Kes rogol, samun dan simbah asid angkara bekas suami

Sunday, August 14, 2011

Lelaki bertopeng yang merogol, menyamun dan menyimbah sejenis cecair ke atas seorang wanita ketika hendak berbuka puasa di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini, dua hari lalu, disyaki bekas suami mangsa sendiri.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi semalam berkata, bekas suami mangsa ditahan ketika menziarahi bekas isterinya itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa jam selepas kejadian.

Katanya, hasil soal siasat, lelaki itu mengaku melakukan perbuatan berkenaan dipercayai bermotifkan dendam akibat masalah rumah tangga mereka. Pasangan itu bercerai setahun lalu.

“Wanita berusia 32 tahun itu tinggal bersendirian dan ibu tunggal kepada tiga orang anak berusia tiga hingga 11 tahun yang berada dalam jagaan bekas suaminya.


“Siasatan lanjut ke atas cecair yang digunakan untuk menyimbah muka mangsa didapati sejenis bahan peluntur,” katanya.


Katanya, polis turut menjumpai rantai leher milik mangsa yang dicuri lelaki terbabit ketika dia ditahan.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita yang baru pulang ke rumahnya selepas membeli juadah berbuka di bazar Ramadan di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, dirogol, disamun dan disimbah sejenis cecair oleh seorang lelaki bertopeng.


Difahamkan, sebaik tiba di rumah, mangsa membuka kunci pintu rumahnya tanpa menyedari seorang lelaki sudah menceroboh masuk dan bersembunyi.

Selepas meletakkan juadah berbuka di dapur, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian sementara menunggu waktu berbuka dan ketika itu lelaki terbabit yang bertopeng menghampiri mangsa dan merogolnya. Selepas ditinggalkan dalam keadaan kesakitan mangsa menjerit meminta pertolongan dan jeritannya didengari jiran yang kemudian membawanya ke HKL.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menemui mayat bayi lelaki yang tersangkut pada perangkap sampah di sungai berhampiran Kampung Puah Bahagia, di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.

Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati bayi lelaki itu dipercayai dibuang sebelum ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

“Polis belum mengenal pasti usia dan tempoh bayi terbabit dibuang dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI