Datuk Lee Chong Wei juara Siri Super Terbuka India buat kali ketiga

Monday, April 07, 2014

Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengecewakan musuh tradisi, Chen Long buat kali kedua berturut-turut untuk merangkul kejuaraan Siri Super Terbuka India buat kali ketiga di New Delhi, semalam.

Selepas menundukkan pemain No. 2 dunia dari China itu pada perlawanan akhir All England, Mac lalu, Chong Wei memerlukan 55 minit untuk mencatat satu lagi kemenangan 21-13, 21-17.

Kemenangan ini juga membolehkan jaguh perseorangan negara itu mengatasi Chen Long 9-8 dalam rekod pertemuan kedua-dua pemain, malah ia adalah gelaran ketiga buatnya tahun ini selepas menjuarai Siri Super Premier Terbuka Malaysia (Januari) dan All England.

Chong Wei, 32, yang turut menjuarai Terbuka India pada 2013 dan 2011 sebelum ini menumpaskan rakan senegara Chen Long, Du Pengyu dalam pertarungan sengit 21-17, 19-21, 21-15 di separuh akhir, kelmarin.

Sementara itu, gelaran beregu lelaki menjadi milik pasangan No. 2 dunia dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen yang me­numpaskan pilihan ketiga dari China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan 17-21, 21-15, 21-15.

Bagaimanapun China me­nguasai dua daripada lima gelaran yang ditawarkan pada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM820,000) apabila membawa pulang kejua­raan perseorangan wanita dan beregu wanita.

Wang Shixian menumpaskan rakan senegara dan pemain No. 1 dunia, Li Xuerui 22-20, 21-19 dalam masa 47 minit untuk membawa pulang kejuaraan perseorangan wanita.

Gandingan Tang Yuanting-Yu Yang pula menumpaskan pasangan Korea Selatan, Jung Kyung Eun-Kim Ha Na 21-10, 13-21, 21-16 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama hampir satu jam.

Kejuaraan beregu campuran pula menjadi milik pasangan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christina Pedersen yang dipaksa berhempas pulas untuk menundukkan pilihan keempat dari Korea, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na 21-16, 18-21, 21-18.~ utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI