Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2011 (PECIPTA 2011) dijadual berlangsung 13 hingga 15 September ini, bakal mempamerkan kira-kira 400 produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Bertemakan `Menyemarak Inovasi Bersama Model Baru Ekonomi', PECIPTA 2011 bukan saja menjadi medan mempamerkan produk R&D, bahkan muncul sebagai lokasi strategik antara pengamal industri dan produk ciptaan berkualiti daripada penyelidik tempatan.
Penolong Naib Canselor (Penyelidikan), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Abu Bakar Abdul Majeed, berkata pemilihan tema dilakukan bagi memastikan budaya inovasi disuburkan di peringkat IPT dan sekolah.
"PECIPTA 2011 selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi melalui produk inovasi.
"Kita bukan saja menumpukan kepada pameran produk inovasi IPT, bahkan membuka ruang pembabitan peserta dari sekolah menengah.
"Selain itu, PECIPTA 2011 menyediakan ruang kepada pemain industri bertemu secara langsung dengan penyelidik dan produk yang berpotensi dikomersialkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Beliau berkata, semua 20 IPTA menyatakan persetujuan mengambil bahagian pada pameran kali ini dan beberapa IPTS juga berminat untuk turut serta.
Katanya, semua produk R&D yang dipamerkan pada pameran ini perlu memiliki atau sudah memohon hak paten daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
"Syarat itu penting bagi memastikan semua produk dipamerkan selamat daripada diciplak pihak tidak bertanggungjawab. Kita ada lima kategori dipertandingkan kali ini.
"Satu pertandingan bagi peringkat sekolah menengah anjuran bersama Majlis Profesor Negara (MPN).
"Pertandingan ini (sekolah menengah) menawarkan Piala Freescale bagi menguji kemampuan pelajar sekolah mencipta kereta mainan kawalan jauh menggunakan komponen dibekalkan syarikat berkenaan (Freescale Digital International)," katanya.
Mengulas R&D yang akan dipamerkan, Abu Bakar berkata, antaranya ialah produk berkaitan teknologi hijau, pembangunan lestari dan mesra alam, produk terkini dan aplikasi industri dan produk pengkomputeran serta komunikasi.
Katanya, setiap produk berkenaan diasingkan mengikut kategori ditetapkan seperti produk yang sudah dikomersialkan; produk yang pernah memenangi pertandingan atau anugerah; produk yang belum menyertai pertandingan dan pameran; pencipta muda (untuk pelajar peringkat diploma dan kolej komuniti) dan kategori sekolah.
"Selain pertandingan dan pameran, simposium bertajuk `Mencari Ekosistem Utuh Untuk Inovasi' membabitkan panel pakar dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan Malaysia turut diadakan.
"Kita juga akan mempromosikan PECIPTA 2011 di laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi memastikan lebih ramai pengunjung, terutamanya dalam kalangan generasi muda mengunjungi pameran ini," katanya.
PECIPTA 2011 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pameran dwi tahunan ini adalah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi dan IPTA bagi menyemarakkan budaya inovasi, UiTM menjadi hos penganjur bersama pada PECIPTA 2011, manakala pameran itu mendapat penajaan bersama Bank Islam.
PECIPTA 2011,13 hingga 15 September
Entri Lain
- Tak larang balik kampung untuk jimat minyak - Syed Abdul Aziz Al Qubra
- Amah Indonesia Mengaku Terima IC dan BR1M
- Top-up kad prabayar dikenakan GST 6%
- Tempoh rayuan BR1M dilanjut sehingga 15 April 2015
- Nahas Germanwings:Pembantu juruterbang alami putus cinta?
- Senarai barang dikecualikan GST
- Tiada kenaikan tarif elektrik tahun 2015
- Dubai International Airport World's Busiest A380 Hub
- SKMM Keluar 23 Kompaun RM1.01 Juta Kepada Telco
- Semua seks luar tabii dalam kesalahan liwat
Permalink: PECIPTA 2011,13 hingga 15 September
Categories Isu Semasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment