Siasatan insiden `Terowong Larkin' selesai

Friday, February 28, 2014

Siasatan insiden `Terowong Larkin' selesai

Polis sudah menyelesaikan siasatan berhubung insiden `Terowong Larkin' selepas mengambil keterangan lebih 20 individu termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kertas siasatan insiden itu sedang dikemaskini sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Polis merekodkan keterangan lebih 20 individu yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung insiden itu.

Serah kertas siasatan

"Kita sedang kemas kini kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat ini untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui selepas Majlis Beramah Mesra bersama Pesara Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, semalam.

Insiden `Terowong Larkin' pada 1 Februari lalu itu menarik perhatian banyak pihak terutama peminat bola sepak tempatan selepas pemain import TTeam, Evaldo Rodrigues mendakwa ditumbuk seorang pegawai tinggi PBNJ ketika masa rehat aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Dalam kejadian itu, jurulatih kecergasan TTeam, Stefano Impagliazzo turut dikasari di dalam terowong stadium ketika menuju ke bilik persalinan.

Berikutan kejadian itu, TTeam menarik diri pada babak kedua kerana faktor keselamatan sehingga menyebabkan perlawanan antara JDT dan The Titans terpaksa ditangguhkan.

Susulan kejadian itu, pemain dan jurulatih kecergasan terbabit membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Rodrigues dan Impagliazzo juga dikatakan membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). ~ BH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI