Pendidikan seksual, reproduktif penting

Wednesday, February 12, 2014

Remaja masa kini kekurangan maklumat dan pendidikan berkaitan isu seksual dan reproduktif sehingga berlaku kes kehamilan luar perkahwinan.

Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah pendidikan itu bukan bertujuan menggalakkan remaja mengadakan hubungan seks rambang, sebaliknya ilmu diperoleh dapat digunakan untuk membuat keputusan bijak.

"Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa pendidikan seksual dan reproduktif sangat penting," titah baginda ketika berkenan merasmikan Seminar Generasiku Sayang di Persada Johor di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Raja Zarith Sofiah bertitah, dunia masa kini mementingkan penguasaan ilmu yang perlu ditimba sejak usia muda yang akan menjadi bekalan dan pedoman pada masa hadapan.

Titah baginda, daripada maklumat yang diterima, kehamilan luar nikah agak ketara sama ada di Johor atau negeri lain.

"Sering kita baca di media mengenai kes pembuangan bayi baru lahir, sama ada ditemui masih bernyawa atau sebaliknya.

Kita juga terbaca berita remaja atau wanita muda yang menemui ajal selepas melahirkan anak seorang diri. Cerita seperti ini sungguh mengerikan seolah-olah nyawa manusia itu tiada nilainya.

"Tragedi yang dipaparkan itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk ada yang menjadi mangsa, manakala sebahagiannya lanjutan daripada gaya hidup dan pergaulan bebas," katanya.

Raja Zarith Sofiah bertitah, agensi kerajaan berkaitan wajar menggalak, membantu dan memberi tunjuk ajar kepada pihak yang sanggup memberi perlindungan kepada remaja yang hamil luar nikah.

Titah baginda, pihak yang memberi perlindungan itu diharap dapat memulihkan keyakinan diri remaja untuk meneruskan kehidupan dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.

"Janganlah kita cepat menghukum mereka yang melakukan kesilapan ini," titah baginda.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI