Larangan guna pembesar suara adalah nasihat hukum

Tuesday, August 16, 2011

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad hari ini berkata, larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih.

Katanya, tidak timbul isu kononnya larangan itu akan diperluaskan untuk melarang penggunaan pembesar suara untuk azan kerana larangan itu bukanlah satu fatwa.

"Saya kesal atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu.

"Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hassan berkata, larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri.

Katanya, banyak pihak termasuk media massa telah menyalahtafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru.

Hassan berkata, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004, tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ia tidak memerlukan perkenan Seri Paduka baginda. – Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI