Puasa sunat enam hari bulan Syawal

Thursday, August 18, 2011

Puasa sunat enam hari bulan Syawal

Meskipun Hari Raya Aidil Fitri hanyalah sehari, iaitu pada satu Syawal, kebiasaan umat Islam tanah air ialah menyambutnya selama sebulan penuh. Dalam kegembiraan kita menyambut hari perayaan ini, janganlah sehingga kita terlupa untuk melakukan satu amal ibadah yang khusus dengan bulan Syawal, iaitu berpuasa sunat selama enam hari.

Puasa-puasa sunat, sama ada enam hari di bulan Syawal atau yang selainnya amat dianjurkan dalam Islam dan memiliki ganjaran yang besar di sebaliknya. Rasulullah bersabda bahawa Allah berfirman: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu). (Rasulullah melanjutkan): Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalha lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi. [Shahih Muslim, no: 1151]

Hanya sebelum melaksanakan puasa sunat tersebut, hendaklah dipastikan ia benar-benar dan dianjurkan dalam Islam berdasarkan rujukan kepada hadis-hadis yang sahih. Puasa enam hari dalam bulan Syawal misalnya, dianjurkan oleh hadis sahih berikut, Rasulullah bersabda: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun. [Shahih Muslim, no: 1164]

Bilakah ia dimulakan
Puasa sunat enam hari bulan Syawal paling awal dimulakan pada dua Syawal. Ini kerana tarikh satu Syawal adalah Hari Raya Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [Shahih al-Bukhari, no: 1991]

Syarat dan adab bagi sunat enam hari bulan Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadan. Adapun perbezaannya, maka ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Oleh itu, puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada satu Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal. Walau bagaimanapun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan sunat enam hari bulan Syawal berdasarkan keumuman firman Allah: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. [Ali Imran 3:133]

Tidak ada hari raya selepas puasa sunat enam hari bulan syawal
Sebahagian orang ada yang menyambut Hari Raya pada satu Syawaldengan perasaan hambar dan kekosongan. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki erti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunat enam hari bulan Syawal. Ini adalah satu bid‘ah yang mungkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyariat oleh Tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik dari perayaan (zaman jahiliyah), iaitu (perayaan Aidil) Adha dan (perayaan Aidil) Fitri. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1134]

Oleh itu hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hanya pada dua hari inilah kita menyambut dengan penuh kegembiraan kerana ia disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tidak ada hari perayaan sempena genapnya puasa sunat enam hari bulan Syawal.

~ Dara

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI