Keunikan pelbagai bentuk khat Islam yang sungguh indah dapat disaksikan pada Pameran Seni dan Kaligrafi Kitab Suci al-Quran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, bermula Sabtu sehingga 20 Ogos.
Pameran yang diadakan buat julung kali di Malaysia, dianjurkan oleh Kedutaan Iran sempena sambutan bulan Ramadan.
Kaunselor Kebudayaan kedutaan Dr Ali Akhbar Ziaei berkata pameran itu menyediakan platform untuk memperkenalkan dan mendidik orang ramai tentang aspek berbeza mengenai al-Quran.
Dr Ali berkata pameran itu juga bertujuan untuk memperkenalkan pakar seni kaligrafi al-Quran terkemuka dari Iran.
Katanya tarikan utama pameran itu ialah karya seni, 'kitab al-Quran permaidani' (mengandungi keseluruhan ayat al-Quran) yang disulam oleh artis Iran.
Beliau mendedahkan naskah al-Quran itu dihasilkan secara sulaman tangan oleh sembilan pakar seni Iran selama enam tahun, diperbuat daripada benang sutera dan bulu biri dan dilancarkan oleh pemimpin Republik Islam Iran pada 28 Feb tahun lepas.
Malaysia adalah negara pertama naskah itu dipamerkan, katanya pada sidang media pada prapelancaran pameran itu di KLCC.
Katanya pengunjung akan turut mengagumi manuskrip al-Quran lama dan jarang ditemui yang berasal dari Abad Pertama dan Kedua Hijrah serta al-Quran yang diterjemah ke dalam 50 bahasa.
Katanya pameran itu turut menganjurkan bengkel mengenai penerangan dan kaligrafi al-Quran yang dikendalikan oleh pakar kaligrafi terkemuka dunia dari negara itu sepanjang tempoh pameran berlangsung.
Kerja-kerja seni dan kaligrafi al-Quran akan turut dijual sempena pameran itu.
-- BERNAMA
Pameran Seni Dan Kaligrafi Al-Quran Di KLCC
Entri Lain
Permalink: Pameran Seni Dan Kaligrafi Al-Quran Di KLCC
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment