Balasan tunai cabar Tuhan: Perompak mati ditembak polis

Wednesday, February 26, 2014

Balasan tunai cabar Tuhan: Perompak mati ditembak polis

"Mereka menjerit mencabar kuasa Tuhan sambil mencekik isteri saya sekuat hati. Akhirnya dosa mereka dibalas apabila ketiga-tiga mereka mati ditembak polis Ahad lalu," kata seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang enggan namanya didedahkan.

Dalam kejadian jam 4 pagi pada 4 Januari lalu, sekumpulan tiga perompak dipercayai warga Indonesia memecah masuk rumah mangsa di Kampung Dendang, Beruas.

Penjenayah turut bertindak kejam apabila mengacukan parang ke arah leher anak lelaki mangsa berusia empat tahun selain mengugut mahu menikam mati bayinya yang baru berusia lima bulan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia tidak berada di rumah ibunya itu susulan mempunyai urusan perniagaan di Kuala Lumpur.

"Perompak memecah masuk melalui pintu belakang rumah sebelum menyerbu bilik tidur ibu saya terlebih dulu. Mereka kemudian mengugut supaya ibu saya menyerahkan wang.

"Isteri saya yang sedang tidur bersama dua anak berusia lima bulan dan empat tahun terjaga daripada tidur apabila terdengar suara ibu saya sedang bercakap dengan beberapa lelaki," katanya.

Beliau berkata, isterinya yang berusia 28 tahun terkejut apabila penjenayah bertindak memecah pintu bilik tidur mereka sebelum menghunuskan pisau ke arahnya.

"Penjenayah mengugut isteri saya supaya tidak melawan sebelum menggeledah dan merampas telefon bimbit serta dua jam tangan mewah milik kami.

"Tangan isteri saya kemudian diikat dengan kain selendang oleh suspek. Mereka turut merampas golok milik saya yang disimpan di dalam bilik tidur itu," katanya.

Menurutnya, semua penjenayah yang menutup muka dengan topeng ski itu turut mengugut mahu menikam bayinya dengan golok berkenaan sekiranya gagal memperoleh wang dan barang kemas.

"Malah mereka turut mengacukan parang ke arah leher anak lelaki saya berusia empat tahun dalam usaha memaksa isteri saya menyerahkan lebih banyak barang berharga.

"Lebih menyedihkan apabila ibu saya yang berusia 77 tahun turut ditumbuk penjenayah walaupun ketika itu sudah memperoleh wang RM1,000 dan jam tangan mewah," katanya.

Beliau berkata, salah seorang penjenayah kemudian bertindak mencekik leher isterinya dan mahu memukulnya dengan alat pemotong besi serta besi pengumpil.

"Bagaimanapun isteri saya merayu dan dia hanya dilepaskan selepas isteri saya menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin keselamatan kad itu kepada mereka," katanya.

Sebelum melarikan diri, suspek dipercayai warga Indonesia itu sempat mengugut untuk datang semula membunuh isterinya jika kejadian itu dilaporkan kepada polis.

Menurutnya, isterinya kemudian menghubunginya sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung.

"Kami mendapat tahu sekumpulan tiga perompak ditembak mati polis di Kampung Buruk Bakul, Beruas, pada jam 5.40 pagi, Ahad lalu.

"Isteri saya yakin penjenayah yang ditembak mati itu adalah suspek yang merompak rumah kami sebelum ini," katanya.

~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI