Sains aktuari masih asing di Malaysia

Thursday, April 24, 2014

Sains aktuari masih asing di Malaysia

Bidang sains aktuari kurang dikenali di negara ini walaupun ia menjadi kerjaya profesional yang semakin mendapat perhatian di negara maju terutama Eropah dan Amerika Syarikat. Ikuti kupasan Pengarah Kursus Sains Aktuari Universiti Essex di Britain, Dr Haslifah Hashim mengenai bidang yang dikaitkan dengan kemahiran menganalisis kesan risiko kewangan yang disampaikan kepada wartawan Varsiti, Siti Sarah Aina Shawal.

S: Boleh puan kongsi serba sedikit latar belakang mengenai bidang sains aktuari

J: Bidang aktuari bukanlah sesuatu yang baharu namun ramai pelajar di negara ini kurang arif mengenai bidang itu menyebabkan ia kurang mendapat sambutan. Hakikatnya, bidang pengajian ini berjaya melahirkan ramai profesional sejak beribu tahun dulu khususnya di negara maju.

Sains aktuari menggabungkan kombinasi kepakaran kebarangkalian, model matematik, statistik serta data sejarah untuk membuat analisis kewangan dianggap antara kerjaya penting bukan saja dalam pengembangan sektor korporat tetapi juga pembangunan negara pada masa depan.

Mengimbau perkembangan bidang ini, ia bermula pada zaman Rom Purba dan ketika itu jawatan aktuarius diwujudkan berperanan sebagai pencatat minit dalam senat Rom.

Perkembangan kemudian berlaku apabila mereka mula menjalankan kerja pengendalian pengurus kewangan kerajaan pada zaman Empayar Rom Timur yang dikenali sebagai Empayar Byzantine.

Pada zaman empayar berkenaan, aktuarius bukan saja berperanan sebagai pengurus kewangan tetapi turut terbabit dalam pengagihan gaji dan peruntukan ketenteraan yang terkandung dalam teks ketenteraan Rom yang dikenali sebagai Taktikon Uspensky yang ditulis pada sekitar tahun 842 Masihi dan kemudian dalam kletorologian pada tahun 899 Masihi.

S: Langkah yang perlu diambil calon yang berminat untuk menceburi bidang ini secara profesional?

J: Di Malaysia, belum wujud satu badan profesional yang mengiktiraf ahli dalam aktuari bertauliah sebagaimana mereka dalam bidang akauntan dan undang-undang.

Sehubungan dengan itu, rakyat negara ini yang mempunyai kelulusan ijazah sains aktuari terpaksa mendapatkan pengiktirafan badan profesional luar negara sebelum menjadi ahli aktuari bertauliah dengan proses keseluruhan daripada belajar di universiti sehingga menjadi ahli aktuari bertauliah mengambil masa kira-kira tujuh tahun.

Malaysia, Singapura dan Hong Kong hanya memiliki badan yang mewakili keahlian aktuari, masing-masing di bawah Persatuan Aktuari Malaysia, Persatuan Aktuari Singapura serta Actuarial Society of Hong Kong. Bagaimanapun, badan berkenaan tidak mengendalikan peperiksaan profesional sebaliknya keahlian ditentukan berdasarkan pentauliahan badan aktuari yang diiktiraf dan bagi mendapatkan pentauliahan Felo mereka perlu mendapat kelayakan daripada badan aktuari tertentu.

Sebelum layak ditauliahkan, lulusan bidang sains aktuari perlu melalui pelbagai peringkat pentauliahan termasuk siri peperiksaan profesional sebelum boleh diterima sebagai ahli bersekutu dan seterusnya Felo dalam sesebuah badan iktisas aktuari.

Kebanyakan badan iktisas aktuari mempunyai struktur kurikulum dan peperiksaan mereka sendiri. Contohnya di Amerika Syarikat, lulusan bidang sains aktuari dari institusi pengajian tinggi (IPT) perlu lulus semua peperiksaan yang ditetapkan oleh Society of Actuaries tanpa sebarang pengecualian.

Beberapa badan iktisas di negara lain seperti Institute and Faculty of Actuaries United Kingdom, Canadian Institute of Actuaries dan Australian Institute of Actuaries ada menawarkan struktur hibrid yang menggabungkan kursus di IPT dan peperiksaan profesional yang membolehkan pengecualian kredit diberikan kepada pelajar mendapat pengiktirafan akreditasi daripada badan iktisas berkenaan.

Bagaimanapun, masih terdapat kertas peperiksaan yang perlu diambil untuk melayakkan seseorang itu ditauliahkan sebagai ahli bersekutu dan seterusnya felo.

S: Sejauh mana peluang kerjaya tersedia bagi lulusan sains aktuari?

J: Peluang kerjaya sains aktuari dikelaskan kepada dua iaitu kerjaya tradisional atau kebiasaan dan non-tradisional. Kebanyakan kerjaya tradisional menjurus kepada kerjaya dalam bidang insurans, takaful, skim persaraan, sistem keselamatan sosial dan syarikat pelaburan kerana ia membabitkan tugas menganalisis kewangan bagi menilai kebarangkalian untuk mengurangkan kesan kerugian teruk pada masa depan.

Kini, kerjaya baru mula diterokai dalam bidang baharu seperti perusahaan, pembangunan perisian beraktuari, perancangan kewangan, kehakiman dan perundangan, sukan dan ekonomi alam sekitar dan insurans hayat.

Bidang insurans hayat menjadi pilihan dengan kira-kira 70 peratus lulusan sains aktuari memilih bekerja dalam bidang itu bagi memenuhi keperluan di bawah Akta Insurans 1996 dan Akta Takaful 1984 yang mensyaratkan seorang aktuari hendaklah dilantik oleh setiap syarikat insurans hayat dan pengendali takaful yang beroperasi di Malaysia.

Bagi sektor swasta pula, Pelancaran Skim Persaraan Swasta pada tahun 2012, menunjukkan permintaan lebih tinggi lulusan sains aktuari diperlukan bagi menguruskan dana yang dijalankan oleh firma pengurusan pelaburan selaku penyedia dana sektor swasta yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Lulusan yang menceburi kerjaya dalam bidang pelaburan pula akan didedahkan dengan pengetahuan mendalam dalam bidang pelaburan. Kaedah aktuari digunakan terutama dalam pengiraan pelbagai jenis pelaburan seperti bon kerajaan dan korporat, saham serta pelaburan korporat yang lain.

Mereka juga mahir dalam pembentukan portfolio, pelaburan berinstitusi, pasaran modal, teori berhubung dengan gelagat saham, teori portfolio dan prestasi portfolio perancangan kepakaran ilmu aktuari yang memerlukan strategi pengurusan portfolio pelaburan yang bagus.

S: Bidang kerjaya bukan tradisional yang boleh diterokai oleh aktuari dan saintisaktuari masa kini?

J: Peluang kerjaya sains aktuari dalambidangbukantradisional sepertiperancangankewangan, pembangunan perisian, kehakiman dan perundangan, sukan dan ekonomi alam sekitar membuktikan peranan aktuari semakin penting.

Di United Kingdom, kemahiran aktuari digunakan dalam bidang kehakiman dan perundangan sejak tahun 1984, di mana penubuhan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada aktuari dan peguam diwujudkan bagi menghasilkan satu set jadual statistik yang dinamakan sebagai jadual ogden.

Penggunaan jadual ogden dikuatkuasakan penggunaannya bagi kegunaan hakim di United Kingdom pada tahun 1999 yang meliputi kes kecederaan peribadi dan kematian yang diukur menggunakan kaedah beraktuari dengan pengganda yang disediakan dalam jadual ogden.

Kepakaran sains aktuari bukan hanya diperlukan dalam bidang yang memerlukan pengiraan semata-mata, sebaliknya turut digunakan dalam bidang lain seperti sukan. Contohnya di Amerika Syarikat, seorang aktuari bertauliah yang berkelayakan Felo dari Society of Actuaries Amerika Syarikat yang meminati sukan besbol mengumpulkan data besbol dengan terperinci dan menawarkan maklumat analitikal dikenali sebagai sistem Plus/Minus kepada kelab liga besbol Amerika Syarikat.

Sistem Plus/Minus menggunakan teknik yang dibangunkan untuk menilai sejauh mana kehebatan seseorang pemain pada sesuatu posisi selain membantu pasukan kelab mengatur posisi pemain yang terbaik.

Dalam bidang ekonomi alam sekitar pula, bidang ini dipelopori oleh aktuari bertauliah dari Australian Institute of Actuaries yang terbabit secara aktif dalam isu perubahan iklim menerusi kerjasama dengan pihak kerajaan dan penanggung insurans am yang menjalankan pelbagai aktiviti penyelidikan dan pendidikan.

Kerjasama yang mendapat sokongan daripada International Actuarial Association (IAA), satu persatuan induk bagi badan tauliah aktuari seluruh dunia melihat potensi bidang ekonomi alam sekitar bagi profesion aktuari.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI