Datuk Nicol David mara ke final Kejohanan Skuasy Terbuka Australia selepas menumpaskan bekas juara Rachael Grinham 11-7, 13-11, 11-7 pada separuh akhir, di sini pada Sabtu.
Beliau hanya mengambil masa 34 minit untuk menundukkan pemain tuan rumah itu.
Nicol yang merupakan pilihan pertama kejohanan akan berdepan Jenny Duncalf dari England yang mengejutkan juara bertahan Madeline Perry dari Ireland dengan 11-8, 11-9, 2-11, 11-4.
Grinham yang masih belum dapat menewaskan Nicol sejak 2007, berkata beliau berusaha memberikan yang terbaik terutama pada set kedua perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, Nicol berjaya mematahkan serangan Gringham dengan permainan menarik bagi memastikan kelebihan 2-0.
"Saya tahu jika saya biarkan beliau menguasai permainan beliau akan terus mengasak, jadi set kedua itu memang mata yang penting buat saya," kata Nicol yang mengakui Gringham bermain dengan baik.
"Saya gembira dapat mara ke final," kata Nicol.
Gringham juga mengakui kegagalannya memenangi set kedua memberi kelebihan kepada Nicol.
"Memang sukar untuk bangkit semula selepas ketinggalan 2-0 apabila berdepan dengan Nicol," kata bekas pemain nombor satu dunia itu.
-- BERNAMA
0 Komen:
Post a Comment