Kebakaran di asrama Sekolah Menengah Tunku Anum Tunku Abdul Rahman

Sunday, August 14, 2011

Kebakaran di sekolah asrama Sekolah Menengah Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Bangunan asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Tunku Anum Tunku Abdul Rahman di sini musnah teruk dalam satu kebakaran kira-kira pukul 3.30 petang tadi, manakala 71 pelajar yang berada di blok berkenaan ketika kejadian berjaya diselamatkan.

Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat berkata, empat daripada enam bilik di tingkat atas bangunan asrama itu musnah sepenuhnya, manakala tingkat bawah yang menempatkan bilik ulang kaji serta ruang rehat tidak boleh digunakan lagi akibat kebakaran itu.

"Asrama ini didiami lebih 100 pelajar, tapi sewaktu kejadian ada 71 pelajar yang sedang bersiap sedia untuk prep (masa ulangkaji) sebab mereka baru tamat waktu pengajian.

"Jabatan Pelajaran akan ambil langkah susulan bagi memastikan semua pelajar dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa dan untuk sementara waktu, mereka akan ditempatkan di bangunan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.


Beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk mendapatkan bantuan segera bagi membolehkan keperluan seperti buku dan pakaian yang musnah dalam kebakaran diganti untuk semua pelajar dari tingkatan 1 hingga 5.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.31 petang dan tiba di tempat kejadian pada 3.40 bersama dua jentera.

"Kami juga mendapat bantuan dua jentera dan satu tanker dari balai bomba Alor Setar serta turut dibantu lapan bomba sukarela dengan jumlah kekuatan anggota seramai 87 orang,” katanya. — Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI