Program Jimat Belanja Dapur oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), membantu pengguna berbelanja secara berjimat pada bulan Ramadan ini dan ketika membuat persiapan Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damak, Datuk Lau Lee berkata, program Fama itu turut memudahkan penjualan bahan mentah secara terus kepada pengguna di pasar tani.
Menurutnya, selain menawarkan harga berpatutan, ia juga secara tidak langsung dapat menangani isu bekalan dan harga barangan meningkat menjelang musim perayaan.
“Program ini berlangsung selama tiga bulan dengan menetapkan harga jualan bahan mentah antara 5 hingga 20 peratus berbanding pasaran di luar.
“Operasi jualan dibuka pada setiap hari bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari, termasuk hari minggu untuk membantu pengguna mendapatkan barang keperluan terpilih pada harga yang lebih rendah berbanding pasar biasa,” katanya selepas majlis pelancaran Program Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani Kekal (PTK) Jerantut, kelmarin.
Turut hadir, Pengarah Fama Wilayah Timur 2, Abdul Rashid Bahri; Pengarah Fama Pahang, Ibrahim Mahmud dan Pengurus Pusat Operasi Fama Pahang Barat, Mohd Lokman Muhd Isa.
Lau Lee berkata, selain PTK Jerantut, program berkenaan turut diadakan secara serentak di Pasar Tani Mega Kuantan dan Pekan.
Menurutnya, di bawah program itu, Fama akan mempamerkan carta senarai 14 barangan keperluan harian terpilih berserta harga jualan untuk panduan pengguna.
Katanya, antara barang yang ditawarkan harga berpatutan adalah pelbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan, ikan air tawar dan laut, ayam standard dan daging pejal tempatan.
“Sebagai contoh, PTK Jerantut di sini menjual daging pejal dengan harga RM20 sekilogram pada musim perayaan berbanding dengan tempat lain mencecah RM22 sekilogram, manakala ayam standard RM7.30 setiap kilogram berbanding di luar RM8.50 sekilogram.
“Program ini sejajar dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang memberi tanggungjawab kepada Fama untuk mengimbangi kenaikan harga barangan keperluan harian tersebut,” katanya.
Beliau berkata, usaha Fama itu diharap dapat memberi kemudahan kepada pengunjung pasar tani mendapatkan bekalan barangan keperluan harian pada harga terbaik.
Program Jimat Belanja Dapur oleh FAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment