Catuan peringkat ke-4: 6.7 juta penduduk bakal hadapi gangguan air mulai Jumaat

Tuesday, April 01, 2014

Catuan peringkat keempat: 6.7 juta penduduk bakal hadapi gangguan air mulai Jumaat

Dianggarkan lebih 6.7 juta penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur bakal berdepan dengan masalah gangguan air akibat catuan air peringkat keempat yang akan bermula Jumaat ini.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), di dalam satu notis, berkata pelaksanaan pelan catuan bekalan air peringkat keempat itu akan melibatkan sembilan daerah termasuk Gombak, Hulu Selangor, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor.

Laporan media memetik pengerusi SPAN, Datuk Ismail Kassim sebagai berkata bahawa catuan air kali ini akan melibatkan tambahan 620,237 isi rumah menjadikan jumlah keseluruhan isi rumah yang terjejas sebanyak 1,340,231 atau 6.7 juta orang.

"Pelan catuan bekalan air peringkat keempat akan berkuatkuasa mulai 4 April 2014 hingga 30 April 2014 atau ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Pada masa yang sama pelan catuan bekalan air peringkat pertama dan ketiga yang sedang berjalan pada masa ini dilanjutkan mulai 1 April 2014 sehingga ke satu tarikh yang sama seiring dengan pelan catuan bekalan air peringkat keempat," kata notis tersebut.

SPAN turut berkata pelan catuan bekalan air peringkat keempat akan dilaksanakan secara berasingan dengan jadual yang berlainan daripada pelan catuan bekalan air peringkat pertama dan ketiga (Zon 1 dan 2).

"Kawasan tambahan yang telibat di dalam pelan catuan bekalan air peringkat ke empat dibahagikan kepada Zon 3 dan 4.  Walaubagaimanapun terdapat beberapa kawasan tambahan kepada Zon 1 dan Zon 2 pada pelan catuan bekalan air peringkat," kata notis itu.

SPAN dilaporkan berkata perluasan catuan air terpaksa dilaksanakan kerana paras air di empangan kekal rendah walaupun hujan turun sebelum ini. ~awani

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI