Penipuan kutipan derma Children's Joy Foundation

Monday, February 17, 2014

Children's Joy Foundation, pertubuhan sukarela yang membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Filipina, tidak pernah melantik mana-mana individu untuk mengutip derma bagi pihak yayasan itu.

Ketua Unitnya di Quezon City dekat Manila, Ma Angeles Lazaro ketika dihubungi Metro Ahad mengesahkan kegiatan kumpulan gadis Filipina mengutip derma di Malaysia kononnya untuk menambah dana yayasan itu, adalah penipu.

"Kami tidak mempunyai wakil di luar Filipina untuk mengutip sumbangan atau derma. Malah, setakat ini tiada sesiapa pun (dari luar Filipina) menyalurkan sumbangan kepada yayasan ini biarpun dalam jumlah kecil.

"Kami juga tidak pernah menugaskan mana-mana pihak untuk mengutip derma melalui apa cara sekalipun, termasuk bermain muzik di jalanan," katanya.

Lazaro berkata, sumbangan kepada yayasan itu hanya dikutip melalui pelbagai program kebajikan yang dijalankan di Filipina membabitkan pihak swasta dan kerajaan.

"Antara sebab kami tidak buat kutipan derma di luar Filipina ialah kerana kami tiada cawangan di negara lain, selain tahu ia membabitkan pelbagai urusan dan kebenaran kerajaan negara yang ingin dilawati.

"Jadi, buat masa ini kutipan atau sumbangan yang kami terima semuanya dari Filipina," katanya.

Lazaro berkata, pihaknya yakin individu yang mengutip sumbangan di negara ini mempergunakan nama yayasan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga menerima banyak laporan mengenai kegiatan individu dan kumpulan di luar Filipina yang menggunakan nama yayasan itu untuk memungut derma.

"Ini bukan kali pertama kami ditanya mengenai perkara ini. Sebelum ini kami menerima laporan sama membabitkan penipuan seumpama itu di Kanada, Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom dan Australia.

"Dengan penjelasan ini, saya berharap orang ramai tidak lagi terpedaya dengan taktik kumpulan penipu terbabit. Jangan beri derma lagi kepada mereka yang menggunakan nama yayasan ini, terutama kumpulan yang bermain gitar di jalanan. Mereka secara terang-terangan menipu dan memperdayakan orang ramai untuk kepentingan sendiri," katanya.

Kumpulan seumpama itu aktif menjalankan penipuan sama di Kanada dan Amerika Syarikat.

Beberapa akhbar dan media online melaporkan, kumpulan berkenaan biasanya menjadikan stesen minyak dan kedai runcit untuk bermain gitar sebelum meminta orang ramai menghulurkan derma, kononnya untuk dana Children's Joy Foundation.

Lebih berani, ada pelajar kolej warga Filipina di Kanada menggunakan taktik sama untuk mengutip derma di kampus masing-masing yang kemudian dibuktikan penipuan terancang.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI