Google Plus tarik 25 juta pengguna

Thursday, August 04, 2011

Rangkaian sosial terbaru, Google Plus keluaran syarikat Google Inc, telah menarik 25 juta pengguna Internet, sekali gus menjadikan ia laman web paling pantas meraih bilangan pengguna sedemikian ramai.

Menurut data yang dikeluarkan firma penjejak, comScore semalam, Google Plus yang dilancarkan lewat Jun lalu, mempunyai 25 juta pengunjung unik setakat 24 Julai lalu dan jumlah tersebut terus meningkat dalam kiraan jumlah kasar sejuta pengunjung setiap hari.


Jumlah itu disifatkan tinggi dibandingkan dengan Facebook yang memerlukan masa tiga tahun untuk menarik jumlah pengguna seramai 25 juta orang, manakala Twitter pula mengambil masa 30 bulan untuk jumlah yang sama.

Menurut comScore, walaupun data menunjukkan permulaan yang baik tatkala Google berusaha untuk mendominasi rangkaian sosial, ia tidak bermakna projek tersebut merupakan kejayaan jangka masa panjang.

Ini kerana rangkaian sosial Myspace sebelum ini memperoleh sehingga 25 juta pengunjung unik dalam tempoh kurang dari dua tahun, lebih pantas daripada Facebook dan Twitter, telah kehilangan ramai penggunanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam pada itu, data menunjukkan jumlah pengunjung unik Google Plus di Amerika Syarikat mempunyai lebih daripada enam juta pengunjung unik, dan India pula melebihi 3.6 juta pengguna.

Kanada dan United Kingdom masing-masing mempunyai kira-kira sejuta pengguna, Jerman (920,000), Brazil (780,000) dan Perancis dan Taiwan masing-masing 500,000 pengunjung. - REUTERS

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI