Penduduk dunia cecah 7 bilion

Friday, August 19, 2011

Bilangan penduduk dunia bakal mencecah angka tujuh bilion pada akhir tahun ini, dengan pertambahan bilangan penduduk Afrika yang mengimbangi penurunan kadar kelahiran di negara lain, kata kajian terbaru yang disiarkan hari ini.

Institut Kebangsaan Kajian Demografi Perancis (INED) menjangka pertambahan jumlah penduduk dunia akan berterusan sehingga mencecah jumlah yang stabil antara 9 hingga 10 bilion di seluruh dunia pada akhir abad ini.

Daripada jumlah enam bilion penduduk pada tahun 1999, jurang antara peratusan kelahiran dan kematian di seluruh dunia bertambah dengan pantas dan meningkat satu bilion lagi dalam tempoh 12 tahun.

INED, yang turut menjalankan kajian tersebut dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia dan beberapa institusi kebangsaan, menjangka pertambahan penduduk akan mengambil masa 14 tahun untuk mencecah lapan bilion penduduk sebelum mencapai jumlah stabil.

Malah dari segi sejarah juga menunjukkan pertambahan jumlah penduduk dunia meningkat mendadak sejak abad ke-19.

"Jumlah tersebut meningkat tujuh kali ganda sejak 200 tahun lalu, mencapai angka tujuh bilion pada tahun ini dan dijangka mencecah sembilan atau 10 bilion pada akhir abad ke-21," jelas laporan tersebut.

Hanya tujuh negara saja diperlukan untuk menyamai separuh daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia, dan ia disebabkan perubahan demografi yang memberi kesan besar.

China berada di senarai teratas dengan lebih daripada 1.33 bilion penduduk, diikuti dengan 1.17 bilion penduduk di India.

Lima negara yang lain adalah Amerika Syarikat, Indonesia, Brazil, Pakistan dan Nigeria.

INED juga menjangkakan antara sekarang dan 2050, India akan menjadi negara yang mempunyai penduduk paling ramai, dengan China mengamalkan dasar satu anak untuk memperlahankan kadar pertambahan jumlah penduduk. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI