diajak wanita cantik dan kaya untuk melakukan dosa, tetapi ditolak olehnya dengan berkata: "Aku takut kepada Allah."

6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi tangan kanannya, iaitu sedekah ikhlas.

7. Orang yang menyebut, mengingati dan mengagungkan Allah dengan tidak ada dalam ingatannya perkara lain.
-------

Al-Quran adalah kitab panduan bagi manusia. Di dalamnya mengandungi hukum-hakam, suruhan dan tegahan, nasihat dan peringatan, iktibar dan contoh teladan, kisah golongan terdahulu, berkaitan alam nyata mahupun perkara ghaib, bahkan banyak lagi.

Umat Islam sangat dituntut supaya menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Membaca, menghafal dan menelaahnya sangat dianjurkan. Paling tidak, ia dibaca sewaktu mengerjakan solat fardu lima kali sehari semalam.

Mereka yang membaca al-Quran akan mendapat ganjaran pahala berganda, sebagaimana dapat dilihat dalam satu hadis daripada Ibn Mas'ud RA, katanya Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sesiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah al-Quran, maka baginya satu kebajikan, sedang satu kebajikan itu menyamai sepuluh kebajikan. Aku tidak mengatakan: 'Alif lam mim' satu huruf, tetapi 'alif' itu satu huruf dan 'lam' satu huruf dan 'mim' pula satu huruf. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Hadis itu memberi perangsang kepada orang Islam tidak kira jantina, tua atau muda, malah kanak-kanak supaya sentiasa membaca al-Quran sehinggalah ia menjadi amalan harian dalam hidup.

Selesai satu ayat dibaca lagi ayat berikutnya, sehingga selesai satu muka surat. Kemudian dibaca lagi hingga selesai satu juzuk atau satu surah, sampai satu tahap selesai dibaca seluruhnya dan terus diulang pada waktu berikutnya.

Demikianlah bagi orang yang hatinya sudah diresapi kemanisan iman, membasahi lidah dengan ayat suci al-Quran.

Mereka rajin melakukan ibadat dan amal kebajikan melalui pembacaan al-Quran. Waktu terluang tidak dibazirkan dengan amalan sia-sia, sebaliknya dimanfaatkan sebaiknya. Itulah contoh golongan beruntung di dunia dan akhirat.

Di samping membacanya dengan sempurna mengikut tajwid, mereka juga cuba memerhati serta memahami makna dan tafsirannya sama ada yang tersurat mahupun tersirat.

Sekiranya ayat suci dibaca itu berbentuk teladan, anjuran dan suruhan, diterapkan oleh mereka di dalam kehidupan, sebaliknya jika berbentuk tegahan dan iktibar dijadikan pula sebagai sempadan yang tidak boleh dilangkaui.

"Inilah Kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan keberkatan untuk mereka perhatikan ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal mengambil iktibar." (Surah Saad, ayat 29)

Sungguhpun demikian, mungkin ada orang yang tidak boleh membaca al-Quran kerana tidak berpeluang mempelajarinya sejak zaman kanak-kanak, disebabkan beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan sehingga menyukarkannya untuk mengerjakan ibadat seperti solat.

Disebabkan itulah ibu bapa perlu memastikan anak mereka boleh mengaji dari awal lagi. Jika tidak mampu mengajar mereka, hantarlah ke kelas pengajian al-Quran supaya apabila besar dan dewasa kelak tidak bermasalah untuk membaca al-Quran.

Kepada mereka yang tidak boleh mengaji, jangan putus asa. Belum terlambat untuk mempelajarinya, malah selagi ada kehendak, selagi itu ada peluang. Insya-Allah dengan usaha di samping doa, halangan dihadapi dapat diatasi.

Mereka yang belajar al-Quran sangat dipuji dan dimuliakan, seperti dinyatakan dalam hadis daripada Usman bin Affan RA katanya (bermaksud): "Rasulullah SAW bersabda, sebaik-baik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain." (Hadis riwayat Bukhari)

Sekiranya masih tidak boleh juga, masih ada peluang mendapatkan ganjaran berganda iaitu dengan menghafal ayat suci al-Quran, mungkin bermula daripada surah paling pendek sehingga ia lancar di lidah dan menjadi suatu keringanan untuk selalu dibacanya pada bila-bila masa.

Kepayahan menyebut setiap kalimah ayat suci al-Quran bukanlah bebanan semata-mata, sebaliknya diiringi dengan ganjaran, seperti kata Aisyah RA (maksudnya): "Bersabda Rasulullah SAW, orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, berusahalah untuk membaca al-Quran kerana selain mendapat pahala, banyak kelebihan yang bakal dinikmati kelak antaranya seperti kata Abu Umamah al-Bahili RA (maksudnya):

"Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat akan datang untuk memberi syafaat kepada pembacanya." (Hadis riwayat Muslim)

Dalam satu lagi hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim, daripada Abu Musa al-Asy'ari RA katanya, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Perumpamaan orang Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah utrujjah (limau besar), baunya wangi dan sedap.

Umpama orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar, tidak ada bau dan rasanya manis dan umpama orang munafik yang membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit."



0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI