Rawatan bina semula selaput dara terkoyak

Thursday, April 17, 2014

Bina semula selaput terkoyak

Kuala Lumpur: Teknik pembedahan kosmetik untuk memulihkan selaput dara menerusi kaedah tampalan atau istilah perubatannya `hymenoplasti' makin popular di ibu kota, terutama dalam kalangan gadis terlanjur, wanita berduit dan golongan kenamaan.

Golongan terbabit berbuat demikian dengan memberi alasan tersendiri. Gadis terlanjur lazim­nya untuk mengaburi bakal suami menjelang malam pertama perkahwinan, manakala wanita yang lama berkahwin pula bagi memuaskan hati suami.

Dari segi perubatan ia bukan kesalahan tetapi bagi wanita Islam, kaedah itu haram kerana menipu bakal suami selain pembaziran bagi yang berkahwin.

Hymenoplasti ialah pembedahan kosmetik bagi membina semula selaput dara selepas yang lama terkoyak akibat hubungan seks kali pertama, kecederaan ketika bersukan, terjatuh, senaman ekstrem atau onani dengan memasukkan objek keras.

Pembedahan itu membabitkan penampalan membran baru pada bahagian luar alat kelamin wanita dan mampu berfungsi seperti selaput dara asli.

Malah, selaput dara tiruan ini akan mengalami pendarahan jika `dipecahkan' sama seperti dara asli, selain boleh dilakukan beberapa kali dan pelbagai peringkat umur.

Tinjauan Metro Ahad di empat premis sekitar ibu kota iaitu di Bangsar, Jalan Pudu, Gombak dan Jalan Tun Razak mendapati, pembedahan kosmetik berkenaan boleh dilakukan pada kos antara RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada status klinik atau pusat perubatan.

Wartawan memilih sebuah klinik bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembedahan kosmetik berkenaan. Dua wartawan menyamar iaitu seorang sebagai gadis terlanjur manakala seorang lagi wanita yang lama berkahwin.

Ketika duduk di depan kaunter menunggu giliran, seorang jururawat memanggil seorang wanita kenamaan dan memberinya penjelasan mengenai rawatan pemulihan di klinik berkenaan.

Difahamkan, bayaran RM190 dikenakan untuk rawatan kali pertama, diikuti rawatan susulan RM90 bagi setiap sesi kerana pakar pembedahan kosmetik perlu memastikan pelanggannya sentiasa dalam kesihatan baik selepas menjalani rawatan.

Bahkan, wanita usia emas atau melahirkan beberapa anak juga boleh melakukan rawatan tertentu, misalnya `vaginoplasti'.

Namun, jururawat terbabit berkata, gadis atau remaja yang hilang dara akibat diperkosa perlu mendapatkan nasihat di klinik kerana sejenis tisu digunakan untuk kaedah pemulihan semula selaput dara.

Disebabkan itu, ramai gadis terlanjur turut mengambil kesempatan melakukan kaedah tampalan yang mampu membuatkan dia seolah-olah masih perawan.

Berikut antara dialog di antara wartawan MA dengan seorang jururawat di kaunter:

Wartawan (W): Macam mana nak buat pembedahan ini ya?

Jururawat (J): Kakak boleh berurusan dengan doktor ni... (dia mengambil kad lalu menghulurkan kepada kami). Namun, hari ini ada pembedahan di klinik satu lagi. Kakak boleh hubungi pembantu doktor di klinik.

W: Memang ada rawatan ini? Sebab tadi kakak jumpa seorang doktor di bahagian lain dan dia cadangkan bertemu pakar di sini.

J: Untuk rawatan hymenoplasti dan vaginaplasti? Memang ada... tapi sebaik-baiknya datang pada Sabtu jam 11 pagi.

W: Selalunya rawatan atau pembedahan itu mengambil masa berapa lama?

J: Lebih kurang sejam lebih, tapi tak melebihi dua jam.

W: Apa yang perlu dibawa?

J: Tak ada apa... kakak datang saja. Untuk `consultancy' (khidmat runding) kali pertama sebanyak RM190 dan `follow up' (susulan) setiap kali datang RM90.

W: Betul ke rawatan untuk mereka yang berusia macam kakak ni, yang pernah melahirkan anak beberapa kali, agak sukar?

J: Tak ada... prosedur macam biasa saja. Tengok perbincangan dengan doktor tu nanti, tapi selalunya, untuk rawatan mengetatkan dara bagi yang berusia, teknik tampalan membran digunakan. Seperti saya cakap tadi, lebih baik dapatkan nasihat doktor pakar dulu kerana mereka yang berusia dan pernah melahirkan anak mungkin memerlukan kedua-dua rawatan itu. ~ Metro Ahad

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI