`Super Syafiq' budak Superman

Wednesday, February 27, 2013

`Super Syafiq'

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mendapat julukan `budak Superman' berikutan masih hidup dan mampu berjalan walaupun selepas buah pinggang, limpa, tulang rusuk dan paru-parunya cedera teruk akibat dilenyek traktor mengangkut buah kelapa sawit.

Muhd Syafiq Abdul Hamid, 10, digilis traktor mengangkut buah sawit seberat lebih tiga tan ketika dalam perjalanan menuju pusat pengumpulan sawit Changkat Lobak, Alor Pongsu, di sini, jam 2.30 petang, 29 Januari lalu.


Pemeriksaan doktor mendapati Muhd Syafiq mengalami kecederaan organ dalaman yang teruk menyebabkan dia ditahan untuk menerima rawatan di hospital selama 26 hari termasuk 16 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.

Bagaimanapun, bapanya, Abdul Hamid Dahaman, 48, berkata, keanehan berlaku kerana anak bongsunya itu bukan saja tidak menunjukkan kesan kecederaan fizikal teruk sejurus kejadian, malah kini mampu berjalan.

"Doktor turut menganggap apa yang berlaku ke atas Muhd Syafiq satu keajaiban daripada Tuhan kerana dia masih hidup biarpun banyak organ dalamannya cedera teruk," katanya.

Menurut Abdul Hamid, tragedi menimpa anaknya itu berlaku ketika dia memandu traktor menuju pusat pengumpulan buah kelapa sawit terletak satu kilometer dari rumahnya.

"Ketika itu Muhd Syafiq duduk di atas traktor, namun dia tergelincir dan jatuh sebelum tubuhnya digilis tayar belakang traktor yang membawa buah sawit.

"Saya memberhentikan kenderaan dan mendapatkannya yang ketika itu dalam keadaan terbaring, namun saya terkejut besar apabila dia mampu bangkit tanpa menunjukkan reaksi sakit atau cedera serius," katanya.

Abdul Hamid berkata, walaupun Muhd Syafiq tidak menunjukkan kecederaan serius dia segera membawa anaknya ke Hospital Selama untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Doktor pakar yang melakukan imbasan X-ray terkejut apabila mendapati tulang rusuk anak saya lari dari kedudukan asal selain beberapa kecederaan pada organ dalaman lain. Muhd Syafiq dipindahkan ke Hospital Taiping untuk rawatan susulan.

"Namun anak bongsu saya itu langsung tidak mengadu sakit menyebabkan saya semakin keliru mengenai keadaan kesihatannya," katanya.

Menurutnya, sebaik sampai di Hospital Taiping, Muhd Syafiq sekali lagi melalui imbasan X-ray sebelum doktor mengesahkan kecederaan anak saya parah.

"Kami sekeluarga sukar menerima kenyataan apabila doktor mengesahkan buah pinggang, limpa dan paru-parunya rosak manakala tulang bahu sebelah kanan turut patah.

"Ini kerana dia kelihatan seperti biasa, namun untuk keselamatan doktor menahannya di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut serta pemantauan," katanya.

Abdul Hamid berkata, Muhd Syafiq terlantar 16 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping dan 10 hari di wad pesakit biasa.

"Dia baru dibenarkan keluar dari hospital (kelmarin) dan keadaannya kini stabil. Namun kami sekeluarga sentiasa memerhatikannya setiap masa. Ini kerana doktor berpesan, sebarang kemalangan kecil seperti terjatuh sudah cukup untuk membahayakan nyawanya," katanya. 

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI